Saya dah tak boleh makan daging lagi. Ayam pun dah tak boleh makan banyak-banyak. Nak makan spagetti kalau tak ada protein tak syok pulak. Jadi saya gunakan ikan untuk resepi spaghetti kali ini. Itupun bukan semua ikan saya boleh makan. Saya pilih ikan kerisi sebab inilah ikan yang paling murah yang saya boleh makan. Kesian… Kedua, sebab saya ni orang Malaysia, mesti nak makan makanan pedas sikit. Walaupun masih mengekalkan ciri-ciri masakan barat, paling tidak, mesti ada sikit pedas. Banyak lagi bagus. Maka jadilah resepi fusion Spicy Fish Spaghetti ni. Sama seperti Resepi Spaghetti Bolognaise biasa cuma saya dah gantikan atau keluarkan bahan-bahan yang saya tak boleh makan. Masakan barat sekarang ni pun dah banyak yang berubah. Dalam ebook Resepi Masakan Barat Komersial, saya masih mengekalkan ciri-ciri masakan barat yang asli. Terpulang kepada anda untuk mengubahsuainya mengikut peredaran zaman.


Bahan-bahan untuk Spicy Fish Spaghetti
1 paket Spaghetti  kering (500g)
2 ekor Ikan Kerisi Besar (500g)
10 tangkai Cili Kering
½ bj Bawang Besar
1 ulas Bawang Putih
3 cm Halia (saiz ibu jari)
2 bj Tomato Segar Besar(masak ranum)
1 L Air
2 cmt Garam
3 cmb Gula Pasir
10 bj Lada Hitam
Secubit Mix Herbs
2 helai Daun Bay
2 cmb Minyak Masak
2 cmb Tepung Jagung dibancuh dengan 50ml Air


Cara membuat Spicy Fish Spaghetti
  1. Ikan kerisi dibelah dua dan dikaut isinya dengan sudu. Buangkan tulangnya. Isinya didadu kasar.
  2. Spaghetti direbus mengikut arahan pada paketnya. Saya tak suka el-dente. Jadi saya rebus sangat lama.
  3. Rendam cili kering dan kisar sampai halus dengan sedikit air.
  4. Bawang besar, bawang putih, halia dibersihkan dan dikisar juga bersama cili kering.
  5. Panaskan minyak masak dengan api sederhana.
  6. Setelah minyak minyak panas, tumiskan bahan kisar sehingga pecah minyak.
  7. Tomato dibelah menjadi kecil dan dikisar dengan air yang banyak. Masukkan dalam bahan yang ditumis.
  8. Masukkan air selebihnya, daun bay, mix herbs, lada hitam yang dipecahkan dan setelah mendidih, perasakan dengan garam dan gula.
  9. Setelah mendidih selama 10 minit, pekatkan sos dengan menggunakan tepung jagung.
  10. Apabila kepekatan sos sudah sesuai dan rasa sudah seimbang, bolehlah dihidangkan bersama spaghetti tadi.


Tip Masakan Komersial
  1. Menggantikan ayam atau daging dengan ikan adalah langkah yang baik demi mempelbagaikan hidangan. Apa gunanya masak benda yang kita tak boleh makan. Jadi pilih ikan yang tidak terlalu kuat baunya. Saya tak pernah cuba menggunakan ikan kembung, selayang atau jenis-jenis trout. Anda cubalah dan beritahu saya. Mana la tau boleh jadi Laksa London. Heheh
  2. Kalau anda kaji mi di Malaysia, anda akan dapati mi kita lebih lembut berbanding mi di barat atau di timur. Orang barat lebih gemarkan mi yang lebih keras. Orang jepun juga sukakan mi yang kenyal. Merebus mi seperti ini dipanggil el-dente dimana bahagian tengah mi tidak masak sepenuhnya. Kalau dipotong mi ini, hanya satu titik halus sahaja mewakili bahagian yang dimaksudkan. Saya tetap suka yang lembut dimana sos atau kuah dapat meresap dengan lebih baik.
  3. Kadang-kadang jika kita menggunakan tomato yang dikisar, kita dapati kuah ini mempunyai rasa seperti kelat dilidah. Ini adalah rasa kulit tomato yang dikisar. Rasa ini lebih kuat pada tomato yang tak cukup masak. Memang mengganggu rasa jadi jika anda pun tak suka, anda boleh membuang kulit tomato ini. Cara paling mudah ialah dengan memasukkan tomato dalam air panas mendidih selama setengah minit. Ini akan memudahkan proses membuang kulit tomato.
  4. Saya respect kat chef dibarat yang menggunakan minyak masak yang sangat minimum. Mereka lebih rela tumisan hangit dan melekat pada kuali daripada menggunakan lebih banyak minyak. Memang menggunakan minyak yang banyak menjadikan makanan lebih sedap tapi kena fikirkan juga kesannya pada kesihatan. Tanpa kolesterol ke, tanpa lemak trans ke, ia tetap berisiko. Apa salahnya mencontohi orang asing untuk perkara yang baik.
  5. Spaghetti masakan barat selalunya menggunakan meatball. Memang syok meatball mereka sebab ada keju didalamnya. Apa kata jika kita gantikan dengan fishball yang juga mengandungi keju? Bukan susah sangat membuatnya. Boleh sediakan lebih awal. Cuba rujuk artikel Nugget Ikan dan Burger Ikan Mini.
  6. Apapun yang anda masak, tolong jangan lupakan sayur. Walaupun dah mengandungi tomato, lebih baik jika ada banyak sayur. Saya cuma menambahkan 1 batang lobak merah yang di dadu. Anda boleh tambahkan mix vege untuk warna yang lebih menarik. Cuba juga giant celery dan lain-lain sayur yang mudah didapati di tempat anda.
  7. Biasanya orang barat menggunakan tomato dalam tin sama ada tomato puri atau peeled tomato. Menggunakan tomato puri, warnanya lebih menarik tetapi rasanya sangat masam. (Anda pernah rasa sos prego tak?) Oleh kerana tomato segar mudah didapati di Malaysia, saya lebih suka menggunakan yang segar. Kena la masak lama sikit sebab tomato segar banyak kandungan airnya.
  8. Dalam masakan barat dan spaghetti khususnya, mereka suka menggunakan keju dan cream. Taburkan sahaja keju parmesan sewaktu menghidang. Jangan banyak-banyak kerana keju ni masin. Cheddar pun ok juga. Kalau menggunakan cream, kena la masukkan sejurus sebelum api ditutup untuk mengelakkan ia mendadih. Cream memberikan rasa lemak. Pilih cream jenis uht. Guna susu cair atau susu segar pun tak de masalah. Kadang-kadang, saya menggunakan mayonis tapi memandangkan sekarang ni kena kurangkan kalori, terpaksa saya abaikan semuanya.