Setiap kali makan lauk ayam kita dapati masakannya pasti berempah. Ayam goreng, kari, kurma, beryani, sup dan lain-lain lain pasti mengandungi rempah. Kebanyakkannya pula mengandungi santan menjadikan hidangan ayam kita mengandungi lebih banyak lemak. Apa kata sekali-sekala kita masak hidangan yang lain sikit. Kalau biasa kita makan ikan asam pedas, kali ini kita gunakan ayam. Nak bagi lagi syok, kita gunakan kaedah tumis supaya masakan ayam kita lebih cantik dan menyelerakan. Untuk resepi Tumis Asam Pedas Ayam Muda, saya cuba menerangkan konsep tumis dan bahan-bahan asas asam pedas. Kemudian dalam tip masakan komersial, kita akan pelajari kepelbagaian rasa yang boleh dilakukan dari resepi Tumis Asam Pedas yang sama.


Bahan-bahan Tumis Asam Pedas Ayam Muda
1/2 ekor Ayam Muda
20 tangkai Cili Kering
1 bj Bawang Besar
3 ulas Bawang Putih
1 inci Halia
1/2 cwn Minyak Masak
4 cmb Jus Limau Nipis
5 tangkai Daun Kesum
1 L Air
1 cmt garam
1 cmb gula


Cara membuat Tumis Asam Pedas Ayam Muda
  1. Cili kering dipotong dan dibuang bijinya. Rebus atau rendam dalam air panas jika perlu.
  2. Bawang besar, bawang putih dan halia dikisar halus bersama cili kering tadi.
  3. Panaskan minyak masak, tumiskan bahan kisar sehingga garing.
  4. Setelah garing, masukkan ayam yang telah dipotong. Gorengkan sebentar sahaja sehingga nampak ayam sedikit kecut.
  5. Masukkan air dan biarkan mendidih.
  6. Perasakan dengan garam, gula dan jus limau nipis. Kecilkan api dan biarkan merenih sehingga ayam masak antara 10 hingga 15 minit sudah mencukupi.
  7. Akhir sekali, masukkan daun kesum yang telah di buang tangkainya. Tutup api apabila daun kesum menjadi layu dan hidangkan.


Tip Masakan Komersial
  1. Sekarang ni kita lihat banyak gerai dan restoran yang menjadikan asam pedas sebagai trade mark atau hidangan istimewa mereka. Senang cerita, asam pedas memang dah terkenal di merata tempat. Jadi rasa asam pedas memang tak mencukupi untuk menyaingi hidangan asam pedas sedia ada. Masakan asam pedas memang amat memerlukan herba-herba tempatan yang wangi berperisa. Dalam contoh diatas, saya hanya menggunakan daun kesum sahaja. Tanpa daun kesum, masakan asam pedas seolah-olah kekurangan sesuatu. Antara herba yang sangat sesuai digabungkan dengan asam pedas adalah bunga kantan, daun selasih dan serai. Bermacam-macam herba dan sayuran yang sesuai dengan laksa, juga sesuai dengan asam pedas. Saya juga dapati daun roselle juga sesuai dengan hidangan ini. Saya rasa anda patut cuba hidangan asam pedas dengan daun roselle.
  2. Memang jauh sangat perbezaan asam pedas yang ditumis dengan asam pedas rebus. Asam pedas yang ditumis lebih berperisa, lemak dan cantik warnanya. Saya suka menumis ketika suhu minyak hampir berasap. Keseluruhan aroma asam pedas akan keluar semerbak seluruh rumah tapi berhati-hatilah dan elakkan dari melecur.
  3. Untuk sayur-sayuran, anda boleh menambah bendir atau keladi. Hampir semua sayur-sayuran sesuai dan ia akan menambahkan khasiat selain menjadikan hidangan anda lebih sedap. Saya sangat gemar menambah sayur-sayuran dalam asam pedas kerana rasa sayur-sayuran tidak akan ketara kerana rasa asam pedas yang kuat malah sayur-sayuran itu pula yang dipengaruhi oleh rasa asam pedas. Ini menjadikan orang yang kurang menggemari sayur juga boleh menikmati sayuran dalam asam pedas.