Ada pak cik, mak cik, atuk dan nenek yang pernah hidup dizaman penjajahan Jepun yang langsung tak sudi lagi menyentuh ubi kayu sekarang ni. Bagi mereka, ubi kayu adalah makanan sewaktu susah,, sewaktu tiada makanan untuk dimakan dan untuk orang yang tak berkemampuan. Bagi Atok Aji pula, ubi kayu sesuatu yang membangkitkan nostalgia. Ubi kayu sejenis makanan yang sangat istimewa dan boleh mendatangkan kerinduan. Direbus begitu sahaja pun dah sedap. Apa lagi kalau dijadikan Ubi Getuk atau talam ubi kayu.
Bagi saya pula, ubi kayu tetap makanan. Tiada lagi makanan untuk orang miskin dan makanan untuk orang kaya sekarang ni. Apa yang halal, saya akan cuba. Kalau tak sedap, saya akan jadikan sedap. Ubi kayu ditempat saya dijual pada harga RM3 sekilogram. Kebanyakkannya diimport dari Indonesia. Masyarakat kita memang kurang sudi menanam ubi kayu. Maklumlah, ubi kayu dikaitkan dengan orang yang tak de pekerjaan dalam peribahasa kita sedangkan menanam ubi kayu terbukti satu pekerjaan yang menguntungkan. Hanya di Pasar Tani saya dapat membeli ubi kayu pada harga RM2.50/kg. Itupun hanya kadang-kadang. Kebetulan di musim hujan ubi kayu agak murah. Jadi sayapun membeli lebih sedikit untuk dijadikan stok makanan sejuk beku keluarga saya. Dan pilihan saya tentulah Ubi Getuk.



Bahan-bahan untuk Resepi Ubi Getuk
2 kg Ubi Kayu
1 bj Kelapa Parut Muda
5 cmb Gula Pasir
3 cmt Garam
Batter Pisang Goreng secukupnya.
Minyak masak untuk menggoreng tenggelam.



Cara membuat Ubi Getuk
  1. Potong ubi kayu menjadi lebih kurang ½ jengkal kemudian kupas kulit dan bersihkan.
  2. Rebus ubi kayu yang telah bersih sehingga empuk.
  3. Setelah empuk, tuskan dan biarkan sejuk sedikit.
  4. Lenyek ubi kayu dengan pelecek atau garfu hingga tiada lagi ketulan.
  5. Masukkan gula dan garam kemudian gaul rata. 
  6. Masukkan kelapa parut dan gaul lagi hingga betul-betul sebati.
  7. Rasa dahulu dan kalau perlu tambahkan garam dan gula mengikut selera.
  8. Kepal-kepalkan campuran ubi tadi menjadi bebola yang padat dan tak mudah pecah dengan diameter lebih kurang 1 inci.
  9. Sediakan batter pisang goreng dan panaskan minyak masak yang banyak dengan api sederhana besar.
  10. Celupkan bebola ubi dalam batter dan gorengkan seperti pisang goreng. Goreng hingga masak sekata.
  11. Angkat dan tuskan. Sesuai dihidangkan panas sewaktu sarapan atau minum petang.



Tip Masakan Komersial
  1. Ada berbagai jenis ubi kayu yang dijual ditempat saya. Kebanyakkan yang datang dari Indonesia mempunyai kulit dalaman berwarna putih. Saya sukakan ubi kayu yang mempunyai kulit dalaman berwarna merah kerana ia lebih besar, cepat empuk dan lebih lembut kerana ia kurang berserat. Jadi anda perlu memastikan ubi kayu cukup empuk untuk menghasilkan ubi getuk yang halus.
  2. Ubi direbus dalam ketulan besar supaya ia kurang menyerap air. Lebihan air menjadikan ubi getuk terlalu lembik dan sukar dibentuk. Oleh itu, ubi rebus perlu dituskan sewaktu ia masih panas dan barulah dibiarkan sejuk. Wap yang panas akan menyejat dengan segera dan hasilnya ubi kayu rebus yang kering dan mudah dikendalikan.
  3. Pemilihan kelapa juga penting untuk menghasilkan rasa ubi getuk yang lemak dan lembut. Jika menggunakan kelapa yang tua, memang rasanya lebih lemak kerana kelapa tua lebih banyak santan tetapi isi kelapa terlalu keras dan berhampas. Jika kelapa terlalu muda pula, sudah tentu kurang lemaknya. 
  4. Ini adalah kali ketiga berturut-turut saya membuat ubi getuk untuk simpanan sejuk beku. Kali pertama, habis sebelum sempat disejukkan. Kali kedua saya membuat lebih banyak tetapi juga habis pada hari kedua. Untuk kali ketiga, saya membuat dengan lebih banyak dan barulah berjaya disimpan lama. 
  5. Untuk kali pertama, saya membuat ubi getuk berbentuk 4 segi. Untuk bentuk seperti ini, anda perlu meratakan ubi getuk di atas dulang yang beralaskan plastik setebal 2 – 3 cm. Kemudian barulah dipotong menjadi 4 segi tepat lebih kurang 3 cm X 6 cm. Untuk memotong ubi getuk, perlu kemahiran tertentu. Tidak boleh dihiris tetapi cukup dengan hanya menekan mata pisau kerana kelapa parut sukar dipotong. Ia akan menyebabkan ubi getuk pecah sewaktu dipotong. Jika kelapa yang anda gunakan sedikit keras, saya cadangkan anda mengisar sedikit kelapa parut menjadi lebih parutan yang lebih pendek.
  6. Rasa ubi getuk bergantung kepada lemak kelapa dan rasa seimbang garam dan gulanya. Saya sukakan ubi getuk yang sedikit manis. Anda boleh olah sendiri mengikut selera anda. Jangan sepenuhnya bergantung kepada resepi saya.
  7. Anda boleh mendapatkan adunan batter dalam artikel Cempedak Goreng dan Teknik Gorengan Rangup. Bagaimanapun untuk kuih sejuk beku, saya lebih suka menggunakan adunan berasaskan tempura. Boleh rujuk Artikel Resepi Seafood Tempura. Kalau malas sangat, guna je tepung pisang goreng segera.
  8. Untuk membuat Ubi Getuk Sejuk Beku, anda perlu menggoreng ubi getuk separuh masak. Cukup untuk mengekalkan bentuknya dan tak melekat sesame sendiri. Setelah dibekukan, ubi getuk akan menjadi keras, sekeras-kerasnya. Oleh itu sebelum digunakan sebaiknya ia dinyahbeku dahulu. Jika ingin digunakan dengan segera, anda masih boleh menggorengnya terus walapun beku. Bagaimanapun anda perlu menggoreng dalam minyak yang sederhana panas agar dapat memberi masa kepada bahagian dalamnya yang masih beku, mencair sebelum kulitnya menjadi hangus. Inilah yang menyebabkab saya lebih suka menggunakan tempura. Kalau nak tau kenapa, anda perlu cuba.
  9. Suatu ketika dahulu, ubi getuk hanyalah ubi kayu rebus yang digaulkan dengan kelapa. Sesuai dengan peredaran waktu, ubi getuk dibentuk dan digoreng dengan tepung rangup. Ini memudahkan proses jual beli. Tambahan pula, masyarakat kita memang suka kuih yang rangup dan bergoreng ni.Jadi kalau anda nak makan ubi ketuk tanpa salutan tepung goreng ia adalah lebih baik dan berkhasiat.