2 hari lepas saya menerima 2 keping voucher KFC bernilai RM20. Voucher ini adalah salah satu saguhati untuk saya setelah dilantik menjadi juri dalam pertandingan Catur Bistari pada bulan Januari lepas. Dah setengah tahun baru nak bagi ke? Sempat jugak la saya snap sekeping gambar sebelum voucher ni bertukar menjadi 5 ketul ayam goreng dan 2 cawan minuman ringan. Tapi apa yang nak saya ceritakan disini bukan pasal kerakusan kaedah saya makan ayam goreng tapi idea bisnes yang diperolehi dari penggunaan voucher.

Apa perlunya memberikan voucher seperti ini kepada pelanggan anda?
Biasanya memberi hadiah kepada pelanggan setia atau istimewa bertujuan untuk menghargai pelanggan. Ini akan membuatkan pelanggan anda rasa dihargai seterusnya berminat untuk terus mendapatkan produk dan perkhidmatan anda.

Tapi kenapa voucher? Tak rugi ke?
Seperti kata boss saya dulu, "kalau nak dapatkan duit besar, syiling dalam kocek kena bunyi." maksudnya lebih kurang begini. Kalau nak untuk lebih besar, perlulah mengeluarkan sedikit rasuah belanja. Apa yang menariknya dengan voucher KFC ni ialah mereka menghadiahkan produk sendiri untuk menjimatkan kos yang ditanggung. Bila saya menerima voucher RM20 tentulah saya gembira sebab boleh dapat 5 ketul ayam goreng dan 2 cawan minuman ringan. Tapi tahukah anda, kos yang ditanggung oleh KFC mungkin tak sampai RM10 kerana kos untuk 5 ketul ayam goreng dan 2 cawan minuman ringan itu mungkin tak sampai RM10. Boleh saja kalau KFC nak bagi wang tunai RM10 tapi KFC bagi voucher RM20 kerana mereka tau voucher lebih menjimatkan. Selain itu mereka juga tahu anda akan lebih gembira menerima voucher RM20 berbanding wang tunai RM10. Mungkin beza RM10 sangat kecil tapi bagaimana jika mereka mengeluarkan beribu keping voucher? Pasti besar penjimatan yang mereka dapat.

Mereka juga dapat mempromosikan perniagaan mereka dengan nilai yang lebih besar. Mana yang akan menjadi buah mulut, dapat duit RM10 atau voucher RM20? KFC juga menggunakan voucher ini dengan cara yang lebih meluas lagi. Mereka mempelawa mana-mana syarikat yang ingin menghargai pekerja atau pelanggan, menempah voucher KFC secara pukal. Jadi KFC akan mencetak voucher berimej syarikat yang menempahnya. Rupa-rupanya KFC bukan sahaja mendapat keuntungan dari perniagaan makanan! Kalau dah kreatif, macam mana cara pun semua jadi duit.