Stew memang kurang popular dengan masyarakat Malaysia tetapi sangat popular dalam masakan barat. Padahal sebenarnya masyarakat kita sering memasak makanan dengan kaedah ini tanpa disedari. Stew adalah kaedah memasak makanan menggunakan air yang sedikit dengan api yang perlahan supaya makanan menjadi lembut dan ia dihidangkan bersama kuahnya sekali. Dalam bahasa pasarnya dia dinamakan merendidih. Setelah mengetahui maksud stew, barulah ramai yang sedar, memang banyak hidangan tempatan yang menggunakan kaedah ini. Mungkin anda selalu memasak ayam atau daging dengan kaedah ini tanpa disedari kerana ia dipanggil rendang atau kari mengikut rempah yang anda gunakan. Dibawah ini pula adalah resepi stew daging lembu (beef stew) mengikut kaedah masakan barat sebagai asas untuk anda pelajari.


Bahan-bahan untuk Stew Daging Lembu
½ kg Daging Lembu
½ bj Bawang Besar
½ btg Carrot
1 btg Leek
½ cmt Garam
1 cmb Gula
½ cmt Lada Hitam
200g Sengkuang
2 cwn Stok Perang
1 cmb Tomato Puri
1 cmb Mentega
1 cmt Thyme Cincang
1 cmt Daun Parsley Cincang
2 bj Kentang
2 ulas Bawang Putih


Cara Membuat Stew Daging Lembu
  1. Daging Lembu dipotong dadu kecil lebih kurang 2 cm. Bawang besar, carrot, leek dan bawang putih dicincang. Kentang dan sengkuang pula didadu besar.
  2. Panaskan mentega sehingga cair dan goreng daging sehingga keperangan.
  3. Masukkan semua sayur-sayuran yang didadu dan dicincang. Goreng lagi sehingga semuanya keperangan.
  4. Curahkan stok perang dan tomato puri, kacau dan biarkan mendidih.
  5. Masukkan parsley dan thyme serta perasakan dengan galam dan gula.
  6. Tutup periuk dan biarkan merenih dengan api perlahan sehingga daging empuk. Ini mengambil masa sehingga 40 minit bergantung kepada jenis daging.
  7. Hidangkan stew daging ketika masih panas.


Tip Masakan Berguna
  1. Seperti juga masakan kita, resepi stew daging ini sering berubah bergantung kepada selera masing-masing. Mengubahsuai herba masakan barat dan menukar sayur-sayuran akan memberikan rasa masakan yang sangat berbeza. Walaubagaimanapun saya harap bahan mirepoix seperti diatas seperti bawang besar, carrot, leek dapat dikekalkan untuk memberikan rasa lazat dalam masakan ini.
  2. Masyarakat barat sering menggunakan minuman beralkohol untuk memberikan rasa masam dan manis pada stew. Jika anda sukakan rasa seperti ini, anda boleh gunakan jus sparkling seperti anggur atau epal dan tak perlu menambah gula lagi dalam masakan.
  3. Untuk mendapatkan kuah yang pekat, anda boleh membuat roux dengan menambahkan 1 cmb tepung gandum pada langkah ketiga. Bagaimanapun dalam resepi ini, kentang membantu mendapatkan kuah yang pekat. Jika anda tak menggunakan kentang, kaedah roux sangat sesuai.
  4. Menggoreng daging terlebih dahulu bertujuan supaya segala jus yang terdapat pada daging kekal tersimpan didalamnya. Ini membolehkan daging anda kekal sedap dan tidak kering. Jika daging tidak digoreng terlebih dahulu, segala jus dan zatnya akan mengalir kedalam kuah.