Sewaktu entri ini di publish, dah dua hari saya berada di Kuala Lumpur. Dijangka saya akan terus disini untuk beberapa hari lagi. Saya gagahkan juga untuk update blog ini agar tiada yang menyangka Blog Resepi Masakan Barat Komersial telah berkubur. Tak sangka, hanya 2 entri sahaja dalam masa sebulan yang dapat saya paparkan. Kesibukan dan berbagai masalah yang saya hadapi serta tanggungjawab saya dalam mendidik anak bangsa menyebabkan saya terpaksa mengenepikan sebentar hal-hal berkaitan blog.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pelajar saya yang menduduki SPM tahun lepas. Terima kasih saya ucapkan kerana anda semua telah membuat saya sangat gembira dengan pencapaian anda. Ini adalah keputusan SPM yang paling cemerlang dari pelajar-pelajar saya. Selepas ini, tiada lagi pelajar SPM untuk saya. Tahun lepas adalah tahun terakhir saya mengajar pelajar SPM. Dan untuk SPM yang terakhir ini, saya rasa sangat berbangga.
Anda pernah mengikuti witness protection program? Inilah yang saya rasakan beberapa bulan kebelakangan ini. Kemana sahaja pergi perlu diawasi, apa sahaja yang dibuat perlu dimaklumkan. Saya tak mahu bercerita panjang mengenai hal ini. Ia terlalu peribadi dan tidak memberi kebaikan untuk pembaca semua.

Dah masuk bulan yang keempat sesi pembelajaran tahun ini. Jika tahun-tahun sebelum ini, saya hanya perlu mengajar apa yang telah ditentukan dalam silibus pembelajaran. Semua nota dan latihan telah disediakan. Tapi untuk tahun ini, pelajar-pelajar saya bukan lagi pelajar SPM. Saya perlu menyediakan sendiri segala keperluan pengajaran dan pembelajaran. Untuk tahun pertama, memang sangat sukar. Banyak yang perlu saya taip. Berbagai buku yang perlu saya rujuk. Mungkin tahun depan apabila semuanya telah sempurna, saya hanya perlu meneruskan sahaja apa yang telah saya gunakan tahun ini. Jika saya terpaksa mengajar matapelajaran lain, mungkin perkara ini akan berulang. Tak mengapalah. Sekurang-kurangnya banyak ilmu baru yang saya dapat walaupun terpaksa menghabiskan beberapa ribu ringgit untuk mendapatkan info yang saya perlukan dalam pengajaran.


Seperti biasa, setiap bulan pasti ada jamuan yang perlu saya kelolakan. Baru-baru ini, jamuan untuk 400 tetamu betul-betul memenatkan saya. Saya tahu berapa banyak masa dan tenaga yang saya ada jadi bila ada jamuan seperti ini, cara yang paling cepat dan mudah perlu digunakan. Tak perlulah ada sesiapa mempertikaikan apa yang saya buat. Memang saya suka memasak. Memang jika semuanya dibuat sendiri akan lebih menjimatkan. Namun jika saya tak dapat memberikan komitmen sepenuhnya, bagaimana saya nak lakukannya? Jika anda boleh memberikan komitmen yang diperlukan, marilah bantu saya. Jangan pula apabila sampai masanya, semuanya hilang entah kemana. Cakap bergegar-gegar nak masak itu nak masak ini nak buat itu nak buat ini tapi bila nak buat, macam-macam alasan yang diberi. Perlu diingat, lama sebelum tetamu datang, makanan dah perlu disediakan dan lama setelah tetamu pulang kitaorang masih terhegeh-hegeh mengemas dan membersihkan apa yang patut.

Sebaik sahaja saya pulang dari KL, satu lagi jamuan perlu dianjurkan. Kali ini saya harap semuanya dah tersedia. Tak larat rasanya sebelum terbit matahari dah keluar mengajar, matahari dah tenggelam baru dan sampai rumah kemudian terpaksa keluar lagi untuk mencari keperluan jamuan. Tengah malam masih terkial-kial memikul barang yang berat kesana-sini. Langsung tak ada kebaikkan untuk saya. Petrol pun kena tanggung sendiri. Nak minum air tongkat ali pun kena beli sendiri. Yang saya dapat cuma absorber kereta saya yang mendak kerana mengangkut lebih muatan. Paling kesian kat pelajar saya yang terjejas pembelajarannya. Nak buat kelas ganti pun tak sempat bila terpaksa ke KL seperti sekarang ni. Kalau mengajar matematik ke, sejarah ke, bahasa melayu ke atau inggeris ke sejam dua dah cukup. Bila ajar memasak, 4 jam pun belum tentu cukup.

Gambar-gambar diatas adalah diantara barang-barang yang diperlukan untuk jamuan yang lalu. Sampai sekarang, kereta saya terus mampat kebawah, tak berenjut lagi.

p/s Memang bloging ni sangat berguna untuk meluahkan perasaan dan meredakan tekanan. Maaflah kalau ada yang terasa. Kalau rasa tak puas hati meh la jumpa saya. Saya pun ingin jugak tahu sapa yang rasa pedas sangat tu.