Waffle ni memang tak jauh sangat bezanya dengan pancake asas yang pernah saya paparkan dalam blog ini. Anda boleh bandingkan sendiri dalam entri pancake asas saya. Saya memang gemarkan waffle yang rangup diluarnya ketika panas dan gebu didalamnya. Resepi dibawah ini adalah resepi waffle yang paling mudah untuk anda cuba. Saya tak ada alat untuk memasak waffle. Kalau nak beli pun tak berbaloi untuk saya. Bukan saya nak makan waffle tiap-tiap hari. Ada juga saya belek harga mesin ini dikedai barangan peralatan terpakai. Kalau yang masih berkilat harganya melebihi seribu ringgit. Kalau saya nak gunakan untuk berniaga, lain la ceritanya. Jadi saya hanya gunakan sandwich maker dan hasilnya tak de la teruk sangat cuma sedikit tebal. Bahagian tepinya masih lagi rangup dan lazat.


Bahan-bahan untuk Resepi Waffle Mudah dan Ringkas
180g Tepung Gandum
10g Baking Powder
2 bj Telur A
20g Susu Tepung
225g Air
55g Majerin/mentega
30g Gula


Cara membuat Waffle Mudah dan Ringkas
  1. Asingkan telur putih dan kuning.
  2. Pukul telur putih dan gula sehingga gebu dan berkrim. Ketepikan sebentar.
  3. Panaskan majerin diatas api perlahan sehingga cair. Tutup api sebaik sahaja majerin cair sepenuhnya.
  4. Campurkan tepung gandum, baking powder, susu tepung, air, majerin cair dan kuning telur. Pukul sehingga kembang.
  5. Akhir sekali, gunakan senduk untuk mencampurkan adunan tepung dengan adunan putih telur. Kacau dengan perlahan sebentar sahaja sekadar untuk mencampurkan kedua-dua adunan tersebut.
  6. Masak dalam waffle maker sehingga kekuningan. Hidangkan bersama bahan iringan kegemaran seperti mentega, madu, coklat, jem, aiskrim dan sebagainya.


Tip Masakan Komersial
  1. Waffle memang sangat sesuai untuk usahawan yang mengamalkan konsep perniagaan produk tunggal. Hanya perlu menyewa kiosk dimana-mana tempat tumpuan orang ramai seperti pasaraya, stesen bas dan lain-lain. Saya cadangkan jika anda ingin mengusahakan, perniagaan seperti ini, sewa kiosk dibeberapa tempat dan gajikan seorang untuk menguruskannya. Jika satu kiosk anda boleh mendapat jualan RM200.00 sehari, 10 kiosk mungkin menghasilkan keuntungan bersih RM500.00 sehari. Memang nampak mudah tetapi masalah utamanya terletak pada cara anda menguruskan pekerja-pekerja anda itu. Banyak sangat nak diceritakan jika dikupas tajuk ini satu persatu.
  2. Sekarang ni, produk segera waffle mix dan banyak dijual dikedai-kedai barangan kek. Harganyapun tak semahal mana. Sekitar RM12 sekilogram. Tak tahu la boleh dapat berapa keping waffle. Saya tak dapat nak bandingkan dengan waffle 100% buatan sendiri.
  3. Dari bahan diatas, anda sebenarnya boleh menghasilkan beberapa hidangan lain yang mendapat permintaan tinggi seperti kaya ball, crispy crepe dan sebagainya. Anda hanya perlu perisakannya mengikut permintaan pelanggan.