Teknik dan Resepi Opak-opak Ubi Kayu Tradisional
Posted by Norasikin Basri on Monday, August 1, 2011
Under: Sembang-sembang dan tip masakan
Bahan-bahan untuk Opak-Opak Ubi Kayu Tradisional
1 kg Ubi Kayu
1 cmt Garam
Minyak untuk menggoreng tenggelam
Air untuk mengukus
- Ubi kayu diparut sehingga habis.
- Perah ubi kayu menggunakan kain maslin dan airnya disimpan.
- Air ubi kayu yang diperah dibiarkan mendak selama lebih kurang setengah jam.
- Sementara itu, ubi kayu yang telah diperah dikisar lagi untuk menjadikannya lebih halus jika perlu. Lebih halus ubi kayu dikisar, lebih nipislah opak-opak ubi kayu yang boleh dihasilkan.
- Setelah air ubi kayu mendak, buangkan airnya dan ambil sagunya termendak.
- Campurkan sagu dan garam kedalam ubi kayu yang telah dikisar halus. Kacau sehingga sebati dan garam betul-betul larut.
- Dapatkan sebuah periuk dan beberapa keping tutup periuk.
- Masak air dalam periuk sehingga mendidih. Kecilkan api dan biarkan ia sentiasa merenih perlahan.
- Sementara itu, tepekkan campuran ubi kayu tadi dibahagian bawah tutup periuk. Dapatkan senipis yang mungkin.
- Tutupkan periuk menggunakan penutup periuk yang telah ditepekkan dengan ubi kayu tadi dengan keadaan ubi kayu berada didalam periuk. Biarkan ubi kayu terkukus selama 10 saat.
- Setelah masak, angkat tutup periuk dan biarkan sejuk sedikit. Sementara itu kukuskan ubi pada tutup periuk yang lain.
- Tanggalkan ubi kayu yang telah dikukus daripada penutup periuk dan letakkan diatas dulang. Tutup periuk boleh digunakan semula untuk menepek dan mengukus ubi kayu yang lain.
- Ubi kayu yang telah dikukus perlulah dijemur dan dibiarkan kering selama 2 hingga tiga hari.
- Setelah, ubi kayu benar-benar kering, goreng didalam minyak yang banyak sehingga kekuningan. Opak-opak ini akan mengembang besar jadi sila gunakan kuali yang besar. Opak-opak yang separuh kering juga boleh digunting agar saiznya lebih kecil dan mudah digoreng.
- Opak-opak ubi kayu sedia dinikmati.
Tip Masakan Komersial
- Anda boleh menjadikan opak-opak lebih menarik dengan menambah warna yang sesuai. Sewaktu menepek atas tudung periuk, gunakan kreativiti anda untuk menghasilkan pelbagai corak dengan warna yang sesuai.
- Anda boleh menyapukan sedikit minyak masak diatas tudung periuk agar ubi kayu yang siap dikukus mudah ditanggalkan. Sapukan satu lapisan nipis sahaja sebaik-baiknya menggunakan tisu. Biasanya hanya perlu menyapukan sekali sahaja pada permulaan mengukus. Setelah itu ubi tidak akan melekat lagi.
- Opak-opak yang telah betul-betul kering, boleh disimpan untuk tempoh yang lama, jadi kudapan ini memang sesuai dikeluarkan secara besar-besaran untuk menjana pendapatan.
- Memang opak-opak telah lama ada dipasaran jadi anda perlu memberikan nafas baru dalam menjadikan opak-opak keluaran anda lebih unik. Anda boleh memberikan perisa untuk opak-opak sama ada dimasukkan dalam kisaran ubi kayu atau ditaburkan keatas opak-opak siap digoreng. Anda juga boleh menghasilkan opak-opak dengan bentuk tetap dan menarik untuk menambahkan minat pelanggan terutama kanak-kanak. Boleh juga membuat opak-opak yang sangat nipis untuk menghasilkan persembahan seperti potato chips (pringles atau mr.potato)
- Untuk pengeluaran berskala besar, sudah tentu anda memerlukan mesin untuk penghasilan yang cepat. Opak-opak separa kering sebenarnya boleh digelek untuk menjadikannya lebih nipis. Saya memang ada terfikir idea mesin yang boleh dibangunkan untuk industri ini malangnya amat sukar untuk diterangkan disini.
- Insya Allah, mungkin suatu hari nanti saya dapat bercerita mengenai cara menghasilkan perisa-perisa untuk kerepek termasuk opak-opak seperti perasa bbq dan kari. Perisa begini memang banyak digunakan dalam pembuatan makanan ringan dinegara kita.
In : Sembang-sembang dan tip masakan
Tags: opak-opak ubi kayu tradisional resepi kerepek teknik cara membuat kaedah warisan
blog comments powered by Disqus



