Menggunakan buah-buah dalam pembuatan sos untuk digandingkan hidangan berkonsepkan gorengan rangup bukan sesuatu yang baru. Pertama sekali saya mengenali sos dari buah-buahan sitrus ini adalah melalui masakan cina. Mereka memang menggemari sos yang masam dan manis. Kemudian barulah saya mencuba citarasa masakan thai dan barat. kebanyakkannya hampir sama cuma bahan yang menjadi trademark mereka yang berbeza. Cina dengan minyak bijannya, thai dengan sos ikannya dan barat dengan herba masakan baratnya.

Kali ini saya paparkan 2 resepi iaitu sos lemon dan sos oren yang sangat sesuai dihidang bersama seafood tempura. Anda juga boleh menjadikan ia sebagai pelengkap untuk hidangan gorengan rangup seperti ayam, ikan, udang, sotong dan sebagainya. Resepi sos ini dah bercampur aduk hingga susah nak menentukan negara asalnya. Apa-apa hal pun ia tetap enak dan mudah disediakan. Anda boleh cuba sekiranya dah jemu dengan sos yang pedas.


Bahan-bahan untuk Sos Lemon
1 inci Halia
2 ulas Bawang Putih
1 bj Jus Buah Lemon
1 cwn Air
1 cmb Minyak Bijan
1 cmb Tepung Jagung
Sedikit Serbuk Kunyit - pilihan
Gula - pilihan
Stok Ayam - pilihan

Cara Membuat Sos Lemon
  1. Halia dan bawang putih dimayang halus.
  2. Panaskan minyak bijan dan tumiskan bahan yang dimayang.
  3. Masukkan jus lemon, air, serbuk kunyit, dan stok ayam. Biarkan mendidih.
  4. Perasakan dengan gula.
  5. Pekatkan sos dengan tepung jagung yang dibancuh dengan sedikit air.


Bahan-bahan untuk Sos Oren
8 cmb Pekatan Oren Sunquik
2 cmb Sos Plum
2 cmt Biji Selasih (rendam dalam air suam sehingga kembang)
2 cmt Lada Sulah
2 cmt Gula Perang

Cara membuat Sos Oren
  1. Masukkan semua bahan dalam periuk
  2. Panaskan perlahan-lahan sehingga mendidih dan pekat.
  3. Sedia dihidangkan bersama hidangan utama.

Tip Masakan Komersial.
  1. Anda boleh membuat makanan laut goreng rangup dengan mudah. Hanya perlu perapkan udang, ikan atau sotong dengan garam dan lada sulah. Renjiskan tepung jagung dan goreng. Gunakan telur jika perlu. Untuk hasil yang lebih baik dimana udang dan sotong tidak tanggal dari tepungnya, boleh gunakan resepi Tempura Makanan Laut.
  2. Rasa sos yang baik pastilah sos yang dapat menambahkan kelazatan hidangan yang digandingkan. Untuk sos begini, tak banyak rasa yang perlu diseimbangkan hanya rasa masam dan manis sahaja. Garampun rasanya kurang penting terutama jika anda dah menggunakan stok ayam.