Mengikat ayam dipanggil trussing dalam masakan barat. Ayam diikat sebelum dipanggang atau dibakar supaya ayam masak lebih sekata. Setelah diikat, bentuk ayam menjadi padat dan bulat. Oleh itu ayam mendapat pemanasan yang menyeluruh dan seimbang. Kedua, supaya bentuk ayam lebih menarik. Ini termasuklah tidak mencapah dan tidak senget kedudukan peha dan kepaknya. Ayam Panggang Pengantin akan lebih menarik.
Saya telah membuat video cara-cara mengikat ayam atau trussing ni. Tali yang digunakan mestilah tahan panas dan bersih. Sebelum mengikat ayam, keseluruhan badan ayam perlu diurut terlebih dahulu agar isi ayam lebih lembut. Tarik bahagian kepak, kaki dan leher ayam untuk meregangkan urat-urat yang tegang sewakti di sembelih. Bahagian dalam ayam perlulah disapukan rempah-rempah yang digemari. Jika ingin menyumbat dengan sayur-sayuran seperti lobak merah, kentang, giant selery, tomato dan sebagainya, bolehlah dilakukan terlebih dahulu. Untuk sayuran yang lambat empuk, ia perlu di direbus dahulu atau di goreng dengan minyak sedikit (saute). Kemudian sapukan rempah dibahagian pelipat seperti celah kepak dan peha kerana bahagian-bahagian ini akan dirapatkan kedada. Setelah itu, bolehlah memulakan proses mengikat.
Selesai mengikat, sapukan rempah-rempah seperti biasa, diperap jika perlu dan dibakar. Video ini adalah salah satu contoh cara mengikat ayam yang paling mudah dan digunakan dalam pembelajaran masakan barat. Kaedah mengikat ayam yang lain boleh memberikan bentuk ayam yang berlainan.
Saya bekerja sebagai seorang tenaga pengajar yang khusus dalam bidang masakan. Saya membuat blog ini agar saya dapat berkongsikan segala ilmu yang saya ada terutamanya dalam bidang masakan dan tidak terhad kepada masakan barat.
Saya tidak suka orang menghubungi saya hanya untuk meminta resepi itu dan ini. Pada saya bidang masakan ini luas. Tak semestinya tahu resepi sahaja seseorang itu akan pandai memasak. Tak semestinya tahu memasak sahaja, masakannya akan sedap.
Saya memasak dengan sepenuh perasaan dan kasih sayang. Itulah yang saya amalkan selama ini. Anda akan memahami maksud saya sekiranya anda terus mengikuti blog ini.