Diam tak diam, kita telah pun meninggalkan tahun 2010. Suka atau tidak, kita harus menempuh tahun 2011. Dah banyak yang saya tempuhi pada 2010. Suka duka semuanya bercampur-campur. Dah bermacam-macam ilmu yang saya pelajari malangnya cuma ilmu yang saya minati sahaja yang dapat saya ingati. Begitu juga dengan blog ini. Sedikit demi sedikit saya mulai memahami mengenai blog. Saya semakin sedar tujuan saya membangunkan blog ini. Saya juga gembira bila blog saya dapat memberikan manfaat kepada orang lain terutama kepada orang yang berhasrat untuk menjadikan bidang kulinari sebagai sumber pendapatan. Dan saya harap usaha saya ini dapat memberikan kegembiraan kepada orang lain.

Kepada yang belum bermula, apa kata jadikan tahun baru 2011 ini sebagai detik permulaan untuk anda membangunkan satu perusahaan. Jangan menoleh kebelakang lagi. Tinggalkan semua sikap-sikap negatif dalam diri dan semarakkan sifat-sifat positif seterusnya yakin untuk memperolehi kejayaan di tahun baru 2011 ini. Jadikan ini sebagai azam yang perlu dicapai sebelum tahun bertukar lagi. Perbaiki taraf hidup untuk keharmonian keluarga anda.

Gambar-gambar dalam entri ini adalah gambar kek terakhir saya untuk tahun 2010. Kek ini saya buat khas untuk adik saya yang akan melangsungkan majlis pertunangannya beberapa jam lagi. Kek ini juga adalah eksperimen saya untuk berjinak-jinak dengan fondant. Seluruh bahagian kek ini saya buat sendiri  dan tiada yang dibeli sedia diguna termasuklah tapaknya. Kek di dalamnya adalah kek buah-buahan dari ebook Panduan dan Resepi Masakan Barat Komersial 4. Manakala fondantnya saya uli dari gula ising. Bagi yang telah membaca ebook Panduan dan Resepi Masakan Barat 4, sudah pasti anda tahu kos yang diperlukan untuk sebiji kek ini. Manakala gula ising yang saya gunakan untuk fondant hanyalah gula ising biasa yang berharga RM3.80 sekilogram dan saya gunakan hanya 1 kilogram gula ising sahaja.

Saya anggarkan kek fondant yang seringkas dan seberat 3 kilogram ini bernilai lebih dari RM200.00. Sebenarnya saya kurang minat untuk menghias kek kerana saya percaya kek walau secantik manapun tetap akan dipotong dan dimakan. Kek fondant pula biasanya kita akan memakan keknya sahaja sedangkan fondant yang cantik, mahal dan sukar digayakan itu akan terbiar begitu sahaja walau macam mana cantik sekalipun. Tapi saya tetap pelajari juga. Saya tetap berhempas-pulas dan berbelanja besar untuk mempelajarinya kerana saya kecewa bila mendapati ramai usahawan online menjual kek fondant dengan harga yang agak mahal. Pernah juga saya jumpa cupcake dengan hiasan fondant bersaiz kecil dijual dengan harga melebihi RM5.00 sebiji. Itupun jika beli melebihi 20 biji cupcakes. Saya akan terus memperbaiki kelemahan resepi saya dan seterusnya melatih tangan untuk membentuk lebih banyak hiasan dengan menggunakan peralatan yang paling sedikit. Kalau boleh saya hanya mahu gunakan peralatan yang sedia ada di rumah saya sahaja. Mungkin sukar tapi inilah cabaran saya di tahun baru ini.