Inginkan muffin yang tak banyak cekadak? Inilah dia. Konsep muffin itu sendiri dah memang mudah, cepat dan ringkas. Tetapi ramai yang menyukarkan proses membuat muffin dengan menokok tambah berbagai-bagai syarat dan petua. Biasanya kalau muffin yang banyak cekadak, itu tak boleh ini tak boleh, saya tak akan buat. Alang-alang berpeluh, lebih baik saya buat cupcake. Seperti Streudel Muffin Buah-buahan ini, proses membuatnya tak sampai 30 saat. Tak sampai setengah jam, dah boleh makan. Nasihat saya, jangan sekali-kali menyusahkan diri dengan muffin kerana muffin adalah untuk kemudahan penggemar kek.


Bahan-bahan untuk Topping Streudel Muffin Buah-buahan
¼ cawan Tepung Gandum
2 cmb Gula Perang
2 cmb Majerin
¼ cmt Serbuk Kulit Kayu Manis

Bahan-bahan untuk Streudel Muffin Buah-buahan
1 cwn Susu Sejat
¼ cwn Minyak Masak
½ cmt Esen Vanilla
1 bj Telur A
200g Tepung Gandum
65g Gula Pasir
3 cmt Baking Powder
½ cmt Garam
1 cwn Buah-buahan Campuran Kering


Cara Membuat Streudel Muffin Buah-buahan
  1. Campurkan semua bahan-bahan untuk topping streudel. Boleh gaul ramas atau gunakan garfu sahaja untuk mendapatkan tekstur berderai.
  2. Campurkan bahan-bahan cecair iaitu susu sejat, minyak masak masak, esen vanila dan telur. Kacau rata.
  3. Campurkan bahan-bahan kering iaitu tepung gandum, gula pasir, baking powder dan garam.
  4. Campurkan bahan cecair kedalam bahan kering. Gaul sebentar sahaja.
  5. Akhir sekali masukkan buah-buahan campuran. Gaul sedikit lagi.
  6. Sudukan dalam cawan muffin yang besar 2/3 penuh. Boleh dapat lebih kurang 12 cawan.
  7. Taburkan topping tadi dan bakar dalam oven dengan suhu 200˚C selama 15 – 20 minit. Gunakan kipas dan fungsi turbo jika ada.
  8. Sejukkan sebentar sebelum dihidang.


Tip Masakan Komersial.
  1. Hanya satu petua sahaja yang saya ikut apabila membuat muffin iaitu jangan terlalu rajin sangat. Buat semuanya ala kadar sahaja terutama apabila menggaulkan bahan basah dan kering. Guna garfu sudah memadai. Biarkan adunan bergentel, tidak rata atau masih terdapat tepung yang masih kering. Pendek kata, bayangkan anda seorang pemalas yang sedang membuat muffin. Semuanya ala kadar.
  2. Menggaul topping sebaiknya mendapat tekstur berderai. Jika anda dapati gula perang terlalu basah, kurangkan majerin. Kalau tak berderai pun tak mengapa. Suka hati la nak buat muffin macam mana pun. Jangan menyusahkan diri anda dengan muffin.
  3. Tanpa menggunakan kipas dan fungsi turbo, muffin anda mungkin tidak akan merekah tetapi ini langsung tidak mencacatkan muffin. Anda boleh tambah suhu lagi supaya permukaan atas mengeras lebih cepat seterusnya bahagian dalam yang mengembang akan menolak permukaan atas ini sehingga merekah. Hati-hati, jangan terlalu panas kerana adunan mungkin tak sempat mengembang.
  4. Terbaik jika anda dapat menggunakan buah-buahan lain seperti bluberi sama ada dalam tin atau sejuk beku. Rasa muffin ini sangat sesuai dengan kulit kayu manis dalam toppingnya.

p/s: Pebende streudel tu ye? heheh