Urap pegaga atau sebetulnya disebut urep. Dari bunyinya dah pasti datang dari masakan Jawa. Sekarang ni urap dah menjadi masakan tradisi Malaysia. Selepas diubah-suai mengikut selera rakyat Malaysia, ciri-ciri masakan Jawa dan semakin berkurangan. Bagi orang keturunan Jawa macam saya, resepi asli urap pegaga masih dikekalkan seperti asalnya. Sejak kecil, inilah urap pegaga yang saya makan. Bila hidup di bandar, sekali-sekala masuk juga ke restoran masakan Indonesia, seperti nasi padang, ayam penyek dan sebagainya tetapi urap pegaga yang dihidangkan telah bercirikan kemelayuan. Mungkin rasa dan baunya yang kuat dan pelik menyebabkan pengusaha restoran menukar resepi untuk menepati selera penduduk setempat.


Bahan-bahan untuk Urap Ulam Pegaga
300g Pegaga Segar
½ bj Bawang Besar
1 ulas Bawang Putih
5 ekor Ikan Bilis
2 bj Cili Padi atau 3 bj Cili Kering
2 ketul Isi Cekur
2 helai Daun Cekur (pilihan)
½ bj Kelapa Parut
Garam dan Gula secukup rasa


Cara Membuat Urap Pegaga
  1. Sayur pegaga dibersihkan, dan dihiris kecil lebih kurang 1cm bersama-sama batangnya. Masukkan kedalam mangkuk dan ketepikan.
  2. Bawang besar, bawang putih, ikan bilis,cili padi, dan isi cekur ditumbuk halus menggunakan lesung batu.
  3. Perasakan dengan garam dan gula.
  4. Masukkan kelapa parut dan tumbuk sedikit sahaja lagi supaya kelapa bergaul dengan perencahnya.
  5. Akhir sekali, gaulkan bahan tumbuk dengan sayur pegaga didalam mangkuk tadi sehingga sebati.
  6. Jika ada daun cekur, rampai halus dan gaulkan bersama urap. Hidangkan segar.


Tip Masakan Komersial
  1. Tak banyak masakan melayu menggunakan cekur. Sebelum ini saya pernah memaparkan resepi pecel lele yang juga menggunakan cekur. Rasa dan bau cekur memang kuat tetapi jika biasa memakannya, kita akan rasa hidangan yang menggunakan cekur sangat enak dan unik. Bagi yang tak biasa, kita akan nampak muka orang tu macam omputeh makan durian.
  2. Pegaga mempunyai banyak khasiat penting untuk tubuh badan. Ia kaya dengan vitamin A, vitamin C dan zat besi. Kandungan protin dan fiber juga boleh didapati dalam pegaga. Sayur begini sangat sesuai dimakan segar dan dibuat ulam untuk menjaga khasiatnya. Jika dimakan pegaga begitu sahaja, mungkin ramai yang kurang gemar dan menganggap seperti lembu makan rumput. Jika di buat urap pegaga, pemikiran mereka mungkin berbeza.
  3. Sekarang ni, dah bermacam-macam jenis pegaga yang saya jumpa. Kalau dulu, hanya pegaga berdaun kecil sahaja yang saya tahu. Sekarang ni, pegaga sebesar pinggan pun ada. Teringin betul nak makan pegaga yang besar tu. Di pasar hanya ada pegaga bersaiz 1 hingga 2 inci sahaja tapi batangnya panjang sejengkal.
  4. Kadang-kadang, saya menambah kunyit hidup atau serbuk kunyit dalam urap pegaga. Ini akan menjadikan warna kelapa lebih cantik. Kali ini saya menggunakan cili padi merah jadi saya rasa warna kelapa sudah cukup cantik. Anda juga boleh menambah jus limau, halia dan sebagainya mengikut selera anda. Cubalah gunakan daun-daun herba yang beraroma seperti daun limau purut, daun kunyit dan sebagainya dalam urap pegaga anda.
  5. Hidangan urap sangat sesuai untuk ulam-ulaman yang enak dimakan mentah. Anda boleh menggunakan tauge, daun selom, ulam raja atau campuran ulam-ulaman ini menjadi urap. Untuk sayuran yang perlu dimasak dahulu juga sesuai. Hanya rebuskan atau celur sebentar sebelum dibuat urap.

p/s: Saya makan urap ulam pegaga ni dengan bubur je. Beras abis pulok!