Memang lama tak bersiaran. Macam-macam dah berlaku pada saya tapi biarlah perkara ini diketepikan dahulu. Ada masa boleh cerita. Tak de masa, lupakan saja. Lebih baik belajar sesuatu hari ini mengenai resepi dan masakan. Apa tu twister? Sebenarnya saya maksudkan hanyalah ketulan-ketulan ayam kecil yang rangup yang digulung dalam tortilla bersama salad dan tomato dan dimakan bersama sos. Pendek kata, semua bahan boleh dibuat dan diperolehi dengan mudah. Tortilla tu memang namanya gempak. Sebut je tortilla, semua kata tak pandai buat. Kalau sebut lempeng, semua pakar. Bawah ni saya sertakan resepi tortilla asas atau lebih sesuai dipanggil classic wrap. Sangat senang dibuat. Tepung pun gunakan yang paling mudah dan murah didapati di Malaysia. Jangan pening-pening kepala memikirkan macam mana masakan barat dibuat sedangkan masakan Malaysia lebih sukar dibuat.


Bahan-bahan untuk Twister dan Tortilla atau Classic Wrap
250g Tepung Gandum Pelbagai Guna
50g Shortening
100g Air Panas (80˚C-90˚C)
1 cmt Garam
200g Isi Ayam
½ cwn Tepung Ayam Goreng
4 helai Lettuce / Salad
2 bj Tomato
Sedikit Sos Cili dan Mayonis atau Sos Tartar atau Thousand Island
Tepung gandum untuk mencanai.
Minyak masak untuk menggoreng.

Cara membuat Twister dan Tortilla atau Classic Wrap

  1. Gaul ramas tepung gandum dan shortening sehingga sebati.
  2. Larutkan garam dalam air panas dan tuangkan kedalam tepung gandum.
  3. Gunakan senduk untuk menggaul adunan tepung sehingga sekata menjadi ketulan-ketulan yang kental. Biarkan sejuk sebentar.
  4. Setelah sejuk sedikit, barulah diuli dengan tangan sehingga licin. Doh yang terhasil adalah sangat lembut tetapi tidak melekat kerana kehadiran shortening. Jika perlu, boleh tambahkan tepung gandum lagi.
  5. Bahagikan doh kepada 6 bahagian, lebih kurang 70g setiap satu. Bulatkan seperti bola dan rehatkan sehingga betul-betul sejuk.
  6. Tabur sedikit tepung atas meja mencanai dan canai doh senipis yang mungkin dengan bentuk bulatan.
  7. Gorengkan diatas kuali leper tanpa minyak di kedua-dua permukaan sehingga masak.
  8. Ayam dipotong kiub dan digaul bersama tepung ayam goreng.
  9. Goreng dalam minyak yang banyak sehingga garing dan rangup.
  10. Tomato didadu kasar. Buangkan bijinya terlebih dahulu jika perlu. Lettuce dipotong kecil.
  11. Bentangkan sekeping tortilla dan susunkan lettuce dan tomato memanjang untuk memudahkan menggulung.
  12. Taburkan ayam goreng dan paipkan sos. Gulung rapat-rapat dan hidangkan.


Tip Masakan Komersial

  1. Setelah anda baca resepi dan kaedah membuat tortilla diatas, anda akan rasakan tortilla hanyalah lempeng biasa sahaja. Bezanya tortilla ini lebih lembut dan mudah digulung tanpa patah atau koyak. Dengan teknik yang betul seperti yang saya nyatakan diatas, anda akan mendapat tortilla yang lembut bukan sahaja boleh digulung, malah boleh dilipat.
  2. Resepi doh diatas dibuat sangat lembut supaya doh boleh dicanai dengan sangat nipis. Lebih nipis, lebih baik dan lebih mudah dan cantik gulungannya. Biasanya saya canai senipis 1 mm atau mungkin lebih nipis dari itu. Tortilla akan menggelembung apabila digoreng, jadi tak perlu risau jika terlalu nipis kerana selepas digoreng, ia akan kelihatan tebal sedikit.
  3. Resepi diatas membolehkan tortilla menggelembung dengan sendirinya sewaktu digoreng. Tekniknya mudah saja. Gorengkan sebelah permukaan selama 5 saat. Kemudian palingkan dan goreng permukaan sebelah lagi selama 5 saat. Kemudian, barulah dipalingkan sekali lagi dan anda akan lihat, tortilla akan menggelembung tanpa perlu di tuam. Jika anda tuam juga, kemungkinan ia akan menggelembung terlalu besar.
  4. Apabila ia menggelembung terlalu besar, ia akan menyebabkan permukaan lain tidak menyentuh kuali dan tak mendapat kepanasan yang sekata. Hasilnya hanya bahagian menggelembung sahaja yang hangus sedangkan bahagian lain masih belum masak. Saya cadangkan jangan biarkan bahagian yang menggelembung ini hangus kerana bahagian yang hangus ini mudah pecah. Jadi angkat sebelum ia keperangan.
  5. Shortening boleh digantikan dengan miyak masak kelapa sawit tetapi hasilnya mungkin lebih rapuh. Jadi goreng sebentar sahaja. Apabila sejuk ia mungkin sedikit keras. Lebih shortening juga mungkin menyebabkan tortilla rapuh dan garing. Ini menyukarkan menggulung. Kurang shortening pula menyebabkan tortilla liat tetapi susah pecah atau patah.
  6. Ayam goreng yang didadu kecil tu boleh juga menggunakan popcorn chicken sejukbeku yang banyak dijual dipasaran. Siapa yang rasa dia pemalas, bolehlah beli sahaja. Tortilla pun ada dijual dipasaran. Harganya lebih kurang RM6 untuk 8 keping. Kalau buat sendiri, kosnya tak sampai dua puluh sen sekeping.
  7. Tortilla boleh disimpan dalam peti ais dalam bungkusan plastik vakum. Dalam peti sejuk beku, ia akan tahan lebih lama. Biasanya dipasaran, tortilla hanya disimpan dalam bungkusan vakum pada suhu bilik sahaja kerana ia menggunakkan sedikit pengawet. Secara amnya, tortilla ini memang tahan lama walaupun tanpa pengawet dan tanpa disejukkan.
  8. Belum ada yang saya nampak kiosk yang menjual tortilla gulung ni. Cuma KFC je yang menjual dengan harga yang sangat tinggi. Kalau roti canai gulung tu ada la. Paling banyak, crepe rangup yang saya rasa tak sesuai untuk inti yang pedas kerana crepenya sangat manis. Dengan resepi dan teknik membuat tortilla yang murah dan mudah ni, tak teringin ke menambahkan produk jualan?