Setiap kali membuat hidangan yang ringkas dan cepat seperti udang goreng tepung ini, saya selalu berfikiran mudah. Jangan memberatkan kepala otak memikirkan dengan secara serius agar hidangan menjadi begitu sempurna. Hanya ada beberapa perkara yang perlu diambil berat tetapi jika tahu sifat-sifat bahan yang digunakan, memang tak akan ada masalah lagi. Jika anda selongkar tip masakan komersial yang ada dalam setiap entri blog ini, anda akan lebih memahami. Sambil itu saya akan menerangkan serba sedikit sifat bahan-bahan yang digunakan dalam udang goreng tepung ini. Tidak seperti resepi seafood tempura, matlamat hidangan ini hanya perlu rangup dan tepung tidak tertanggal dari udangnya. Yang lain-lain cuba abaikan dahulu.


 

Bahan-bahan untuk Udang Goreng Tepung

200g Udang bersaiz besar
1 cwn Tepung Beras
½ cwn Tepung Gandum
½ cmt Serbuk Lada Hitam
Air sejuk secukupnya
Garam
Minyak masak untuk menggoreng tenggelam.


Cara membuat Udang Goreng Tepung
  1. Bersihkan udang, Tinggalkan kulit hanya di bahagian ekornya sahaja.
  2. Satukan tepung beras, tepung gandum, lada hitam dan garam.
  3. Masukka air sejuk sedikit demi sedikit sambil dikacau sehingga mendapat adunan yang tidak terlalu cair dan mencukupi untuk menyaluti udang sedikit tebal.
  4. Panaskan minyak masak dengan api besar.
  5. Apabila minyak hampir berasap, kecilkan api, masukkan udang kedalam adunan.
  6. Masukkan udang seekor demi seekor kedalam minyak panas.
  7. Gorengkan sebentar sahaja kerana dengan minyak sepanas itu, sekejap sahaja tepung menjadi perang.
  8. Angkat udang dan tuskan sebelum dihidangkan bersama sos cili ringkas dan mudah.


Tip Masakan Komersial.
  1. Tak ada la beza sangat tempura dengan goreng tepung seperti ini. Tak perlulah difikirkan sangat. Apa yang penting, cuba perasakan dengan rempah yang sesuai. Guna je apa-apa rempah yang dijual di pasaran. Baru la ada perbezaan dalam setiap bahan yang digunakan.
  2. Saya gemar menggunakan air sejuk 2-4˚C kerana bagi saya ia lebih merangupkan gorengan. Bagaimanapun saya lebih percaya, teknik mengacau adunan dan teknik menggoreng lebih penting lagi.
  3. Udang dan juga makanan laut yang lain memang mudah mengecut apabila digoreng kerana kandungan air yang banyak didalamnya. Apabila digoreng, air akan keluar dengan banyaknya dan inilah yang menjadi punca udang goreng tepung tertanggal tepungnya. Itu sebabnya ia perlu digoreng dengan minyak yang sangat panas tetapi sebentar sahaja supaya tepung membeku serta merta dan mengelakkan air dari terus keluar.
  4. Jus-jus makanan laut seperti udang ini lah yang memberikan rasa dalam masakan, jadi adalah sangat merugikan jika jus ini keluar bercampur dengan minyak gorengan. Bukan itu sahaja, udang akan menjadi kecut dan kecil jika digoreng terlalu lama. Sepatutnya bole dapat sepinggan besar, tapi desebabkan digoreng terlalu lama, hidangan udang hanya tinggal sepiring sahaja. Ini sangat merugikan terutama kepada peniaga makanan.
  5. Anda boleh menambahkan serbuk penaik jika inginkan tepung yang mengelembung. Saya tak berapa gemar kerana tepung yang bersarang menyebabkan hidangan terlalu berminyak.