Dah jadi macam suatu kemestian pula, setiap kali menjelang musim perayaan harga barangan keperluan pasti meningkat mendadak. Beberapa hari lagi rakyat Malaysia akan menyambut perayaan Deepavali diikuti dengan Hari Raya Aidiladha, dan seperti yang dijangka harga barangan utama seperti ayam, daging, telur, cili dan lain-lain sedikit demi sedikit bertambah tanpa disedari. Tambahan pula kerajaan mengumumkan kenaikan gaji untuk kakitangan awam dan pesara tahun hadapan dan bonus hujung tahun ini dalam belanjawan 2012 baru-baru ini. Pendek kata, tiada lagi kekesalan dihati peniaga kerana mereka juga mahukan peningkatan pendapatan. Maka timbullah pelbagai idea jahat dalam mengaut keuntungan berlebihan seperti menjual produk yang tidak berkualiti pada harga produk berkualiti, menjual produk yang sudah tamat tempoh, mengubahsuai produk agar kelihatan berkualiti atau mengubahsuai alat timbangan dan sukat serta lain-lain.
Ciri-ciri daging ayam bermutu
  1. Dada ayam kelihatan tembam dan berisi. Paling mudah dikenali sekiranya ayam belum dipotong.
  2. Jika ayam sudah dipotong, bahagian hujung dada ayam yang bertulang lembut mudah dibengkokkan tanpa patah serta berwarna putih.
  3. Isi ayam masih pejal sekiranya ditekan.
  4. Kulit ayam berwarna putih, tidak lebam atau kebiru-biruan.
  5. Bahagian kaki ayam perlulah licin, bersisik dan berbaji kecil. Ayam tua mempunyai sisik dan baji yang besar.
  6. Tidak mempunyai bau yang kurang menyenangkan
  7. Elakkan ayam yang mempunyai terlalu banyak lemak terutama di bahagian hujung dada dan punggungnya.


Sebagai pelanggan yang sering membeli ayam, bukan setakat itu sahaja yang saya perhatikan. Cara mereka berniaga juga saya perlu saya perhatikan juga. Kadang-kadang kita boleh bezakan kejujuran mereka. Cuba perhatikan perkara-perkara tersembunyi yang mereka lakukan. Pastinya memerlukan kepantasan mata yang lebih dari tangan mereka.
Sewaktu memilih ayam, sentiasa memerhatikan tangan dan timbangan mereka. Jika mereka menggunakan timbangan digital, harga 1kg ayam akan sentiasa diletakkan pada nilai RM0. Mereka akan masukkan harga ayam setelah dipersetujui pelanggan. Ini menunjukkan setiap pelanggan mungkin mendapat harga yang berbeza bergantung kepada cara pelanggan itu sendiri menawarkan harga. Jika anda tidak menyebut apa-apa pasal harga, maka harga ayam akan diletakkan pada harga syilling. Alat timbangan digital mereka juga dilengkapi satu butang yang mana apabila ditekan, berat ayam yang akan meningkat sehingga 400g. Biasanya teknik ini akan mereka gunakan apabila mereka meletakkan harga sedikit lebih rendah dari peniaga yang lain. Jika peniaga ayam yang lain meletakkan harga RM7.50 sekilogram tetapi peniaga ini menawarkan cuma RM7.30 maka berhati-hatilah. Anda mungkin menyangka membeli dengan harga murah lebih menguntungkan tetapi berlaku sebaliknya.

Peniaga ayam dipasar juga menggunakan lampu yang kemerah-merahan kemungkinan besar lampu yang dicat supaya cahaya merah yang menyinari ayam menampakkan kesegarannya. Jika berlaku sedemikian, usahakan agar anda dapat melihat ayam dibawah cahaya putih. Peniaga di Malaysia mungkin tidak berani menipu secara terang-terangan dimana di negara jiran, ayam disuntik dengan air agar menjadi lebih berat dan kelihatan berisi. Setelah dibeli, ayam perlu dibersihkan serta merta dan disimpan dalam bekas bertutup sebelum disejukbekukan. Jangan bekukan ayam tanpa dibersihkan agar usaha anda memilih ayam yang segar lebih bermakna.

Gambar diatas sekali adalah gambar gerai menjual ayam dipasar yang sering saya kunjungi. Nampak tak berapa merahnya lampu yang mereka gunakan? Gerai yang ini selalu menjual ayam beberapa sen lebih murah dari gerai yang lain tetapi tidak secara terang-terangan. Mereka hanya membisikkan sahaja berhampiran pelanggan, mungkin kerana tidak mahu dimarahi peniaga ayam yang lain. Jika anda membeli ayam digerai ini, ayam anda akan mempunyai berat diantara 2.6 - 3kg sedangkan ayam digerai-gerai lain juga mempunyai saiz yang lebih kurang sama diantara 2 - 2.4kg sahaja. Paham-paham sendiri la. Gambar kedua pula adalah gambar pengantin baru yang berkunjung kerumah saya baru-baru ini. Saya jamukan dengan hidangan rasmi keluarga apabila menyambut sesuatu upacara atau perayaan iaitu nasi ayam kangkang. Hidangan ini paling mudah, ringkas tetapi berprestij menyebabkan ia diangkat sebagai hidangan rasmi. Walaupun namanya kurang enak didengar tetapi biasanya perkataan hujungnya tu saya sebut perlahan-lahan je. hehehe Satu-satunya di Malaysia.