Sos barbeku yang dijual dipasaran terutamanya keluaran negara-negara barat memang mempunyai rasa yang unik. Syarikat di Malaysia ada juga mengeluarkan sos-sos barbeku segera namun rasanya masih bercirikan ketimuran. Orang Malaysia sukakan pedas. Orang melayu contohnya, kalau makan masakan cina pun nak pedas. Makan masakan barat pun nak pedas. Pernah seorang pembeli ebook Resepi Masakan Barat Komersial bertanya kepada saya bagaimana nak jadikan sos black pepper tu lebih pedas. Dia dah tambahkan lada hitam sebanyak-banyaknya pun masih rasa kurang pedas. Jawapan saya mudah saja. Masakan barat memang tak pedas kerana orang barat tak gemarkan masakan pedas. Kalau nak bagi pedas, tambahkan je cili api tapi masakan itu tak boleh lagi dikatakan masakan barat.


Berbalik kepada sos barbeku pelbagai guna, masyarakat barat menggunakan tomato sebagai bahan utamanya. Saya lebih gemar menggunakan sos tomato sahaja berbanding tomato segar atau tomato puri.  Tomato dalam tin memang tak mungkin la. Kenapa saya pilih sos tomato? Nanti saya cerita dalam tip masakan komersial. Sekarang ni, kita belek dulu resepi Sos Barbeku Pelbagai Guna atau Multipurpose Barbeque Sauce



Bahan-bahan untuk Sos Barbeku Pelbagai Guna atau Multipurpose Barbeque Sauce
220g Sos Tomato
125ml Air
50ml Apple Cider
6 cmb Gula Perang
6 cmb Gula Pasir
¼ cmt Serbuk Lada Hitam (coarse)
¼ bj Bawang Besar
¼ cmt Biji Sawi
½ cmb Jus Lemon
½ cmb Worchestershire Sauce



Cara membuat Sos Barbeku Pelbagai Guna atau Multipurpose Barbeque Sauce
  1. Bawang besar dicincang atau didadu kecil, biji sawi dikisar kasar..
  2. Campurkan semua bahan dalam periuk dan kacau rata.
  3. Masak diatas api kecil sambil dikacau sekali sekala sekurang-kurangnya 1 jam sehingga mendapat kepekatan yang dikehendaki.



Tip Masakan Komersial
  1. Biji sawi adalah sejenis herba dalam masakan barat dan dipanggil mustard. Di negara kita ada dijual dalam bentuk paste atau serbuk. Berbagai jenama dan jenis yang saya nampak seperti yellow mustard dan sebagainya. Namun saya lebih suka gunakan biji sawi biasa je yang selalu digunakan dalam acar rampai. Memang berbeza biji sawi dan mustard namun saya rasa lebih selamat.
  2. Apple cider atau cuka epal memang banyak digunakan dalam sos atau seasoning . Kalau dalam resepi Tabasco Sauce, saya menggunakan distill white vinager, tapi dalam sos barbeku ni, saya pilih apple cider. Tujuan utamanya untuk rasa masam namun apple cider ada rasa yang unik kerana ia dibuat dari epal. Anda boleh gunakan apa-apa bahan untuk memberi rasa masam tapi sebaiknya gunakan cuka yang terhasil dari proses penapaian dan bukannya cuka dari bahan kimia seperti asid askorbik.
  3. Sekarang ni banyak sos-sos komersial dari barat telah beralih kepada asam jawa berbanding vinager atau cider. Mungkin faktor utamanya adalah kos. Bagaimanapun, asam jawa adalah pilihan terbaik kerana ia adalah semulajadi dan mudah diperolehi berbanding dengan vinager atau cider yang perlu melalui berbagai proses seperti penapaian, pemeringkatan dan sebagainya sebelum dapat dihasilkan.
  4. Jus lemon juga berfungsi untuk memberikan rasa masam dan menstabilkan rasa manis kerana resepi ini menggunakan banyak gula. Bagaimanapun rasa dan bau yang unik menjadikan sos barbeku ini lebih sedap dinikmati. Dalam resepi ini, saya tidak menggunakan herba-herba masakan barat jadi bau dan rasa ini adalah penting dan amat sesuai dengan masakan barbeku.
  5. Sos barbeku perlu dimasak dengan api kecil dalam waktu yang lama. Ini untuk mendapatkan sos yang pekat dan berkilat. Jika kita memasak dengan api yang besar, memang kita akan dapat sos yang pekat dalam waktu yang singkat tetapi, amat sukar untuk mendapat sos yang berkilat. Warna yang berkilat ini adalah disebabkan oleh penggunaan gula yang banyak dalam resepi ini.
  6. Gula perang mempunyai rasa yang lemak kerana kandungan molasses didalamnya. Gula perang adalah hasilan awal dalam pembuatan gula pasir. Gula perang boleh digantikan dengan gula merah, gula kabung atau gula apong. Gunalah yang mana yang mudah anda perolehi. Sukatannya sudah tentu berbeza. Jadi gunakan kelima-lima sedia anda terutamanya deria rasa untuk mendapatkan sos barbeku yang menepati citarasa ramai.
  7. Saya menggunakan sos tomato kerana ia labih memudahkan kerja. Didalam sos tomato ssudah terdapat bahan pemekat, perasa, rempah-rempah dan sebagainya. Jadi tak perlu susah-susah lagi. Bagaimanapun sos tomato yang dijual dinegara kita kebanyakkannya kurang rasa masam dan kurang rasa tomato. Sebab itulah saya menggunakan banyak bahan yang memberikan rasa masam untuk sos barbeku ini.
  8. Jika anda ingin mengeluarkan sos barbeku ini dalam kuantiti besar, adalah lebih sesuai menggunakan tomato puri. Tomato puri mempunyai rasa yang lebih asli dan lebih masam. Ia juga lebih pekat berbaning buah tomato segar jadi tak perlu memasak dalam jangka masa yang lama. Jika menggunakan buah tomato segar, pastikan anda buangkan kulit tomato dahulu kerana rasa kulit tomato yang kelat akan mengganggu rasa sos barbeku ini. Tomato dalam tin juga boleh digunakan tetapi harganya lebih tinggi. Kelebihannya pula, tomato ini telah dikupas kulitnya. 
  9. Sos worchestershire hanya untuk memberikan bau dan rasa masakan barat yang sebenar. Anda boleh gantikan dengan seasoning yang lain. Anda juga boleh menambahkan herba-herba barat untuk bau dan rasa yang lain dari yang lain. Silalah eksperimen sendiri. Kalau susah sangat nak pilih, gunakan sahaja herba campuran. Lebih murah dan semua rasa ada bercampur-baur.
  10. Dalam setiap masakan, jangan lupa seimbangkan rasa manis, masin dan masam sesuai dengan jenis masakan. Untuk barbeku ini, saya sukakan yang manis. Memang tak ada sos barbeku segera yag manis dipasaran. Semuanya masam dan sedikit masin. Selera anda macam mana pula?