Saya dapati cendawan shitake ada sedikit persamaan dengan petai. Persamaan dari segi apa, lain kali kita cerita. Semakin hari, harga petai  semakin mahal. Harga cendawan shitake pula tidaklah semahal dulu. Jadi saya rasa, Sambal Tumis Udang dan Cendawan Shitake adalah suatu alternatif kepada Sambal Tumis Udang dan Petai. Hasilnya, tidaklah mengecewakan.  Bagi penggemar sambal tumis petai, saya harap anda akan menggemari  sambal tumis cendawan shitake juga. Kalau memang anda tak sukakan petai, lebih baik cuba sambal tumis ikan bilis je.




Bahan-bahan untuk Sambal Tumis Udang dan Cendawan Shitake
300g Udang Kapas segar
40 tangkai Cili Kering
5 kuntum Cendawan Shitake
1 bj Bawang Besar
2 ulas Bawang Putih
1 cm Halia
½ cwn Minyak Masak
Garam dan Gula secukup rasa
1 kpg Asam Gelugur / 1 cmt Cuka



Cara Membuat Sambal Tumis Udang dan Cendawan Shitake
  1. Cili kering dipotong kecil dan dibuang bijinya kemudian direndam hingga kembang.
  2. Jika menggunakan cendawan shitake kering, ia perlu direndam dalam air panas sehingga kembang.
  3. Udang dibersihkan tetapi tak perlu dibuang kulit dan kepalanya. Bawang besar, bawang putih dan halia dihiris nipis.
  4. Kisar cili kering yang direndam sehingga halus.
  5. Cendawan shitake yang telah kembang perlu diperah terlebih dahulu kemudian dihiris nipis.
  6. Panaskan minyak masak dan tumiskan bawang putih, bawang besar dan halia sehingga naik bau.
  7. Masukkan cili kisar dan tumiskan sehingga cili garing dan terbit minyak. 
  8. Masukkan cendawan, asam atau cuka kemudian perasakan dengan garam dan gula.
  9. Akhir sekali baru masukkan udang dan masak sebentar sahaja.
  10. Apabila sambal tumis mulai berair bermakna air udang mulai keluar, bolehlah ditutup apinya dan dihidang bersama nasi putih atau nasi lemak kukus.



Tip Masakan Komersial
  1. Sambal tumis udang dan cendawan shitake ini sama dengan sambal tumis udang yang biasa cuma bezanya ia menggunakan cendawan shitake. Anda boleh rasai kelainannya kerana jarang sekali cendawan digunakan didalam sambal tumis. Rasa dan bau cendawan shitake yang unik mungkin mengganggu sesetengah pihak namun jika ramai penggemar petai, sudah tentu ramai juga akan menjadi penggemar cendawan shitake.
  2. Cendawan shitake mempunyai rasa dan bau yang kuat. Saya anggap ia sebagai unik dan lain dari yang lain. Bagaimanapun jika anda rasa anda perlu mengurangkan sedikit bau dan rasa cendawan ini, anda boleh menaburkan sedikit gula pada cendawan shitake yang telah diperah. 
  3. Cendawan shitake setelah diperah akan menyerap banyak cecair dari sambal tumis udang ini. Manakala udang pula mengeluarkan banyak air apabila dimasak. Ini menyebabkan sambal menjadi pekat. Cendawan shitake pula akan menjadi lebih sedap dan penuh perisa setelah menyerap segala cecair ini. Tambahkan air untuk sambal tumis yang lebih cair.
  4. Gula dalam sambal tumis menjadikan sambal lebih gelap dan berkilat. Saya suka sambal yang sedikit manis jadi saya akan lebihkan gula dalam sambal tumis. Bagaimanapun pastikan garam diseimbangkan dengan lebihan gula tadi dengan nisbah setiap 3 cmb gula perlu ditambah 1 cmt garam.
  5. Anda boleh menggunakan segala jenis udang yang anda suka. Saya paling gemarkan udang kapas atau udang putih kerana kulitnya yang nipis dan isinya yang manis. Pilihlah saiz udang yang sesuai untuk kegunaan anda.
  6. Saya dapati banyak cendawan yang rupa lebih kurang sama dengan cendawan shitake. Beberapa yang pernah saya cuba seperti cendawan bunga dan ntah apa-apa lagi cendawan dengan nama cina, saya dapati rasanya lebih kurang sama. Akhirnya saya pilih yang paling murah sahaja setiap kali memerlukan cendawan cina untuk masakan yang lain.
  7. Untuk sambal tumis udang, selalunya saya tak buang kulit dan kepala udang kerana bahagian ini paling baik dalam memberikan rasa udang dalam semua masakan. Bagaimanapun, dalam gambar diatas saya menggunakan udang yang sudah dibuang kulit dan kepalanya kerana kulit dan kepalanya saya gunakan untuk membuat stok udang. Stok rebusan ini ada juga saya gunakan untuk resepi Claypot Yee Mee.
p/s : Kali pertama saya makan cendawan ni dalam Hotplate Yee Mee, memang terasa asing. Kemudian saya gelarkan ia sebagai cendawan petai. Sekarang ni, saya rasa cendawan shitake sedap sangat!