Gema hari raya masih terasa lagi. Sewaktu tekun membuat ketupat menjelang hari raya yang lalu saya terfikir apa akan jadi jika semakin sedikit masyarakat di Malaysia yang mahir menganyam ketupat. Adakah industri ketupat segera akan semakin berkembang maju atau jualan kelongsong ketupat siap dianyam akan bertambah? Mungkin ramai yang berminat untuk belajar menganyam ketupat tetapi tiada guru yang sudi mengajar. Mungkin juga malu nak belajar. Kepada sesiapa yang tinggal di Utara dan Pantai Timur mungkin ketupat nasi tidak popular tapi ramai juga teruna dan dara dari sana yang bertemu jodoh dengan pasangan dari negeri jauh. Pada masa itu, baru terkial-kial nak belajar menganyam ketupat. Saya pula baru belajar membuat ketupat palas dan pada hari raya yang lalu saya dah praktikkan apa yang saya pelajari. Hasilnya memang tak mengecewakan dan saya bangga dapat menyambung tradisi masyarakat Malaysia.

Gambar diatas adalah gambar kelongsong ketupat yang telah siap dianyam kami sekeluarga. Siapa tahu apa nama ketupat yang bertanda anak panah tu. Kedua-dua ketupat itu adalah ketupat yang sama dari pandangan yang berbeza. Yang pastinya ketupat itu bukan ketupat bawang, ketupat jantung, ketupat pasar atau ketupat sate.

Cara memasak ketupat nasi
  1. Siapkan kelongsong ketupat sebanyak yang dimahukan
  2. Cuci beras secukupnya dan tuskan.
  3. Masukkan beras kedalam kelongsong hampir 1/2 - 3/4 penuh. Ada juga yang lebih senang memasukkan beras kedalam kelongsong ketupat dengan merendam beras didalam air. Alasan mereka beras yang lembab selalu melekat ditangan dan di luar kelongsong. Pada saya lebih baik keringkan beras yang telah dicuci untuk memudahkan masuk kedalam kelongsong ketupat.
  4. Rebus dengan air yang banyak selama sekurang-kurangnya 2 jam. Sebaik-baiknya 3 atau 4 jam untuk mendapatkan ketupat dengan tekstur nasi yang halus. (tak nampak nasi sebiji-sebiji) Tambah garam jika suka.
  5. Angkat dan gantung untuk tuskan airnya. Sebaiknya cuci dengan air sejuk sebelum dituskan supaya ketupat tahan lebih lama.

Tip masakan
Tambah air sehingga semua ketupat tenggelam sekiranya air berkurangan dengan banyak. Jangan tutup periuk sepenuhnya untuk mengelakkan air melimpah keluar sewaktu mendidih. Saya suka ketupat yang lembut jadi saya isikan beras 1/2 kelongsong sahaja. Tapi kena berhati-hati supaya tidak menjadi lembik. Jenis beras juga perlu diambil kira.