Resepi tart shell yang saya gunakan untuk fruit tartlet ni sama dengan tart shell dalam Resepi Tat Keju Bluberi. Saya sukakan resepi tart shell ini sebab ia rapuh dan boleh dimakan segera. Lagipun ia tak terlalu manis dan sesuai untuk segala jenis tart. Resepi fruit tartlet dibawah ni adalah yang paling senang kerana hanya menggunakan kastard. Untuk rasa, anda memerlukan buah-buahan yang segar mengikut kegemaran. Selalunya buah-buahan yang sedikit masam digunakan berbanding buah yang manis kerana tart shell dan kastard sudah sedikit manis.


Bahan-bahan untuk Tart Shell
100g Mentega
50g Gula Pasir Kisar
1 bj Kuning Telur
200g Tepung Gandum
½ cmt Esen Vanilla
Bahan-bahan untuk Kastard Fruit Tartlet
25g Tepung Jagung
25g Gula Halus
1 bj Kuning Telur
150ml Susu Cair
70ml Air
¼ cmt Esen Vanilla
Sedikit Pewarna Kuning Telur

Bahan lain
Buah-buahan yang dipotong kecil
Sedikit glaze



Cara Membuat Fruit Tartlet
  1. Campurkan mentega, gula pasir, tepung gandum dalam satu mangkuk dan gaul ramas sehingga semuanya halus sekata.
  2. Masukkan kuning telur dan esen vanila dan gaul ramas lagi sehingga sebati.
  3. Apabila mahu dicanai barulah dikepal-kepalkan menjadi doh dan canai setebal 2mm. 
  4. Terap menggunakan acuan bulat dahulu sebelum dimasukkan doh yang sudah diterap kedalam acuan tart.
  5. Tekankan doh kepada acuan dan buangkan lebihan disekelilling. Pastikan ketebalan shell sama rata.
  6. Bakar dalam ketuhar dengan suhu 170C selama 8 – 12 minit atau sehingga sedikit keperangan.
  7. Apabila masak, sejukkan sekejap sehingga boleh dipegang dan keluarkan dari acuan. Biarkan ia sejuk sepenuhnya.
  8. Setelah disejukkan, simpan tart shell dalam bekas kedap udara sehingga diperlukan.
  9. Untuk kastardnya, campurkan semua bahan dan kacau  sehingga sebati dan halus.
  10. Gunakan double boiler untuk memasak adunan kastard. Sentiasa dikacau sehingga ia pekat dan tidak berketul.
  11. Setelah adunan licin, sudukan kastard kedalam tart shell sehingga hampir penuh. Susunkan buah-buahan yang dipotong kecil.
  12. Akhir sekali, sapukan glaze pada buah-buahan.
  13. Masukkan dalam bekas kedap udara dan simpan dalam peti ais sehingga waktu menghidang.




Tip Masakan Komersial
  1. Apabila membuat tart, bahagian yang paling leceh sekali adalah mencetak tart shell. Kena picit satu persatu dalam bekas yang kecil. Namun untuk pengeluaran berskala sederhana, dah ada alat penekan untuk tart shell.
  2. Biasanya saya tak lenserkan mentega pada acuan tart shell kerana resepi ini menggunakan banyak mentega. Setakat ini, belum pernah tart shell susah dikeluarkan dari acuan.
  3. Sebenarnya resepi tart shell ini ada sedikit perbezaan berbanding tart shell dalam resepi tart keju bluberi. Perubahan ini terpaksa dilakukan kerana saya hanya menggunakan setengah adunan. Jadi ada bahan perlu diubah untuk memudahkan menyukat.
  4. Resepi fruit tartlet diatas boleh menghasilkan lebih kurang 50 biji. Bahan-bahannya semua murah kecuali buah-buahan. Buah-buah seperti strawberi, kiwi, anggur memang tinggi harganya. Lepas tu tak boleh beli sikit. Kalau boleh beli kiwi ½ biji, anggur 10 biji barulah resepi menjadi murah. Oleh itu, jika anda ingin menjual produk seperti ini, pastikan jualan berterusan dan bukan kadang-kadang. Jualan kadang-kadang menyebabkan lebihan buah-buahan terbazir begitu sahaja. Lagipun lebih mudah membuat tart shell banyak sekaligus.
  5. Saya menggunakan pewarna untuk kastard supaya lebih menarik. Telur kuning sahaja tak cukup untuk menjadikan ia kuning. Kulit tart pula saya tak tambahkan pewarna. Warna perang apabila dibakar dah mencukupi.
  6. Dalam kulit tart, hanya kuning telur sahaja digunakan. Jika anda membuat 2 adunan diatas sekaligus, boleh lah menggunakan sebiji telur lengkap. Menggunakan hanya kuning telur menjadikan kulit tart lebih rapuh dan mudah pecah. Bila menambah putih telur bersama, kulit tart lebih tahan lembapan.
  7. Untuk tart buah-buahan ini, saya menggunakan buah kiwi, anggur dan sunmelon. Tak mampu nak beli strawberi, bluberi atau jenis-jenis beri yang lain. Buah naga pun cantik juga tapi sayangnya kali ni tak ada dijual di mana-mana. Pilihlah buah yang terang warnanya selain rasa yang sedap.
  8. Kadang-kadang apabila membuat tart yang banyak, rasanya terlalu cepat kastard membeku. Belum sempat mencedok keatas tart, ia dah kejung. Oleh itu, saya cadangkan anda jangan alihkan kastard dari double boiler. Kalau menggunakan piping bag, boleh letakkan ia diatas double boiler juga.
  9. Glaze akan membuatkan buah-buahan kelihatan lebih segar. Glaze ada dijual di kedai menjual bahan kek tapi harganya sedikit tinggi. Anda boleh juga menggunakan piping jelly tapi perlu dicairkan agar mudah disapu. Paling murah, guna je apa-apa jem yang jernih. Cairkan ke ikut keperluan.