Memang betul, sebelum ini saya tak pernah buka tempahan kek secara online. Tapi ini tak bermakna saya tak mengambil tempahan kek. Kalau tidak, dari mana datangnya gambar-gambar kek yang ada dalam blog ini. Takkan saya nak makan semua kek yang saya buat. Mana larat. Kalau saya tak terus membuat kek, ilmu saya tak akan bertambah.


Gambar-gambar kek dalam entri kali ini ditempah oleh Pn Mastura untuk anak-anaknya. Ada 2 biji kek sebenarnya tapi biarlah saya tunjukkan kek coklat angrybird ni dulu. Terima kasih saya ucapkan pada Pn Mastura yang bersungguh-sungguh nak merasa kek saya. Saya terima juga tempahan online ini memandangkan tempahan yang dilakukan sangat awal dan memberi kesempatan kepada saya menyusun jadual dengan betul. Lagipun hiasan yang dikehendaki ringkas sahaja. Harap anda sekeluarga suka dengan kek ini.


Popular sungguh angrybird ni rupa-rupanya. Sejak saya mengeluarkan gambar kek dengan model angrybird, dah banyak kek sebegini yang saya buat. Gembira melihat anak-anak mereka terlompat-lompat bila melihat kek angrybird ni. Ada juga yang tak sampai hati nak potong dan sanggup menyimpan beberapa hari agar dapat ditunjukkan kepada nenek. Bila dengar cerita-cerita sebegini, akan membuatkan hati saya senang dan puas.


Satu lagi, hati saya akan senang bila model seperti ini saya buat sendiri dari bahan-bahan yang halal dimakan. Hati saya tenang dan tidak risau kerana saya tahu, bahan-bahan yang saya gunakan semuanya dari sumber yang halal. Memang leceh kerana terpaksa mengadun sendiri fondant dan sugarpaste yang digunakan. Tapi itu sahaja caranya agar saya tahu status halal produk yang saya gunakan. Nak cari fondant dengan logo halal jakim dikedai, memang tak jumpa. Semuanya diimport sedangkan fondant saya, pengawet pun tak ada.