Mengelim karipap juga memerlukan kemahiran. Belajar apapun semuanya perlu ada kesungguhan dan latihan. Memang ada ramai orang yang mempunyai bakat semulajadi. Bagi tepung jadi kuih. Serupa dengan artis juga. Bagi cat, jadi gambar yang cantik, bagi kapur tulis pun jadi gambar cantik. Malah dengan arang pun boleh jadi karya seni yang hebat. Kalau orang yang biasa-biasa macam kita-kita ni, kalau tak berlatih memang tak kemana. Walau macam mana bentuk karipap pun, ia tetap dipanggil karipap. Boleh makan juga. Rasa pun sama juga. Tapi kalau dapat kelim yang cantik, kita akan rasa puas dan gembira walaupun akhirnya karipap tu akan hancur juga dikunyah selumat-lumatnya.

Saya hanya boleh bantu dari segi resepinya sahaja. Untuk tekniknya, anda rujuk kedua-dua video yang saya sertakan. Selebihnya, terpulang kepada anda untuk berlatih sampai mendapat hasil yang memuaskan. Biasanya saya kelim menggunakan tangan untuk karipap pusar / pusing. Kalau karipap biasa, saya guna cetak je. Kalau untuk jualan, saya gunakan cetak dahulu kemudian barulah dikelim menggunakan tangan pula. Cara ini boleh mendapat karipap yang elok bentuknya dan sama saiz.


Jika anda rujuk Resepi Karipap Komersial dalam Artikel Ilmu Perniagaan yang Diperolehi dari Karipap, anda akan dapati doh karipap lebih keras. Tujuannya adalah supaya kerangupan karipap tahan lebih lama dan karipap tak mudah melekat sesama sendiri sewaktu disimpan. Seperti yang saya katakan, dijamin rangup sampai esok! Kedua-dua video diatas ni saya buat menggunakan resepi karipap komersial. Anda boleh nampak kekerasan kulit karipap tu. Nak lipat pun susah. Jadi kalau anda nak kelim menggunakan tangan, anda perlu lebihkan air sikit agar kulitnya jadi lebih lembut. Senang nak kelim. Kalau tangan anda sebesar tangan saya, boleh la gunakan resepi yang asal. Saya pun setakat sebiji dua, boleh la, kalau sedulang karipap nak kelim guna doh yang keras tu, boleh mengelupas jari saya.

Kelim karipap yang cantik, bentuknya mesti sama saiz dan bucunya tajam. Kasar-kasar pun tak mengapa asalkan sekata. Jadi tekanan jari sewaktu memicit perlu sama kuat. Selain itu, saya juga menggunakan bucu kuku untuk menikam kulit karipap supaya kelimnya lebih kuat dan tak mudah terbuka. Jadi bukan sekadar memicit dan melipat sahaja. Mempunyai jari yang besar tak semestinya tak boleh mengelim halus. Saya masih boleh kelim karipap serunding mini dengan halus walaupun berjari besar. Jadi jari bukan faktornya. Yang penting, latihan dan berusaha.