Apabila menjadi usahawan, salah satu kebolehan yang perlu ada adalah keupayaan melakukan ramalan. Bukan seperti tilik nasib yang diharamkan tu. Ramalan yang dimaksudkan bertujuan supaya kita lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Apabila kita sudah menjangkakan sesuatu perkara yang berlaku, bolehlah kita melakukan sesuatu supaya kita tidak terlepas sebarang peluang keemasan.


Setiap 6 bulan sekali, eloklah membelek kalender untuk meneliti tarikh-tarikh peristiwa yang penting. Contohnya pada bulan March, kita belek peristiwa-peristiwa yang akan berlaku pada bulan Julai hingga Disember. Pada bulan September pula kita belek peristiwa-peristiwa yang akan berlaku pada bulan Januari hingga Jun. Dengan ini, kita masih ada masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk bersedia menghadapi peristiwa-peristiwa tertentu.


Bergantung kepada jenis perniagaan, permintaan terhadap sesuatu produk akan bertambah berlipat kali ganda. Permintaan produk-produk makanan contohnya, akan bertambah pada hari perayaan. Begitu juga dengan pakaian, perabot, sehinggalah kepada hiasan dalaman. Bayangkan jika anda hanya menyedari sesuatu peristiwa penting, hanya sebulan sebelumnya. Nak mohon tapak bazaar ramadhan pun dah penuh. Tiga bulan sebelumnya dah diadakan undian pemilihan tapak. Nak melakukan promosi jualan murah di premis perniagaan pun tak sempat. Nak mohon permit gantung banner dari pihak berkuasa pun memakan masa juga. Bila dah dapat, produk pula tak ada. Tak sempat nak pesan dari pembekal. Dengan masa yang terhad, berapa banyak sangat la produk yang dapat disiapkan.


Produk-produk makanan yang boleh bertahan lama atau boleh disejukbekukan perlu disediakan lebih awal supaya apabila tiba masa yang penting, kita tak kehabisan bekalan. Sate contohnya, perlu dicucuk beberapa bulan lebih awal kerana kerjanya yang leceh. Produk-produk makanan lain seperti kek lapis yang takan lama, pau, karipap, keropok, dodol, rendang dan sebagainya boleh bertahan lama. Produk bukan makanan seperti pakaian, perabot, perlu disiapkan awal supaya permintaan dapat dipenuh apabila sampai masanya. Adalah sangat merugikan apabila menerima permintaan sate yang banyak sedangkan kita hanya mampu mencucuk 1000 batang sate sahaja setiap hari.

p/s Gambar diatas adalah kek hari ibu dan hari guru yang saya buat baru-baru ini. Peristiwa hari guru dan hari ibu yang terlalu hampir menyebabkan saya tak mempunyai masa yang cukup memikirkan hiasan dan tema yang sesuai untuk kek ini.