Ada pulak yang bertanya "gambar apabende yang kuning-kuning dalam polisterin kat entri Aktiviti Bulan April Yang Menyesakkan?" Maaflah kalau gambar dalam blog ni semuanya kecik-kecik. Kabur pulak tu. Kuih dalam polisterin tu adalah sosej roll iaitu sejenis roti yang dimasak dengan kaedah menggoreng. Sebelum digoreng, roti itu dililit pada sosej. Yang menyebabkan warna kuning tu sebenarnya hanya serbuk roti (breadcrumb). Saja je pilih yang berwarna kuning terang macam tu. Baru menarik dan lebih rangup.

Resepi sosej roll tu sebenarnya sama dengan resepi donut gebu tradisional iaitu salah satu resepi terbaik saya dan entri resepi yang paling banyak dikunjungi dalam blog ini. Hampir setiap minit pasti ada yang sedang membaca resepi donut gebu tradisional tu. Setakat ini belum ada lagi yang mengadu tidak berjaya menghasilkannya. Asalkan membaca dan memahami aturan membuatnya, pasti boleh berjaya dalam satu percubaan menurut kata beberapa orang yang pernah mencuba dan bercerita melalui email kepada saya. Pau sambal goreng itu juga menggunakan resepi yang sama. Ada yang memanggilnya dengan nama burger Malaysia. Cuma kali ini saya mengubahsuai sedikit resepinya supaya lebih gebu, lebih lemak dan lebih berkolesterol. Saja je. Asyik makanan berkhasiat je. Sekali-sekala nak la jugak makanan yang menggemukkan. heheheh.

Bahan-bahan untuk Sosej Roll dan Pau Goreng
1 kg tepung gandum
1 paket yis segera mauripan (11g)
500g air
3 cmb susu pekat manis atau krimer manis
2/3 cawan minyak
1/2 cmt garam
Minyak masak untuk menggoreng tenggelam
Sambal tumis atau sardin
Breadcrumb
Batter untuk melekatkan breadcrumb

Untuk cara membuatnya, anda boleh rujuk Resepi Donut Gebu Tradisional. Bezanya cuma ketika membentuk doh, iaitu pau sambal perlu dibulat-bulatkan dengan berat kira-kira 30g. Letakkan diatas dulang dan tekan sedikit supaya menjadi leper. Nanti tak de la pau sambal menjadi terlalu bulat macam bola pulak. Nak menggoreng pun jadi lebih senang kerana pau mudah di paling dan tidak berpusing semula pada kedudukan asal. Bagi sosej roll pula, doh perlu ditimbang seberat 50g. Gentel doh sehingga menjadi panjang kira-kira sekaki dengan keadaan runcing di kiri kanan dan gemuk ditengah. Lilitkan pada sosej dan selitkan hujungnya supaya tidak terbuka sewaktu mengembang. Campurkan tepung beras dan tepung gandum dengan nisbah 2:1. Gaul bersama air untuk membentuk batter yang pekat seperti adunan lempeng. Setelah doh dibiarkan kembang kira-kira 20 minit, sapukan batter pada sosej roll dan golekkan pada breadcrumb. Setelah selesai semuanya, barulah digoreng seperti biasa.

Entri ini sebenarnya mempunyai beberapa tujuan.
  1. Jangan takut untuk mencuba dan mengubahsuai resepi mengikut kemahuan kita. Begitulah caranya untuk belajar sifat-sifat bahan yang digunakan. Hanya gunakan logik pemikiran akal sahaja sudah cukup. Saya menambahkan minyak untuk menjadikan ia lebih lembut dari biasa. Saya juga menambah susu pekat manis supaya rasanya lebih lemak. Jadi saya perlu mengurangkan kuantiti air untuk mengelakkan doh menjadi terlalu lembut. Kandungan gula dalam susu juga menjadikan yis lebih cepat membiak dan mandapat hasil yang lebih lembut. Cubalah pula dengan menambahkan sedikit serbuk koko atau oat dalam adunan.
  2. Pelanggan sangat suka melihat pelbagai jenis kuih-muih yang dijual. Biasanya mereka akan memilih gerai yang menjual beraneka produk berbanding gerai yang  menjual hanya satu atau 2 jenis produk sahaja. Bagi usahawan makanan pula, menambah produk akan memberikan lebih keuntungan kepada mereka tetapi menambahkan lebih banyak kerja. Inilah contoh yang dilakukan bagi usahawan bijak. Mereka menghasilkan berbagai produk dengan menggunakan bahan yang sama. Adunan donut yang sama digunakan untuk menghasilkan berbagai produk lain seperti sosej roll dan pau goreng. Donut pula di tambah berbagai perisa dan dihias dengan pelbagai cara menjadikan ia seolah-olah sangat berbeza. Pau goreng pula menggunakan berbagai inti seperti kelapa, kacang merah dan sebagainya. Apa kata anda ubahsuai pula kaedah memasak. Cubalah pula dengan membakar atau mengukus. Tak mustahil, dengan hanya satu resepi donut ini, anda boleh membuka sebuah kilang memproses makanan sejuk beku yang mengeluarkan berbagai produk.
  3. Sewaktu di entri resepi donut gebu tradisional, saya tak dapat menunjukkan rupa permukaan donut yang baik kerana donutnya diselaputi gula. Untuk entri ini anda boleh membelek gambar pau sambal goreng dan anda akan dapat melihat permukaan pau mempunyai gelembung-gelembung udara yang nipis dan halus. Inilah rupa terbaik yang seharusnya anda perolehi dari resepi ini. Ini juga menunjukkan kulit nipis luar pau ini garing dan gebu didalamnya. Berbanding dengan pau yang banyak dijual di gerai-gerai, kulit luarnya licin berkilat dan tebal. Sepatutnya kulit yang garing ini nipis sahaja. Paling banyak yang saya jumpa adalah pau yang liat setelah sejuk.