Minggu lepas, dalam hujan lebat, saya pulang juga ke kampung untuk menunaikan tanggung jawab sebagai rakyat Malaysia. Walaupun hanya pilihanraya kecil Labis, namun saya mesti turut serta memilih pemimpin agar nanti tiada keraguan kerana rakyat sendiri yang memilihnya.

Memang meriah pilihanraya Labis. Poster kempen dimana-mana. Begitu juga dengan jentera parti yang diimport dari seluruh negara semuanya berkampung di Labis. Setiap hari diadakan ceramah. Bila dah ada ceramah, mesti ada pemimpin tertinggi yang hadir. Sudah tentu ada banyak makan-makan!. Sumbangan dari setiap parti politik juga melimpah-ruah. Saya nilaikan sekotak berbagai produk makanan bernilai melebihi RM200 diberikan kepada setiap keluarga. Itu tidak termasuk sumbangan-sumbangan kecil yang lain. Pergi ceramah pun dapat beberapa puluh ringgit. Untung la para peniaga di sana. Produk mereka amat laris dan usahawan tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Hotel-hotel semuanya penuh. Ada juga yang menyewakan bilik dengan harga yang tinggi malah dibayar dalam kiraan hari. Namun begitu, ramai peniaga menaikkan harga jualan mereka untuk mengaut keuntungan mudah.

Saya pula, hanya pulang sehari sebelum pilihanraya. Hanya dapat meninjau dari jauh sahaja. Nak mengikuti kempen, sorry la saya tak berminat. Lagipun hujan memang tak pernah berhenti dan sentiasa lebat. Tak perlu keluar rumah berhujan kerana mereka akan datang mencari dirumah. Macam tu pun ada juga stesen tv yang sudi interview. merasa la keluar tv. heheheh

Hujan semakin lebat seminggu sebelum saya pulang kekampung. Dan dua tiga hari seterusnya, hujan terlalu lebat tanpa henti. Mujur pusat mengundi hampir sahaja dengan rumah saya. Pukul 8 pagi dah terhegeh-hegeh mengundi. Walaupun menggunakan payung, basah tetap basah seperti tidak menggunakan payung. Pengundi lain pun seolah-olah tak menghiraukan cuaca. Tanggung jawab mesti ditunaikan.

Petang hari mengundi tu, air sungai mula melimpah. Air naik hampir serta-merta. Memang tak sempat nak buat apa-apa. Pekan Labis banjir untuk kali yang kedua. Saya memang tak dapat melihat dari dekat. Nak keluar dari kampung pun dah tak lepas. Lain la kalau saya ada bot. Simpati pada nyonya kedai buku asia yang mati terkejut sebaik sahaja air melimpah masuk ke kedainya.

Saya dijadualkan pulang ke bandar pada petang selasa namun banjir menyebabkan saya tak lepas keluar dari kampung. Saya pun tak berani nak menggadaikan nyawa mengharungi banjir. Malam itu bekalan air terputus. Terpaksa la berjimat cermat menggunakan air. Kalau untuk mencuci baju, pinggan mangkuk dan mandi tu tak kisah sangat. Air hujan banyak. Kiranya banjir kali ini, tidak seteruk pada tahun 2006 dahulu. Saya terperangkap selama 3 hari dikampung dengan bekalan air, elektrik dan telefon terputus. Bekalan makanan hanya ada ikan kering sahaja dikedai-kedai. Telefon bimbit pula baterinya hanya tinggal secebis hanya digunakan ketika kecemasan. Petrol kereta pun tinggal sedikit kerana bekalan petrol tak lepas masuk apabila jalan ke Segamat, Chaah dan Bukit Kepung semuanya ditutup. Mujurlah kali ini, DUN Labis mendapat pemimpin yang baru. Tindakan pantas membersih dan mendalamkan sungai dan parit-parit membolehkan air surut dengan cepat. Kalau tidak, sampai sekarang saya masih di kampung. Terima kasih kepada semua yang bertungkus lumus membantu agar kampung saya tidak terus terpulau. Terima kasih juga kepada parti yang sudi memberi saya elaun perjalanan. Terubat juga luka dihati dompet apabila petrol dan tol ditanggung sepenuhnya.

Maaflah lah kepada pembeli-pembeli ebook Panduan dan Resepi Masakan Barat Komersial yang terpaksa menunggu. Juga kepada pengunjung-pengunjung blog yang sentiasa menunggu resepi komersial baru dari saya. Di kampung, signal broadband memang hampir tiada. Kalau ada pun, itu cuma nasib baik. Dapatlah membaca sedikit email. Kini saya sudah selamat sampai ke rumah di bandar. Harap semuanya kembali kepada sediakala. Kepada sesiapa yang masih mempunyai utusan tertangguh dengan saya, sila hubungi saya semula. Mungkin ada yang saya terlupa atau terlepas pandang.