Minggu lepas sangat sibuk dengan tugas-tugas seharian. Sungguh tidak saya sangka, saya perlu membuat sesuatu yang diluar kemahiran saya. Entah macam mana. Entah bagaimana mereka pilih akhirnya saya yang kena menyiapkan suatu kertas cadangan untuk membina sebuah bengkel pembelajaran untuk subjek bakeri. Bukan sebarang bengkel. Ianya merupakan bengkel terlengkap dengan segala peralatan bakeri yang menyamai kilang yang besar dan tentunya bernilai jutaan ringgit.

Saya perlu memilih mesin-mesin dan peralatan bakeri seperti oven, mixer, prover, dough devider, bread slicer, dough sheeter dan macam-macam lagi lengkap dengan peralatan kiost seperti freezer, chiller, showcase dan cash register. Oleh kerana peralatan ini untuk kegunaan pembelajaran dalam tempoh yang lama jadi saya perlu memilih peralatan yang dibuat untuk kegunaan industri dan tercanggih. Peralatan in sudah pasti besar, berat dan boleh menampung kapasiti yang besar. Harganya sudah tentulah besar juga. Dan hari itu saya berlagak sebagai seorang mechanical engineer!

Saya juga perlu mengira jumlah kuasa dan arus elektrik yang diperlukan untuk disalurkan ke peralatan elektrik yang dicadangkan. Maklumlah, peralatan besar seperti ini sudah pasti memerlukan kuasa yang besar juga. Rata-ratanya memerlukan sambungan 3 fasa. Saya mesti tentukan jumlah punca elektrik yang secukupnya kerana semua peralatan ini adalah besar dan berat. Tidak mungkin dapat dialihkan tanpa menggunakan forklift. Dan hari itu juga jadilah saya seorang electronic engineer.

Setelah peralatan sampai, peralatan-peralatan itu mestilah diletakkan ditempat yang tetap tanpa dialih-alih lagi. Mana ada orang yang sanggup mengalih peralatan sebegitu besar. Tolak beramai-ramai pun belum tentu bergerak. Jadi saya juga menyiapkan pelan lantai untuk menentukan kedudukan peralatan yang bertepatan dengan kegunaan ketika memasak. Takkan saya nak letakkan mixer jauh dari dough divider. Nanti tak pasal-pasal kena angkut doh dari mixer ke dough divider menggunakan kereta sorong. Merasa la saya jadi seorang interior designer.

Gambar-gambar diatas adalah diantara gambar peralatan lengkap dengan spesifikasinya yang saya cadangkan untuk kegunaan bengkel bakeri untuk tahun 2013. Tak sampai hati pulak rasanya nak cerita tugas-tugas saya yang lain seperti juruteknik, juru elektrik, jurutera bangunan, juru ukur, kerani dan lain-lain. Biarlah saya hanya dikenali sebagai seorang guru sahaja. Walaupun saya tak tau apa-apa, saya gagahi juga semuanya hanya untuk anak bangsaku. Agar mereka mendapat pendidikan yang sempurna dan apabila keluar nanti, mereka mendapat kemahiran yang dikehendaki di pasaran semasa.