Video ni sebenarnya saya gunakan untuk mengajar para pelajar saya dalam penyediaan masakan India. Oleh kerana sekarang ni dah canggih, saya gunakan la ia untuk memudahkan pengajaran saya. Kalau dulu saya demonstrasi dan ada pelajar yang leka dan kuat berangan akan terlepas apa yang saya terangkan. Daripada saya buat demonstrasi berulangkali, lebih baik saya videokan je. Jadi sesiapa yang terlepas boleh la tonton video ni berkali-kali. Dan sekarang, saya post dalam blog saya supaya lebih ramai boleh belajar menyediakan nasi beriani ni.


Nasi beriani banyak disediakan dalam majlis-majlis keraian dan kini banyak dijual di pasar-pasar malam, restoran, gerai dan sebagainya. pada bulan puasa, lagi banyak nasi beriani yang dijual di bazaar-bazaar ramadhan. Ditempat saya, nasi beriani dijual dengan harga diantara RM5.00 hingga RM6.50 bergantung kepada lauknya. Harganya memang mahal mungkin kerana bahan yang digunakan memerlukan kos yang tinggi. Bagi saya, kos membuat nasi beriani ni boleh dikawal. Tidak perlu menambah berbagai-bagai bahan sekiranya bahan-bahan itu sudah terkandung dalam rempah beriani. Cuma perlu cari rempah yang benar-benar berkualiti dan sedap untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.


Dalam video ini, saya hanya menggunakan bahan yang asas, mudah diperolehi dan murah sahaja. Bahan-bahan ini memberikan bau dan rasa yang ketara dalam nasi beriani. Bahan-bahan yang kurang memberi kesan dari segi bau dan rasa, saya ketepikan. Kalau anda mempunyai modal yang lebih, boleh la menambahkan bahan-bahan yang lain seperti daun pudina, safron, daun ketumbar dan sebagainya. Saya lebih senang menggunakan bahan asas sahaja dan akan menggunakan ilmu masakan dan pengalaman saya untuk menjadikan nasi beriani saya seolah-olah menggunakan bahan-bahan yang mahal. Itu akan memberikan cabaran yang lebih dan menjadikan kerja memasak saya lebih menyeronokkan.

Masyarakat barat juga menggemari nasi beriani sehinggakan mereka mengubahsuai nasi beriani ini mengikut citarasa mereka. Ciri-ciri masakan ini yang digemari oleh orang barat adalah seperti kurang pedas dan nasinya lebih lembut kerana mereka mencampurkan berbagai sayur, kacang, ayam, daging atau kambing sekaligus dan masak bersama nasi.


Kalau anda teringin mencuba nasi beriani cara orang barat bolehlah gunakan tip-tip dibawah ini.
  1. Gandakan 2 kali untuk semua bahan-bahan yang terdapat dalam video kecuali beras.
  2. Tambahkan sayur-sayuran seperti terung, kacang panjang, karet
  3. Tambahkan sedikit kekacang seperti dhal, gajus
  4. Tambahkan daging atau kambing atau ayam
  5. Masak seperti dalam video diatas dengan turutan yang betul mengikut tempoh sesuatu bahan itu empuk.
  6. Masukkan beras akhir sekali dan tanak nasi seperti biasa.
  7. Biasanya sayur-sayuran akan hancur dan tekstur nasi akan terlalu lembik.


Gambar-gambar diatas adalah nasi beriani yang disediakan oleh pelajar saya siap dengan hidangan pelengkapnya. Tengoklah sendiri. Ada macam-macam rupa, macam-macam rasa, macam-macam bau. Tengok warna pun dah tau. Ada yang gelap, ada yang cerah. Ada nasi yang lembik, ada yang keras. Padahal bahan-bahan, peralatan dan segala yang digunakan semuanya sama. Macam mana saya tak pening kepala.

Tak suka makan nasi? Apa kata kita masak mi telur sup cara komersial pula.