Tidak ramai yang mengahui kewujudan tempat ini. Tidak seperti Kolam Air Panas Labis, Hutan Lipur Taka Melor tidak pernah mendapat pendedahan kepada umum walaupun kedudukan kedua-dua tempat ini sangat hampir. Walaubagaimanapun saya sangat menyenanginya kerana kehadiran terlalu ramai pengunjung hanya merosakkan persekitaran alam semulajadi yang saya sayangi.

Lebih 5 tahun juga saya tidak mengunjungi Hutan Lipur Taka Melor. Sewaktu  Johor dilanda banjir besar, jambatan yang menghubungkan tempat ini runtuh dan sejak itu saya tidak pernah kesana lagi. Sehinggalah pada cuti sekolah 20 Mac 2010 yang lalu, akibat terlalu rindu, saya pergi juga kesana bersama keluarga. Sebenarnya, Hutan Lipur Taka Melor hanya terletak lebih kurang 5 kilometer sahaja dari kampung saya. Saya juga pulang kekampung hamper setiap bulan. Entah macam mana, mungkin kerana terlalu sibuk bersama keluarga menyebabkan saya kesuntukan masa untuk menikmati keindahannya.

Pada hari itu secara tiba-tiba, saya mengajak anak dan suami saya mandi-manda di Hutan Lipur Taka Melor, tempat permainan saya sewaktu kecil. Tidak perlu bersiap lama, hanya mencapai sepasang persalinan masing-masing, tuala serta sebotol air minuman. Suami pula telah siap berpakaian mandi. Bukan jauh sangat pun.

Dalam perjalanan, saya melencong sedikit untuk melihat keadaan perkampungan orang asli Juaseh berhampiran Empangan Juaseh. Memang banyak perubahan berlaku. Mereka sendiri sudah maju dan menerima kemodenan. Masing-masing sudah bermotorsikal. Juga terdapat klinik kesihatan. Mereka juga bersekolah sama seperti rakyat Malaysia yang lain.

Kemudian saya melalui Taman Rekreasi Air Panas. Tempat yang telah lama saya tidak kunjungi semenjak ia dimajukan. Asalnya Taman Rekreasi Air Panas hanyalah mata air panas dan dikelilingi hutan semulajadi. Kemudian apabila 4 buah kolam konkrit dibina saya tidak pernah mengunjunginya lagi. Suhu airnya juga dikawal mengikut kesesuaian pengguna. Setelah itu bayaran masuk mula dikenakan. Walaupun bayarannya tidaklah mahal, saya tetap tidak mengunjunginya. Saya tidak menyukai suasananya yang hampir sama dengan persekitaran di kolam renang. Terlalu ramai pengunjung juga amat merimaskan. Kini Taman Rekreasi Air Panas telah mempunyai sebuah taman tema air yang kecil. Hutan juga di teroka untuk mendirikan pelbagai kemudahan kepada pengunjung.

Akhirnya saya sampai juga ke Hutan Lipur Taka Melor setelah 15 minit perjalanan dari pinggir hutan. Dari jauh, tidak banyak perubahan yang saya nampak. Hutan tebal kelihatannya masih sama. Ini amat menggembirakan saya. Juga terdapat beberapa orang remaja, mungkin datang dari kampung berhampiran. Tidak sabar rasanya untuk menikmati air terjun yang sejuk dan segar. Dari jauh telah terdengar deruan air. Walaupun keadaan hutan sunyi, tetapi rasanya bunyi deruan air terlalu perlahan.

Saya berdiri di pinggir air terjun memerhati sambil mengenangkan kenangan zaman kanak-kanak. Agak lama saya termenung sambil membandingkan keadaan dahulu dan sekarang. Dahulu airnya tidak seperti ini. Dahulu airnya banyak mencurah-curah. Sekarang, airnya hanya mengalir lesu. Mana perginya semua air? Mungkin saya datang pada musim kemarau. Mungkin juga keadaannya begitu sejak beberapa tahun lalu.

Tenang rasanya berada dalam persekitaran alam semulajadi. Berbaring dalam air yang sejuk dan segar. Suasana menjadi sunyi dan tenang kerana cuma saya sekeluarga sahaja kini yang berada di kawasan ini. Remaja tadi semuanya sudah pergi. Saya menutup mata dan cuba melupakan segala kerja yang bertimpa-timpa. Hampir terlelap dibuatnya. Mujurlah saya teringatkan anak saya yang saya biarkan bermain air berhampiran.

Pernah melakukan fish spa? Terasa geli juga apabila ikan-ikan kecil mengigit kulit-kulit mati di kaki saya. Di Hutan Lipur Taka Melor, saya menikmati fish spa dalam keadaan semulajadi. Ikan-ikan disini lebih besar kira-kira sebesar 2 jari. Dahulu banyak ikan disini. Kini hanya terdapat 3 ekor sahaja yang menggigit kaki saya. Saya berharap keadaan ini akan menjadi bertambah baik suatu hari nanti.

Saya berasa sangat puas berehat disini. Suatu kenikmatan yang tak mungkin saya dapati di bandar. Rasa seperti saya telah mendapat rehat yang cukup. Dalam perjalanan pulang, baru saya menyedari, saya berada disana hanya selama 1 jam sahaja. Terasa seperti saya telah berehat selama seharian. Saya berharap kawasan ini akan terus sunyi tanpa pengunjung. Biarlah tanpa sebarang kemajuan, tanpa promosi. Biarkan Hutan Lipur Taka Melor terus terpelihara secara semulajadi.