Teknik Membuat Tempoyak
Posted by Norasikin Basri on Tuesday, July 19, 2011
Under: Sembang-sembang dan tip masakan
Jadi apabila musim durian, saya akan membuat sendiri tempoyak yang diperlukan. Saya akan memilih durian yang sudah terlalu masak. Durian seperti ini mempunyai isi yang sangat lembik. Penggemar durian tak mengemari durian seperti ini jadi durian yang terlalu masak akan dijual dengan harga yang lebih murah. Saya membeli 6 bakul durian. Separuh untuk tempoyak dan separuh lagi untuk lempuk durian. Teringin pulak nak makan lempuk.
1 kg Isi Durian
1 cmt Garam
1 cmt Serbuk Kunyit
- Asingkan isi durian dari bahagian-bahagian yang keras. Kalau boleh biarlah hanya isi durian sahaja yang digunakan.
- Masukkan isi durian kedalam penapis dan biarkan airnya menitis selama sejurang-kurangnya 1 jam. Jangan lupa tutup untuk menjaga kebersihan.
- Didalam mangkuk yang sesuai, gaulkan isi durian, garam dan serbuk kunyit sehingga sebati.
- Simpan tempoyak dalam bekas kedap udara. Masukkan dalam beg plastik dan ikat kerana kemungkinan tempoyak itu meletup tetap ada.
- Tempoyak sedia digunakan sebaik sahaja ia mula masam. Lebih kurang 2 atau 3 hari pada suhu bilik. Kalau dirumah saya yang panas ni, 1 malam sahaja dah masam.
Tip Masakan Berguna
- Sewaktu mangasingkan isi durian dari bijinya, gunakan sarung tangan. Semua peralatan mestilah bersih. Ini dapat mengelakkan tempoyak dari berkulat. Kita memang perlukan tempoyak untuk menjadi masam tetapi bukan kulat.
- Kunyit bertujuan untuk memberikan warna yang menarik pada tempoyak. Tak letak pun tak mengapa.
- Ada juga yang suka tempoyak yang manis. Boleh ditambah gula jika suka tetapi hayat tempoyak yang ditambah gula akan berkurangan. Kalau suka tempoyak yang manis, tak perlu la peram dulu tempoyak tu. Lebih baik makan terus.
- Gunakan bekas yang besar untuk menyimpan tempoyak. Jangan isikan penuh-penuh. Biarkan separuh ruang udara kerana tempoyak akan mengembang dalam proses penapaian.
- Tempoh untuk tempoyak menjadi masam bergantung kepada suhu dan kualiti durian yang anda gunakan. Kalau anda menggunakan durian yang masih cantik tentulah lambat sikit. Sayang la kalau durian yang cantik dijadikan tempoyak.
- Simpan tempoyak dalam peti ais untuk memanjangkan hayatnya. Saya masukkan dalam peti ais sejuk beku kerana lepas raya baru nak guna. Kalau simpan dalam peti ais biasa, takut masam sangat pulak.
In : Sembang-sembang dan tip masakan
Tags: teknik membuat tempoyak resepi mudah cepat ringkas
blog comments powered by Disqus



