Jika berkesempatan, memang saya akan meluangkan masa untuk mengunjungi ekspo-ekspo dan pesta-pesta makanan seperti ini. Terlanjur sewaktu menghantar anak ke klinik untuk rawatan, saya menghadiri The Food Street JB City Square sekadar memeriahkan majlis sambil mencari idea-idea baru dalam bidang masakan.

Secara umumnya saya seronok melihat gerai-gerai jualan yang tersusun rapi, bersih membentuk lorong-lorong yang meriah dengan pengunjung. Produk-produk jualan bila dah dihias cantik dan disusun rapat-rapat memang mengujakan. Antara produk yang saya kira diperagakan dengan cantik adalah coklat, cupcakes, kuih-muih dan hidangan masakan barat. Selain itu terdapat juga beraneka kuih tradisional, ais krim, kerepek, mi dan kudap-kudapan.

Sewaktu di sana, saya dapati kebanyakan gerai dimonopoli oleh bukan melayu terutama cina. Mungkin kerana dianjurkan oleh kaum cina di tempat yang dipenuhi bangsa cina kepunyaan cina juga. Tahniah diucapkan kepada usahawan melayu yang berusaha untuk bersaing dengan bangsa lain di pesta makanan ini. Cuma apa yang saya kesalkan, mereka kekurangan idea dan strategi yang berkesan memenangi hati pelanggan. Usahawan melayu masih lagi dengan konsep perniagaan cara lama iaitu menjual kuih tradisional dan tempatan seperti bahulu, keropok lekor ataupun menjual produk yang sudah sedia popular seperti kaya ball, waffle yang kita tahu, bahan-bahan ini telah dibekalkan dalam bentuk premix kepada mereka. Hanya perlu dibancuh, dimasak dan dijual. Pembekal bahan premix ini pula mungkin bukan dari orang melayu.

Bagi gerai kaum cina pula, mereka lebih berinovatif dengan menjual burger, chicken chop, steak, spageti hot dog dan berbagai jenis masakan barat lagi. Memang harga yang mereka tawarkan sangat mahal. Chicken fillet burger contohnya berharga RM9.90 tetapi harga ini sangat berbaloi kalau kita tengok rupa burger yang mereka sediakan. Kepingan isi ayam sebesar pinggan diapit dengan roti yang 2 kali ganda lebih besar dari roti burger yang biasa kita lihat. Sekali tengok, roti itu masih terlalu kecil berbanding dengan kepingan daging ayam yang diapit, tapi itulah kelainannya. Mungkin kita boleh buat kepingan daging ayam yang lebar tapi memang tak ada roti burger yang sebesar itu dipasaran. Teknik ini sekaligus memberitahu pelanggan bahawa mereka menyediakan sendiri semua  bahan-bahan untuk membuat burger termasuk rotinya. Bukankah lebih menguntungkan jika kita dapat menjual burger dengan keseluruhan daging, roti, sos kita sediakan sendiri? Kalau boleh, salad, timun dan tomato pun kita tanam sendiri. Ini akan meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap produk yang dijual.

Kaum cina menggunakan medium seperti ini untuk mempromosikan perniagaan mereka serta perkhidmatan katering yang mereka tawarkan sedangkan orang melayu berusaha menggunakan ribuan pengunjung sedia ada untuk menjual seberapa banyak produk mereka pada hari tersebut. Perbezaan strategi mereka ini sangat ketara. Orang melayu hanya mendapat keuntungan besar pada hari itu sahaja sedangkan orang cina lebih kepada keuntungan jangka masa panjang. Orang cina menjemput para pengunjung ke restoran mereka atau menggunakan perkhidmatan katering mereka. Mereka mengedarkan risalah, pamplet, voucher diskaun atau sekurang-kurangnya kad perniagaan untuk memperkenalkan perniagaan mereka. Saya pun hairan dimana pengusaha-pengusaha restoran melayu. Mereka tidak gemar menyertai program sebegini sedangkan jika teknik dan strategi yang digunakan betul, mereka dapat mengembangkan perniagaan mereka lebih jauh lagi dan berbaloi dengan apa yang mereka belanjakan. Nasihat saya, buka mata luas-luas. Cari ilmu perniagaan sebanyak-banyaknya. Rebut peluang yang ada dan jangan lupa bantu usahawan kita yang masih merangkak untuk lebih maju.