Entri ini asalnya saya ingin paparkan sewaktu perayaan Deepavali yang baru lepas. Kuih begini memang popular dalam perayaan begini kerana ia memang hidangan asli masyarakat India. Kuih wadeh urlundu ni sama dengan resepi wadeh dhal yang pernah saya ceritakan dulu. Hanya bahan utama sahaja yang berbeza. Wadeh urlundu dibuat menggunakan kacang urlundu. Saya pun tak pasti ejaannya macam mana. Kalau ikut sebutan India, boleh tergeliat saya mengejanya. Kuih wadeh ini dikenali diseluruh dunia kerana masyarakat India memang tersebar dimerata tempat. Jadi nama kuih ini juga banyak. Ada yang memanggil dengan nama vada, vade, bonda dan macam-macam lagi. Begitu juga dengan kacang urundu. Nama lain adalah urad dhal dan macam-macam lagi. Kalau orang melayu biasa memanggilnya dengan nama kacang tossei kerana kacang yang sama digunakan untuk membuat tossei. Hampir setahun saya berbual dengan seorang India yang berniaga di pasar malam. Sedikit demi sedikit ilmunya saya cedok. Begitupun, masih ada yang tak menghargai usaha saya. hmm....


Bahan-bahan untuk Wadeh Urlundu
250g Kacang Urlundu
1/2 bj Bawang Besar
1/2 bj Cili Hijau
1 cmt Jintan Manis
1 cmt Garam Halus
1 tangkai Daun Kari
100g Air
Minyak untuk menggoreng tenggelam


Cara membuat Wadeh Urlundu
  1. Rendam kacang urlundu dalam air sekurang-kurangnya 2 jam dalam air yang banyak.
  2. Bersihkan dan tuskan kacang urlundu. Kalau boleh, biarkan ia benar-benar tus agar sukatan cecair menjadi lebih tepat.
  3. Kisar kacang urlundu sehingga halus. Gunakan 100g air tadi untuk memudahkan kisaran.
  4. Cili hijau, bawang besar dan daun kari dicincang kasar. Jintan dikisar atau ditumbuk kasar. Boleh juga dibiarkan begitu sahaja.
  5. Campurkan semua bahan kisar dan cincang bersama dan gaulkan hingga sebati. Perasakan dengan garam. Rehatkan sekurang-kurangnya 1/2 jam.
  6. Panaskan minyak dengan api sederhana.
  7. Bentukkan adunan wadeh seperti donat dengan saiz lebih kurang 30g dan gorengkan sehingga kekuningan.
  8. Tuskan minyaknya dan hidangkan panas-panas bersama cili hijau.


Tip Masakan Berguna
  1. Kacang urlundu yang dikisar sangat pekat, padat dan berat. Sebaiknya anda menggunakan food prosessor. Bagi yang tiada food processor macam saya, tiada pilihan lain selain dari menggunakan blender. Jika blender anda berkuasa, boleh lah dikisar sekaligus. Saya terpaksa mengisar sedikit demi sedikit. 250g kacang tu tak banyak. 2 kali kisar dah selesai. Kalau blender anda lebih buruk dari blender saya, tambahkan air lebih sedikit tetapi jangan melebihi 150g.
  2. Banyak variasi wadeh urlundu yang saya tahu. Ada yang menambahkan 2 sudu tepung beras untuk memekatkan adunan yang cair berpunca dari teknik untuk memudahkan proses mengisar. Ada juga menambahkan tepung gandum sehingga sama banyak dengan kacang urlundu untuk menjimatkan kos. Bagi saya, semua itu tidak berbaloi. Rasa dan tekstur wadeh urlundu tidak menepati ciri-ciri keaslian. Jadi saya tetap dengan resepi ini.
  3. Ada juga yang cuba menambahkan serbuk penaik atau soda bikarbonat untuk menjadikan wadeh ini lebih gebu dan kembang kerana mereka berpendapat wadeh yang mereka hasilkan berat dan padat. Ini juga tidak saya gemari. Rahsia untuk menghasilkan wadeh urlundu yang kembang dan gebu terletak pada teknik mengadunnya. Suatu ketika dahulu, masyarakat india menggunakan penggiling batu jenis berpusing untuk mengisar kacang ini. Mereka mengisar sangat lama dan berulang kali. Ini menghasilkan adunan yang sangat halus dan gebu. Sebenarnya anda juga boleh menghasilkan wadeh yang gebu dengan satu teknik yang mudah. Gunakan senduk atau sudu untuk memukul adunan supaya lebih banyak udara dapat masuk dalam adunan. Anda juga boleh menepuk menggunakan tangan. Bagaimanapun jangan gunakan mixer kerana mixer mungkin boleh menjadikan wadeh anda lebih gebu tetapi mungkin juga lebih padat. Kalau dah mahir macam saya boleh la guna mixer kerana teknik menggunakan mixer lain sikit.
  4. Satu lagi masalah dalam membuat wadeh ini adalah cara untuk membentuk adunan menjadi seperti donut kerana adunan ini sangat lembik. Cara paling mudah ialah dengan membentuk diatas plastik. Lebih senang, anda masukkan sahaja tangan kiri kedalam beg plastik. Basahkan plastik dan tangan kanan dengan air supaya adunan tak melekat. Ambil sedikit adunan, bulatkan dan letak atas plastik ditangan kiri. Leperkan sedikit dan cucuk tengahnya dengan jari. terbalikkan adunan dari plastik ke hujung tangan kanan. Dengan segera goreng ia dan lihatlah adunan mengembang dengan cantik.
  5. Adunan kuih ini amat cepat menjadi masam. Pada mulanya saya sangka, semakin lama diperap, semakin gebu wadeh ini. Sebenarnya keadaan adunan yang masam bererti basi dan tentunya tak baik untuk tubuh kita. Jadi gunakan teknik yang saya ajarkan untuk wadeh yang gebu.
  6. Oleh kerana adunan ini cepat masam, ia perlu disimpan ditempat sejuk selagi belum digoreng. Jika anda ingin membawa adunan ini untuk berniaga, pastikan anda bawa kotak penyejuk untuk menyimpannya. Letakkan ia dalam bekas bersama air batu jika anda berniaga ditempat terbuka tanpa tenaga elektrik seperti di pasar malam.