Walaupun susah disebut, sos Bolognaise adalah sos yang paling popular dalam masakan barat terutama dalam hidangan pasta. Tak kira la pasta jenis apa yang anda gunakan sama ada spagetti, fetucini, fusili atau apa sahaja, semuanya sesuai dengan sos ini. Lagipun kita yang mencorakkan sesuatu hidangan. Asalkan bertepatan dengan ciri-ciri masakan barat yang dikehendaki, hidangan ini tetapi menjadi pilihan ramai.

Saya membuat sos ini khas untuk resepi lasagna bolognaise yang akan saya post dalam entri yang lain. Jadi tak ada la gambar pasta yang disimbah dengan sos ini. Yang penting, resepi ini sangat mudah dan sedap. Anda boleh mencubanya tanpa mengeluarkan kos yang tinggi. Lupakan la sos segera yang banyak dijual di pasaraya. Hidangkan hanya makanan berkhasiat, selamat dan halal untuk keluarga anda. Lagipun rasa sos dari resepi ini sebijik macam sos segera dalam botol. Kalau dinilai dari bahan-bahannya, memang tak percaya. Tapi inilah kebenarannya.

Bahan-bahan Sos Bolognaise
1 biji bawang besar
2 cmb mentega/majerin
3 bj tomato segar
250g daging / isi ayam
100g cendawan butang
2 cmb tomato puri atau sos tomato
2 cmt oregano
1 helai daun bay
garam dan lada sulah sebagai perasa


Cara membuat Sos Bolognaise
  1. Bawang besar, tomato segar didadu. Ayam/daging dicincang halus. Cendawan butang dihiris nipis.
  2. Panaskan mentega. Tumiskan bawang besar sehingga layu.
  3. Masukkan tomato segar dan dimasak sehingga hancur.
  4. Tambahkan daging/ayam cincang, daun bay dan cendawan. Masak sehingga empuk.
  5. Setelah daging masak sepenuhnya, barulah masukkan bahan perasa yang lain seperti tomato puri, oregano, garam dan lada sulah.
  6. Masak sehingga sos menjadi sedikit pekat.
  7. Sos sedia digunakan untuk hidangan pasta anda.

Tip masakan komersial

  1. Anda boleh mendapatkan ayam/daging yang siap dicincang di pasaraya, walaubagaimanapun, anda boleh mengisar sendiri menggunakan pengisar bijirin/kering. Cuma kisar sedikit demi sedikit. Kawal suhu blender untuk mengelakkan kerosakan pada mesin.
  2. Jika boleh dapatkan tomato segar yang bewarna merah supaya warna sos menjadi lebih cantik.
  3. Daun bay banyak digunakan dalam masakan nasi beriani, jadi untuk mendapatkan daun bay yang murah bukan satu masalah. Cuba tanyakan dipasar-pasar besar. Kalau beli didalam botol dipasaraya, memang mahal harganya. Biasanya dipasar, satu paket daun bay mengandungi 20-30 helai daun hanya RM1 sahaja.
  4. Begitu juga dengan oregano. Jangan beli didalam botol di pasaraya. Carilah di kedai menjual bahan kuih/kek. Oregano antara herba barat yang paling murah. Boleh beli dalam paket yang kecil mengikut keperluan.
  5. Saya inginkan sos Bolognaise yang sedikit pedas dan manis untuk lasagna saya, jadi saya menambahkan sedikit sos cili yang saya hasilkan sendiri. Saya memang tak beli sos cili dikedai. Saya rasa, sos yang saya buat sendiri lebih sedap, selamat dan jimat. Lagipun saya lebih memahami sos cili saya sendiri. Jadi lebih mudah untuk saya gunakan dalam masakan-masakan saya. Saya juga manambah karot yang didadu dalam sos bolognaise ini.