Dah seminggu Ramadhan, barulah saya sempat mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh pengunjung Blog Resepi Masakan Barat Komersial. Bagi yang baru memulakan  perniagaan, tahniah saya ucapkan. Moga bulan yang penuh keberkatan ini menjadi bulan yang dilimpahi rezeki buat anda. Bulan ini adalah bulan ujian buat umat Islam dan sebagai usahawan, anda juga akan mendapat berbagai ujian yang tak dapat kita jangka.

Bagi yang sudah berjaya, berniaga adalah sesuatu yang mudah bagi mereka jika tahu caranya. Bagi yang baru, nak melaungkan produk jualan pun terasa kelat. Rasa macam mulut tu penuh sangat hingga tak boleh keluar suara. Bazaar Ramadhan tahun ini, saya dapati produk jualan masih lebih kurang sama. Cuma harga sahaja yang terus naik setiap tahun. Tak banyak kuih yang dijual. Kebanyakkannya lebih tertumpu kepada makanan berat yang lebih cepat membawa keuntungan. Jual 20 bungkus sahaja dah boleh dapat RM100. Kalau jual kuih, mungkin memerlukan sehingga 300 biji. Semalaman membuatnya! 

Saya pula lebih suka membeli kuih-muih sahaja. Tak berbaloi nak buat kuih jika saya hanya memerlukan 5 atau 6 biji sahaja. Bagi saya, kuih muih ini adalah tarikan kepada gerai anda. Bayangkan jika anda mempunyai kedai runcit. Keuntungan untuk jualan tepung dan minyak masak hanya 3 hingga 5 sen sahaja tetapi jika anda tak jual, tak ramai yang mahu singgah kedai anda. Jika anda jual pula, anda memerlukan modal yang besar dalam menyediakan bekalan. Bila anda jual makanan ringan, setiap jualan RM3, anda mungkin mendapat keuntungan sehingga RM1. Memang jauh bezanya. 

Gambar dalam artikel ini pula adalah dugaan untuk saya dalam menghadapai Ramadhan tahun ini. Kereta saya dirempuh dari belakang oleh lori tangki yang penuh dengan muatan simen. Bahagian depan pula dirempuh oleh lori 3 tan yang penuh muatan kayu bila kereta saya terpusing ke laluan bertentangan. Alhamdullillah, mujur saya sekeluarga selamat dan tiada yang cedera. Namun kereta saya memang cedera parah. Tak tahulah lepas ni dugaan apa pula..
Selamat Berpuasa Semua. Moga anda tabah menghadapi ujian.