Lega rasanya setelah selesai segala yang perlu dilakukan di Kuala Lumpur. Kini saya kembali semula ke rumah sendiri yang tenang dan damai. Berapa jauhpun saya pergi, takkan sama seperti tinggal dirumah sendiri. Berapa mewahpun hotel yang saya diami, tinggal dirumah lebih selesa. Apatah lagi ditemani keluarga tercinta.


Lebih seminggu saya tak mengeluarkan entri baru. Bukan merajuk, cuma saya mengambil keputusan untuk berehat seketika kerana saya tahu, kerja-kerja yang saya tinggalkan lebih sebulan yang lalu tetap setia menanti saya. Dari Kuala Lumpur, saya melencong terus ke utara mencari tempat yang sesuai untuk menenangkan fikiran, mencari juadah-juadah yang baru dan menikmati sesuatu yang istimewa pemberian sahabat.


Gambar-gambar dalam entri ini adalah beberapa kenangan ditempat yang telah saya kunjungi semula setelah lebih 10 tahun. Memang banyak perubahan dan kemajuan. Ternyata 10 tahun lalu jauh lebih tenang dari sekarang. Kehijauan semakin berkurangan, suhu semakin bertambah, udara semakin kurang kualitinya dan penduduk semakin ramai.


Macam biasa, jika saya berkunjung ke mana-mana, saya akan memerhatikan perkara-perkara yang menjadi minat saya. Berkunjung ke beberapa restoran, saya dapati mereka akan menggunakan sumber-sumber yang menjadi keluaran penduduk setempat seperti strawberi, jagung mutiara, labu dan sebagainya. Setiap masakan mereka menggunakan cili benggala dan tidak menggunakan cili merah yang biasa. Timun mereka juga lebih kecil dan berwarna hijau tua seperti timun jepun. Kalau ditempat saya, timun begini ada dijual dipasaraya tetapi tentulah tak berbaloi menggunakannya untuk berniaga.


Berkunjung di pasar malam, saya dapati rata-rata peniaganya berbangsa Cina tetapi menggajikan warga Indonesia agar senang menjual kepada penduduk dan pelancong yang kebanyakkannya Melayu. Juadah mereka juga sedikit berbeza walaupun nama makanannya sama. Saya sempat mencuba nasi ayam, mi goreng, nasi goreng kampung. Bila bahan yang digunakan berbeza, rasa masakan juga berbeza. Rempah-rempah masakan juga kurang digunakan kecuali untuk masakan India seperti kari atau Melayu seperti rendang. Nasi ayam juga tak mempunyai sup.


Kebanyakkan gerai pasti menjual produk setempat yang mereka gunakan. Mereka banyak menjual gorengan seperti cendawan, labu manis, selada air. Apa yang menarik hati saya, gorengan mereka kekal rangup walaupun dalam cuaca sejuk dan sentiasa dikelilingi titisan air. Kiranya, mereka berniaga didalam awan... Kalau resepi gorengan biasa sudah tentu akan lemau dalam sekejap masa. Namun ada juga gorengan yang terlalu berminyak sehingga menjadikan rasa muak pada anak tekak.

Apa benda yang istimewa sangat pemberian sahabat tu sehinggakan perlu pergi ke tempat begini untuk menikmatinya?