Udang goreng tepung adalah salah satu hidangan yang popular dari restoran thai. Ada juga yang lebih menggemari sotong goreng tepung namun perbezaannya hanyalah udang dan sotong. Oleh kerana dulu saya pernah mengeluarkan resepi berkenaan udang gorang tepung jadi kali ini saya akan mengutamakan dalam proses pembuatan sos cili thai. Walau bagaimanapun, ada beberapa perbezaan diantara udang gorang tepung dalam artikel yang terdahulu berbanding sekarang. Klik link untuk udang goreng tepung resepi sebelum ini.


Sos cili thai pula sudah popular diseluruh dunia dan sangat digemari oleh masyarakat barat. Mereka memanggilnya dengan nama sweet thai chilli sauce kerana rasanya yang manis dan pedas. Tidak seperti sos cili biasa, sos cili thai dibuat menggunakan cili padi yang sangat pedas. Oleh itu, hanya sedikit cili padi yang digunakan dan lebih banyak gula diperlukan. Jadi warnanya tidak begitu merah namun kepedasannya tetap terasa.



Bahan-bahan untuk Resepi Udang Goreng Tepung dengan Sos Cili Thai
100g Udang Saiz L @ XL
½ cwn Tepung Gandum
½ cmt Baking Powder
Minyak Masak
6 bj Cili Api Thai
3 ulas Bawang Putih
1 cwn Air
½ cmb Cuka
4 cmb Gula
1 cmt Garam
2 cmt Sos Ikan
½ cmb Tepung Jagung.
1 helai Daun Ketumbar



Cara membuat Udang Goreng Tepung dengan Sos Cili Thai
  1. Bersihkan udang, buang kulit dan kepalanya kemudian perapkan dengan 1 cmt sos ikan.
  2. Gaulkan tepung gandum bersama baking powder sehingga sebati kemudian tambahkan sedikit air untuk mendapatkan batter yang pekat. Tambahkan garam jika perlu.
  3. Panaskan minyak masak yang banyak untuk menggoreng dengan api sederhana. Tunggu sehingga minyak betul-betul panas.
  4. Celupkan udang kedalam batter dan gorengkan sehingga kekuningan. Angkat dan tuskan.
  5. Tumbuk cili padi dan bawang putih. Jangan terlalu halus.
  6. Masukkan cili dan bawang putih yang ditumbuk tadi kedalam sauce pan. Tambahkan air, gula, garam, cuka dan 1 cmt sos ikan dan tepung jagung. Kacau rata.
  7. Nyalakan api dan masak dengan api perlahan hingga merenih sambil dikacau perlahan-lahan.
  8. Teruskan memasak sehingga mendapat sos yang pekat dan berkilat.
  9. Apabila tekstur sos telah cantik, tutup api dan masukkan saun ketumbar yang dicincang. Kacau rata.
  10. Angkat dan hidangkan sos cili thai bersama udang goreng tepung tadi.



Tips Masakan Komersial
  1. Biasanya di restoran thai, mereka menggunakan tepung naik sendiri kerana ia lebih mudah dan stabil. Kandungan glutennya yang rendah menjadikan gorengan lebih rapuh namun sedikit berminyak. Bila menggunakan tepung gandum dan baking powder, anda dapat mengawal hasil udang goreng tepung sebagaimana yang anda kehendaki.
  2. Udang goreng tepung kaedah ini perlu dimakan sejurus selepas digoreng kerana kerangupannya tidak mampu bertahan lama. Jadi, lebih baik membuat sos cili thai dahulu kerana ia boleh tahan lama apabila disimpan didalam peti ais.
  3. Udang goreng tepung mesti digoreng pada suhu yang tinggi lebih kurang 220°C. Dalam masa 30 saat, tepung gorengan akan menjadi kekuningan dan bolahlah diangkat. Udang tidak boleh dimasak terlalu lama kerana akan menyebabkan airnya keluar. Ini akan menyebabkan, udang mengecut, kering dan tertanggal dari tepungnya. Begitu juga dengan sotong.
  4. Cili api untuk sos cili thai tak sesuai dikisar menggunakan blender kerana ia akan menjadi terlalu hancur. Untuk kuantiti yang banyak, seperti pengeluaran sos cili thai di kilang-kilang kecil, mereka menggunakan mincer sahaja. Kaedah ini paling baik kerana anda akan dapati cili kisar ini seperti berlendir menunjukkan jusnya keluar sama seperti menggunakan lesung batu. Anda tidak akan dapat tekstur ini jika menggunakan blender kerana blender hanya mencincang dan bukan melenyek. Bawang putih pun mereka gunakan kaedah yang sama.
  5. Apabila semua bahan untuk sos cili thai dicampurkan, warna sos cili thai akan keputihan kerana kehadiran tepung jagung. Setelah dimasak, tepung jagung ini akan memekatkan sos cili thai dan bertukar menjadi jernih.
  6. Warna berkilat sos cili thai datangnya dari gula yang digunakan. Anda tidak akan mendapat warna yang berkilat sekiranya sos cili thai tidak dimasak dengan lama. Cubalah renihkan dengan api perlahan lebih lama sehingga sos cili menjadi ¾ atau ½ sahaja. Jangan lupa seimbangkan semula rasa garam dan gula serta asamnya.