Sabtu lepas, kakak saya bersanding tetapi saya tak dapat pulang ke kampung kerana kekangan kerja dan beberapa perkara lagi. Dalam hati memang teringin menikmati nasi pengantin jadi pada tengah hari itu kami sekeluarga membuat keputusan menikmati nasi beriani yang sama seperti yang terdapat majlis-majlis kenduri kahwin. Cara yang paling senang adalah dengan menjamu selera di restoran yang popular dan sering menerima tempahan untuk majlis perkahwinan di Johor Bahru seperti JB Catering.

Restoran ini terletak di Taman Merdeka, Jalan Kolam Air yang berhampiran Istana bukit Serene. Sebuah tempat yang berhampiran tempat kerja saya dan menjadi laluan saya setiap hari. Kawasan taman ini sangat luas dan menarik sayangnya kelihatan seperti tidak siap dan tidak terjaga. Kalau lah taman ini diperbaiki dan lengkap dengan pelbagai kemudahan, sudah pasti restoran ini akan menjadi tumpuan kerana ia terletak tidak jauh dari bandar dan kurang kesesakan jalanraya.

Maaflah kerana saya tak dapat snap gambar masakan yang disediakan kerana sewaktu sampai, kami dalam keadaan kebuluran. Kepala tak boleh fikir apa-apa. Restoran ini menyediakan nasi beriani dan nasi putih lengkap dengan lauk-pauk melebihi 20 jenis untuk dipillih. Semua lauk pauk yang terdapat di kenduri kahwin semuanya terdapat disini. Juga terdapat ulam-ulaman, rojak pecel, lauk-pauk kampung, ikan masin dan macam-macam lagi. 6 jenis air disediakan termasuk kopi dan teh. Pelbagai kuih-muih juga boleh didapati seperti karipap, popia dan beberapa jenis kek. Tidak ketinggalan pencuci mulut yang manis-manis rasanya seperti beberapa jenis agar-agar, bubur kacang, bubur pulut merah, puding sagu dan puding kastard.

Sesiapa yang teringin datang kesini dinasihatkan datang dengan perut yang kosong. Kalau tahap kebulur lagi bagus kerana restoran ini menggunakan konsep buffet dengan kadar bayaran tetap. Makan banyak atau makan sikit bayarannya tetap sama. RM 12.90 seorang untuk dewasa dan RM7.00 untuk kanak-kanak. Kalau setakat nak jaga badan atau nak kontrol ayu baik tak payah datang sini. Restoran ini sesuai untuk kaki melantak dan pelahap macam saya. Lepas makan, nak keliling kolam yang luas tu memang tak larat. Kami hanya lepak-lepak dihadapan restoran itu sahaja sebelum pulang.