Aktiviti biasa apabila ada kelapangan pada hujung minggu, saya akan mencari apa-apa keperluan untuk tujuan pengajaran akan datang. Dan saya masih lagi mencari hiasan meja untuk tema masakan cina. Dalam kepala hanya nak cari teko teh cina kerana perhiasan lain seperti tanglung, bunga, angpau dan lain-lain telah saya perolehi bulan lepas. Tapi inilah yang saya jumpa...

Agak mengejutkan juga, teko teh cina ini dihiasi dengan kalimah Allah. Adakah corak ini dihasilkan secara tidak sengaja atau ia dibuat oleh seorang muslim? Set teko cina ini terdiri dari 4 cawan dan 1 teko didalam sebuah dulang yang kesemuanya comel-comel belaka. Tambahan pula dengan corak berwarna emas yang menarik akan menunjukkan kemewahan pemiliknya. Dan kalimah Allah ini terdapat di semua cawan, teko dan dulang set teko cina ini.

Set teko cina ini masih berbungkus plastik tanpa kotak dan sudah berdebu. Jadi agak susah untuk saya mengambil gambar dari sudut yang terbaik. Saya pernah membaca akhbar yang menyiarkan kalimah Allah yang terdapat pada selipar, tikar getah, corak batik, ikan dan lain-lain tapi saya belum pernah melihat kalimah yang sejelas ini seolah-olah ia sengaja dibuat untuk menghiasi teko ini. Disebelahnya pula terdapat teko cina berwarna merah sesuai dengan tema yang saya kehendaki tapi setelah berfikir beberapa kali saya tak jadi membelinya kerana harganya yang dirasakan tinggi dan tak berbaloi dengan kegunaan teko itu nanti.

Saya berharap ada seorang hamba Allah yang akan membeli teko ini dan bukan orang lain. Tak sanggup rasanya melihat teko ini diletakkan ditempat yang tidak sepatutnya.