Rasanya semua dah maklum mengenai Resepi Udang Mentega atau lebih popular dengan nama orang putihnya Butter Prawn. Hidangan ini selalunya dijual di kebanyakkan restoran masakan thai atau cina. Restoran melayu dan yang lain pun ada juga, mungkin kerana hidangan ini dah cukup popular dan boleh diterima oleh semua bangsa di Malaysia. Lagipun tak nampak ciri-ciri masakan yang melambangkan mana-mana bangsa didunia. Jadi saya pun tak pasti Butter Prawn ni termasuk dalam kategori masakan mana. Yang pastinya, butter prawn memang sedap dan lazat jika anda memahami teknik-teknik dalam menyediakan masakan laut seperti Resepi Butter Prawn dibawah.


Bahan-bahan untuk Resepi Butter Prawn
100g Udang Besar
1 ulas Bawang Putih
1 cmt Sos Ikan
½ cmb Mentega
500ml Minyak Masak
2 bj Kuning Telur


Cara membuat Butter Prawn
  1. Panaskan minyak masak 200˚C. Pukul sedikit telur kuning supaya ia bersatu dan licin. 
  2. Gunakan senduk untuk mengacau minyak yang panas dalam kuali agar ia berpusing laju dalam satu arah.
  3. Sambil mengacau minyak tadi, tuangkan kuning telur perlahan-lahan, sedikit demi sedikit dengan cara mengangkat kuning telur tinggi-tinggi seperti membuat teh tarik. Kaedah ini untuk mendapatkan telur yang halus seperti tali.
  4. Goreng kuning telur tadi sehingga keperangan dan garing. Angkat,tuskan dan ketepikan. Jangan tutup api dan kekalkan minyak masak didalam kuali.
  5. Gaulkan udang bersama sos ikan. Dan apabila minyak masak hampir berasap, gorengkan udang selama 1 minit sehingga kulitnya garing. Angkat, tuskan dan ketepikan.
  6. Keluarkan semua minyak masak dan gantikan dengan mentega. Panaskan dengan api sederhana.
  7. Ketuk bawang putih dan tumiskan dengan mentega cair tadi.
  8. Setelah tumisan wangi, masukkan udang dan gaul rata sebentar sahaja.
  9. Angkat udang dan letak diatas piring dan taburkan dengan kuning telur tadi. Hidangkan semasa udang masih garing.



Tip Masakan Komersial.
  1. Imej butter prawn banyak dipengaruhi oleh floss yang dibuat dari telur kuning. Tanpa floss itu, mungkin ia hanya udang goreng biasa sahaja. Oleh itu, pastikan floss dibuat dengan sempurna, halus dan cantik.
  2. Mengacau minyak panas didalam kuali dengan laju memang sangat bahaya. Sedikit kesilapan kemungkinan menyebabkan tumpahan minyak yang boleh mengakibatkan melecur. Menggoreng udang dengan minyak banyak juga boleh menyebabkan percikan minyak kerana udang mengandungi banyak air. Jika terdapat kelecuran dimana-mana kulit, segera siramkan dengan air sejuk dan mengalir seperti air paip supaya bahagian yang melecur cepat sejuk dan tidak terus membakar kulit. Segera dapatkan bantuan dengan segera.
  3. Membuat floss dari kuning telur memerlukan kemahiran penggunaan kedua-dua tangan. Sebelah tangan memegang mangkuk telur dan sebelah lagi memegang senduk untuk mengacau minyak. Konsep ini supaya anda mendapatkan floss yang halus. Bagaimanapun cara ini sangat bahaya. Anda dinasihatkan menggunakan kuali yang lebih besar agar minyak tak mudah tumpah sewaktu dikacau.
  4. Ada cara lebih mudah dan selamat membuat floss iaitu dengan memasukkan kuning telur kedalam piping bag. Boleh juga gunakan apa-apa plastik yang sesuai. Lubangkan bucu plastik dengan jarum untuk telur keluar dengan halus. Pancitkan kedalam sekeliling minyak panas dalam gerakan membulat. Cara ini boleh dibuat hanya dengan menggunakan sebelah tangan sahaja. Tak perlu mengacau minyak panas dan jika anda nak kacau, tak perlu terlalu laju.
  5. Selebihnya dalam Resepi Butter Prawn hanyalah udang goreng. Anda boleh tambahkan apa-apa seasoning yang anda suka seperti lada sulah, sos dan lain-lain. Cuma perlu gaulkan pada udang dan perapkan sebentar.
  6. Seperti yang saya katakan sebelum ini, udang mengandungi banyak air. Jika digoreng terlalu lama, airnya akan keluar dan isi udang akan kecut. Jika digoreng terlalu sekejap pula, kemungkinan kulit udang tak akan garing. Jadi anda perlu goreng dengan api yang besar agar kulitnya cepat garing sebelum sempat isi udang mengeluarkan air yang banyak. Jika bunyi mendidih dan meletup-letup mula kedengaran seterusnya minyak mula terpercik sana-sini, bermakna air udang dah mula keluar dengan banyaknya. Tak perlulah digoreng lebih lama lagi.
  7. Saya menggoreng udang dalam minyak yang banyak dan bukannya dalam mentega kerana ia lebih jimat. Udang juga lebih garing. Bagaimanapun untuk rasa mentega, saya gunakan mentega dalam tumisan bawang putih. Ini dah cukup untuk memberikan rasa. Anda juga boleh mencampurkan mentega dalam minyak gorengan tapi bagi saya, ia tak mengubah apa-apa.
  8. Selepas menggoreng kuning telur, minyak masak akan berubah warna menjadi lebih gelap. Jadi adalah membazir jika menggunakan minyak yang terlalu banyak. Setelah menggoreng udang, minyak masak akan berubah rupa dan rasa. Oleh itu, gunakan cukup-cukup sahaja untuk mengelakkan lebih banyak pembaziran. Minyak gorengan udang lebih sedap jika digunakan untuk membuat nasi goreng dan lain-lain masakan kerana ia telah diperisakan secara semulajadi.