Entah kenapa, saya rasa macam sedih sangat dengan Nuffnang. Rasa sunyi je dan kosong je blog ni tanpa gambar-gambar bergerak dari Nuffnang. Bukan tak ada terus cuma yang runcit-runcit je. Tapi tak mengapa. Itu bukan tujuan utama blog ini buat. Selagi saya mampu, saya akan terus memaparkan resepi-resepi menarik yang sesuai untuk anda hidangkan direstoran-restoran atau gerai-gerai makanan anda.

Kali ini saya ingin bercerita mengenai resepi nasi goreng yang paling saya menyampah. Resepi ini terlalu ringkas, hambar tapi yang peliknya inilah nasi goreng yang dihidangkan di hampir semua hotel yang saya pernah singgah seluruh Malaysia. Malah, restoran masakan Thai juga kebanyakkannya menghidangkan nasi goreng ini untuk pelbagai variasi nasi goreng seperti nasi goreng pataya, nasi goreng USA, nasi goreng paprik dan nasi goreng daging merah. Apa yang istimewanya dengan nasi goreng ini? Anda boleh kaji resepi di bawah. Tak pernah dibuat orang, memaparkan resepi yang tak sedap di blog tapi ambillah ia untuk menambahkan ilmu didada. Harapan saya, kalau nak jual nasi goreng tu, cuba la jual nasi goreng yang lebih baik supaya berbaloi dengan nilai wang yang dikeluarkan oleh pelanggan anda.

Bahan-bahan Nasi Goreng Citarasa Hotel
300g nasi putih
1 ulas bawang putih
2 cmb minyak masak
1 cmt sos tiram
1 cmt sos ikan
1 biji telur digoreng hancur.
1/4 cwn sayur campuran sejuk beku
sedikit lada sulah
garam halus secukup rasa

Cara membuat Nasi Goreng Citarasa Hotel
  1. Panaskan minyak masak.
  2. Bawang putih dicincang atau diketuk sehingga hancur sebelum ditumis sehingga wangi.
  3. Masukkan sos ikan dan sos tiram.
  4. Masukkan sayur, telur dan nasi putih. Gaul rata.
  5. Perasakan dengan garam dan lada sulah. Masukkan air rebusan ayam jika perlu.
  6. Nasi goreng citarasa hotel sedia dihidangkan.


Tip masakan berguna

  1. Nasi bersifat seperti span. Ia akanmenyerap apa sahaja perasa yang kita gaulkan. Untuk mendapatkan serapan yang lebih baik, tekan atau lenyekkan nasi dengan lembut sewaktu menggorengnya sebagai langkah terakhir sebelum dihidangkan.
  2. Nasi goreng ini mempunyai kos yang sangat rendah. Itulah sebabnya ia tidak dihidangkan begitu sahaja. Biasanya dihidangkan sebagai nasi goreng pataya, paprik atau daging merah. Jika dihidangkan begitu sahaja, kekurangan nasi goreng ini akan terlalu ketara. Jika nasi goreng yang lebih baik pula dihidangkan sebagai nasi goreng pataya, paprik atau daging merah, kos untuk sepinggan nasi goreng akan menjadi lebih tinggi.
  3. Saya menggunakan sayur sawi kerana anak saya lebih menggemari sayur berdaun berbanding sayur sejuk beku. Anda boleh menambahkan berbagai jenis sayur yang disukai.
  4. Nasi goreng di hotel-hotel yang saya kunjungi biasanya dihidangkan secara buffet jadi nasi goreng ini akan nampak terlalu kosong. Bawang pun tak ada. Biasanya mereka menambahkan sedikit ayam atau daging cincang, udang serta sotong untuk menjaga imej hotel mereka. Penambahan bahan-bahan ini langsung tak pernah mengubah rasa nasi goreng ini mungkin bahan ini terlalu sedikit hanya bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.
  5. Jika di restoran atau gerai makanan Thai, nasi goreng ini disediakan dengan kuantiti yang banyak, mungkin untuk kira-kira 20 pinggan dan disimpan dalam flask untuk mengekalkan habanya. Inilah antara sebab mengapa saya tak suka memesan nasi goreng ini.
  6. Mungkin juga nasi goreng ini dibuat untuk orang yang tak tahan pedas seperti pelancong barat, kaum cina dan lain-lain. Kita tak dapat menjangka siapa yang akan menginap dihotel-hotel. Jadi hidangan ini menjadi penting kerana lebih sesuai dengan mereka.

Nasi goreng ni kalau makan dengan Daging Masak Hitam, baru kelas!