Dah buang tebiat agaknya saya ni. Letak gambar pinggan kosong kat blog resepi. Atas pinggan tu sebenarnya terpulang kepada anda nak letak hidangan apa pun terutamanya masakan barat. Kalau nak letak keropok lekor macam tak sesuai sangat. Saya cuma nak tunjukkan cara membuat sos pedas tabasco (Tabasco Hot Sauce).

Manusia ni ada yang gemarkan masakan pedas dan ada juga yang gemarkan masakan sangat pedas. Masakan barat juga tak terkecuali cuma bilangannya tak begitu banyak memandangkan omputeh ni mudah menjadi merah bila makan makanan panas. Kalau kita berkunjung ke restoran masakan barat, biasanya mereka menghidangkan sos untuk menambahkan pedas dalam hidangan kita. Sos ini akan dimasukkan kedalam botol kecil dengan muncung yang juga kecil macam minyak angin. Kalau ikutkan rasa hati, sebotol tu memang tak cukup. Setakat sos sebesar jari kelingking tu yang mereka tafsirkan sebagai sangat pedas? Pada saya, pedas macam tu buat geli-geli je.

Namun begitu sos ini juga penting sebagai sebagai sebahagian dari penambah perisa dalam hidangan di restoran masakan barat selain dari garam dan lada sulah. Malangnya Tabasco Hot Sauce yang dijual di negara kita sangat mahal. Tak berbaloi dengan saiznya yang seciput. Jadi dibawah ini saya paparkan resepi sos pedas khusus untuk masakan barat. Tak payah susah-susah cari paprika atau red pepper. Negara kita banyak cili api. Pakai je. Kalau pandai adjust, lebih sedap dari yang dijual dipasaran.

Bahan-bahan untuk Tabasco Hot Sauce
5 bj cili api merah
1/4 cwn distilled white vinegar
2 cmt gula
secubit garam

Cara membuat Tabasco Hot Sauce
  1. Cili api dibelah 2 dan dibuang bijinya
  2. Kisar bersama semua bahan-bahan lain sehingga hancur.
  3. Adjust rasanya jika perlu dengan menambah vinegar, gula atau garam lagi.
  4. Masukkan kedalam botol dan sedia untuk dihidangkan. Kalau nak tapis dulu pun boleh juga.

Tip Masakan Komersial

  1. Sos ini walaupun kecil sebenarnya memberi kesan kepada pelanggan kerana selera setiap orang adalah berbeza. Penggemar hidangan pedas mahupun tidak pedas akan berkunjung semula ke restoran anda. Jadi jangan kedekut sangat. Tanpa sos ini, penggemar hidangan pedas tak akan berkunjung semula.
  2. Jika perlu anda boleh memasak sos ini selepas dikisar untuk mengeluarkan semua rasa dan aroma dari cili. Sos juga akan tahan lebih lama.
  3. Sos yang terdapat dipasaran biasanya akan diperap kira-kira 2 minggu sebelum dibotol dan dipasarkan. Ada juga yang memerapnya sehingga 6 bulan ditempat yang gelap dan sejuk. Tak hairanlah jika sos yang terdapat pasaran berbau tajam. Pebende bau tajam tu?
  4. Distilled white vinegar adalah cuka yang terhasil dari proses penapaian. Jadi sila berhati-hati. Carilah yang diyakini halal. Tak sama seperti cuka makan untuk masakan melayu yang dibuat dari asid sitrik.
  5. Sos ini boleh divariasikan dengan menambah bahan lain seperti bawang putih atau halia atau kedua-duanya. Juga boleh menggunakan cili padi hijau untuk warna dan rasa yang berbeza. Tak perlu sebarang herba barat. Cuma menambahkan kos sahaja.