Satu lagi salad yang harus dipelajari jika ingin memahirkan diri dalam masakan barat adalah waldorf salad. Waldorf salad adalah salad campuran yang menggabungkan banyak bahan seperti epal, celery, walnut dan sebagainya yang dimakan bersama mayonis. Salad ini adalah appertizers yang popular dalam masakan barat. Beberapa perkara yang harus diingat oleh seorang ketua tukang masak apabila menyediakan appertizers adalah, rupa yang menarik serta rasa yang sedap hasil daripada gabungan bahan-bahan yang istimewa. Saiz porsi juga sangat penting. Manakala appertizers panas mesti dihidangkan panas dan appertizer sejuk mesti betul-betul didinginkan sebelum dihidang. Tak hairanlah kenapa ramai tukang masak yang sangat cerewet dalam menghidangkan makanan. Sedikit perbezaan turut diambilkira.

Tunjukkan sokongan anda kepada Softlan's Breast Cancer Charity Campaign 2013 dengan menyebarkan maklumat mengenai kanser melalui Twitter, Facebook & Pinterest. Klik disini untuk membantu.
 


Bahan-bahan untuk Waldorf Salad
1 bj Epal Merah
1 bj Epal Hijau
1 btg Giant Celery
30 g Walnut
5 helai Iceberg Lettuce
50g Mayonis
1 cmt Jus Lemon
Secubit Garam dan Lada Sulah




Cara membuat Waldorf Salad
  1. Pastikan semua bahan dibersihkan dan dituskan.
  2. Epal hijau dan merah perlu dipotong dadu lebih kurang 1 ½ - 2 cm. Jangan dibuang kulitnya.
  3. Giant celery juga di potong agar saiznya lebih kurang epal tadi. Gunakan batangnya sahaja.
  4. Masukkan epal dan celery kedalam mangkuk dan perahkan jus lemon serta gaul rata.
  5. Masukkan mayonis dan kacau sehingga menyelaputi keseluruhan bahan.
  6. Perasakan dengan garam dan lada sulah
  7. Diatas piring hidang, susunkan daun lettuce kemudian letakkan campuran salad tadi didalam daun.
  8. Hiaskan dengan walnut yang telah dibakar rangup dan hidang.



Tip Masakan Komersial
  1. Apabila membuat salad menggunakan epal, masalah utama adalah keadaan epal yang mudah sangat teroksida menyebabkan permukaan yang dipotong menjadi lebam. Biasanya jus lemon atau limau akan digunakan untuk melambatkan pengoksidaan ini. Ada juga yang menggunakan air garam. Apapun yang anda gunakan, cuma pastikan rasa salad tidak berubah. 
  2. Saya menggunakan epal hijau sahaja untuk gambar artikel ini kerana itu sahaja yang saya ada. Walnut pun tak ada. Kalau boleh gunakan bermacam-macam warna epal supaya ia lebih menarik. Jenis epal tak menjadi masalah kerana semuanya sesuai untuk salad ini. Kalau guna granny smith macam saya ni, tentulah rasanya masam sikit. Kalau guna royal gala, akan lebih manis dan berjus.
  3. Saya tak sukakan makanan yang masam. Ngilu gigi saya. Jadi saya biasanya mencampurkan sedikit gula dalam mayonis agar masamnya tidak ketara sangat. Apapun jenama mayonis yang saya gunakan, pasti saya akan ubahsuai rasanya agar menepati citarasa saya.
  4. Sekali tengok, lebih kurang salad buah-buahan je kan? Sebenarnya tak sama sebab waldorf salad hanya menggunakan epal sahaja.