Sewaktu majlis perkahwinan adik baru-baru ini, 2 ekor lembu telah ditumbangkan. Saya, dengan kerjasama ayah saya telah menyelamatkan 1 ekor lembu daripada dikendurikan. Bukan seekor lembu tapi hanya ekor lembu sahaja. Suami saya memang gemarkan sup ekor. Setelah sebulan tersimpan dalam peti ais, baru kini berpeluang memasaknya. Hidangan yang paling sesuai tentunya sup ekor kerana hidangan berkuah begini membolehkan semua khasiat dari ekor lembu dikeluarkan. Pada kali ini saya akan memasak seluruh ekor yang saya ada cara  sup kampung maka terhasillah Sup Ekor Diperkaya Lemak Tepu Diperkuat Kolesterol.
Bukan selalupun saya dapat makan sup ekor ni. Biasanya cuma pada hari raya korban sahaja. Itupun jika ada lembu yang dikorbankan di rumah saya. Nak beli dipasar memang tak mampu. Nak makan kat restoran thai, lagi la tak berbaloi. Harap pada Hari Raya Aidiladha tahun ni dapat makan sup ekor lagi. Korban tahun lepas, gagal menyelamatkan walau seekorpun. Jadi, sekali-sekala boleh la makan hidangan berkolesterol dan berlemak tepu tinggi ni buat lepas gian. Lepas ni kena puasa kolesterol sebulan la. Bagi sesiapa yang ingin melaksanakan ibadah korban tanpa mengotorkan tangan sila klik disini. Murah sesangat.


Bahan-bahan Resepi Sup Ekor Diperkaya Lemak Tepu Diperkuat Kolesterol
1 btg Ekor Lembu
2 inci Halia
2 ulas Bawang Putih
3 bj Bawang Merah
1 Rempah Sup Tulang Bunjut
2 cmb Minyak Masak
1/2 cmt Serbuk Lada Hitam
3 L Air
1 cmt Garam
1 cmt Gula
1 tangkai daun sup


Cara Membuat Sup Ekor Diperkaya Lemak Tepu Diperkuat Kolesterol
  1. Ekor lembu dipotong setebal 1 inci kemudian direbus bersama halia yang dipotong nipis. Biarkan ia merenih selama 3 hingga 4 jam. Sentiasa pantau kuantiti air dan pastikan tak kurang daripada 2 L.
  2. Bawang merah dan bawang putih dihiris nipis. Panaskan minyak masak dan tumis bawang merah dan bawang putih sehingga wangi. Tumiskan bersama rempah sup bunjut juga.
  3. Campurkan semua bahan tumisan kedalam rebusan ekor tadi.
  4. Perasakan dengan garam dan gula serta lada hitam.
  5. Biarkan merenih lagi setengah jam dan bolehlah ditaburkan daun sup. Hidangkan panas-panas.


Tip Masakan Komersial
  1. Ekor lembu mempunyai tekstur yang lebih lembut dan halus berbanding daging dibahagian lain. Bagaimanapun ia tetap memerlukan masa yang lama untuk menjadikan ia betul-betul lembut. Anda boleh mencampurkan 1/2 cmt soda bikarbonat kedalam rebusan ekor yang mendidih untuk menjadikan ekor lebih cepat empuk. Petua ini sangat berkesan sebagai pelembut daging dengan cara merebus.
  2. Kadang-kadang saya suka memasukkan 1 cmb jus limau nipis kedalam sup untuk mengurangkan muak disebabkan bau lembu yang kuat. Dalam masakan thai, jus limau nipis dalam sup ekor adalah suatu kemestian. Mereka juga menggunakan serai, sos ikan dan sos ikan dalam sup untuk menguatkan perisa dalam sup mereka. Maklumlah, untuk berniaga, sup mereka lebih cair. Lain la saya. 1 btg ekor untuk 3 L air je. Memang kuat rasanya dan tinggi lemaknya.
  3. Sebaiknya, kurangkan lemak didalam sup dengan cara menyejukkan air rebusan semalaman atau didalam peti sejuk. Lapisan lemak akan terbentuk dipermukaan air rebusan. Buangkan lapisan lemak ini kemudian barulah boleh dibuat sup seperti biasa.