Dah seminggu puasa, baru sekali saya ke bazaar ramadhan. Cuma pergi bazaar ramadhan yang paling hampir dengan rumah saya je. Itu pun beratus jugak gerainya. Tak banyak bezanya dengan bazaar ramadhan tahun-tahun sebelumnya. Cuma satu yang saya perhatikan, sekarang ni banyak pulak gerai yang menjual masakan barat terutama chicken chop dan fish & chip. Satu perkembangan yang sangat baik. Sekurang-kurangnya ramai yang dah tahu, masakan barat bukan hidangan yang mahal dan hanya dijual di hotel-hotel sahaja. RM5 pun dah dapat makan chicken chop. Leka bercerita sampai lupa pulak dengan resepi Tomyam Chiang Mai iaitu antara tomyam yang paling saya gemari kerana rasanya yang kuat dan kuahnya yang pekat. Banyak keistimewaan tomyam chiang mai yang saya rasa tiada pada tomyam yang lain.

Bahan-bahan untuk Thai Chilli Paste
20 tangkai Lada Kering
2 bj Bawang Besar
3 ulas Bawang Putih
1 cmb Asam Jawa Tanpa Biji
5 cmb Minyak Masak
2 cmt Garam
1 cmb Gula

Cara Membuat Thai Chilli Paste

  1. Rendam lada kering sehingga kembang dan kisar sehingga betul-betul halus.
  2. Kisar juga bawang besar dan bawang putih bersama lada kering.
  3. Panaskan minyak masak masak. Tumiskan bahan kisar sehingga garing.
  4. Masukkan asam jawa dan perasakan dengan garam dan gula.
  5. Masak thai chilli paste sehingga pekat dan berkilat dengan warna merah gelap kehitaman.
  6. Tutup api, sejukkan dan asingkan minyak berlebihan jika ada.

Bahan-bahan untuk Tomyam Chiang Mai
3 cmb Thai Chilli Paste
2 bj Bawang Merah
1 btg Serai
1 helai Daun Limau Purut
2 hiris Halia
2 hiris Lengkuas
1 ekor Ketam
2 ekor Sotong L
3 ekor Udang L
50g Isi Ayam
500 ml Stok Rebusan Ayam
2 cmb Jus Limau Nipis
1 cmt Garam
1 cmt Gula
1 cmb Minyak Masak


Cara Membuat Tomyam Chiang Mai

  1. Bersihkan ayam, dan makanan laut. Potong kecil mana patut.
  2. Panaskan minyak masak, Tumiskan thai chilli paste.
  3. Masukkan bawang besar. Setelah naik bau, masukkan air rebusan.
  4. Masukkan halia, lengkuas, serai yang diketuk, daun limau purut, dan isi ayam dan ketam.
  5. Biarkan mendidih kemudian baru dimasukkan sotong dan udang.
  6. Perasakan dengan garam, gula dan jus limau nipis.
  7. Hidangkan sewaktu masih panas.


Tip Masakan Komersial

  1. Kebanyakkan hidangan thai menggunakan thai chilli paste yang banyak dijual di pasaraya. Belum pernah saya jumpa restoran masakan thai yang membuat sendiri thai chilli paste mereka. Kebanyakkannya menggunakan produk segera. Masalahnya, saya belum pernah jumpa produk ini yang dikeluarkan oleh orang Malaysia. Bukan itu sahaja, bungkusannya semuanya bertulisan thai. Sepatah haram pun ta paham. Halal? Entah lah.
  2. Tomyam chiang mai, mempunyai kuah yang pekat. Tahap kepekatannya hampir menyamai asam pedas. Kalau anda dapati kuah masih belum pekat, boleh tambahkan thai chilli paste lagi.
  3. Kepedasan tomyam chiang mai datang dari lada kering sedangkan kepedasan tomyam biasa datang dari cili padi. Ini lah perbezaan utamanya. Selain itu, ciri penting tomyam chiang mai adalah rasa ketamnya. Anda boleh campurkan daging, karangan laut atau apa sahaja tapi ketam jangan ditinggakan. Masukkan sekali kulitnya juga organ-organ dalamannya supaya rasa ketam lebih kuat.
  4. Herba-herba masakan thai juga sangat penting dalam tomyam. Kalau rasa herba ni tak kuat kerana kurang segar, tambahkan lebih banyak lagi. Tiada masalah jika sedikit berlebihan.
  5. Kalau dah cuba tomyam putih, cuba pula mi tomyam chiang mai. Sangat sesuai dengan mi terutama mihun.
  6. Saya terpaksa buat tomyam chiangmai cair sikit untuk disesuaikan dengan ana saya. Ketam pun tak de. Kena simpan duit utk beli kamera baru. Kalau nak tolong saya boleh klik disini.