Tom yam memang biasa kita nikmati dan hidangan ini di jual di semua restoran dan gerai masakan Thai di seluruh Malaysia. Malah masakan Thai memang terkenal diseluruh dunia kerana keunikkannya. Sebenarnya masakan Thai mempunyai banyak variasi tom yam cuma kita sahaja tidak menyedarinya. Salah satu variasi tomyam yang semakin popular adalah tom yam putih. Rasa-rasanya masyarakat thai mengenalinya dengan nama tom yam kung atau pok tek. Tak kisahlah apa nama yang diberikan yang penting rasa tom yam ini memang cukup nikmat.

Kalau anda sedar, hidangan ini memang dijual dikebanyakkan restoran masakan Thai cuma kerana hidangan ini kurang popular berbanding tom yam maka tak ramai yang menyedarinya. Rasa tom yam putih hampir sama dengan tom yam biasa tapi yang paling ketara, warnanya memang berbeza. Hidangan ini sesuai untuk penggemar tom yam tapi tak suka yang pedas. Pendapat saya pula, tom yam yang sedap sudah tentu tomyam yang pedas. Saya memilih tom yam ini kerana hidangan ini lebih menyihatkan tanpa penggunaan minyak. Resepi dibawah ini adalah tom yam untuk rasa pedas yang sederhana. Kalau nak kurang lagi, ubahsuai je sukatan cili api sesuka hati.


Bahan-bahan tom yam putih

500g daging
6 helai daun limau purut
4 batang serai
10 biji limau kasturi atau 3 biji limau nipis
10 biji cili api
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
2 cmb susu cair
2 cmt garam
1 cmt gula
2 liter air


Cara membuat tom yam putih
  1. Daging, halia, lengkuas dihiris nipis. Cili api, serai, bawang merah, bawang putih diketuk. Daun limau purut disiat-siat kasar. Limau kasturi diperah dan diambil jusnya.
  2. Masukkan semua bahan dalam satu periuk dan didihkan. Setelah mendidih, kecilkan api dan biarkan merenih sehingga daging empuk.
  3. Angkat dan hidangkan panas-panas bersama nasi.


Tip masakan komersial

  1. Saya gunakan daging kerana masih banyak daging yang saya dapat sewaktu sambutan hari raya aidil adha yang lalu. Anda boleh gunakan apa sahaja bahan seperti ayam, kambing, makanan laut dan sebagainya. Yang paling penting, apabila anda menjual sesuatu produk berkuah seperti ini, anda harus menyediakan air rebusan ayam/daging/makanan laut supaya anda tidak perlu merebus lama-lama. Pelanggan pun tak perlu menunggu lama.
  2. Jika anda perhatikan, kebanyakkan tom yam yang dijual di restoran-restoran masakan thai menggunakan bawang besar. Tetapi ada juga yang menggunakan bawang merah tapi tak banyak restoran yang berbuat demikian. Mungkin kerana harga bawang merah yang lebih mahal dari bawang besar. Sebenarnya rasa tom yam yang menggunakan bawang merah memang berbeza dari tom yam yang menggunakan bawang besar. Tak hairanlah mengapa masih ada restoran yang menggunakan bawang merah dalam tomyam mereka. Kalau anda memang dari jenis tekak ular, dah tentu anda akan rasa tom yam ini memang tiada bezanya.
  3. Tak ramai yang tahu, rahsia tom yam yang menggunakan susu cair. Kalau jenis tukang masak yang hanya meniru-niru sahaja, memang mereka tak menyedari kehadiran susu dalam tomyam. Tak kira sama ada tom yam biasa atau tom yam putih. Rasanya lebih enak dengan satu atau dua sudu susu cair. usahawan masakan Thai biasanya menjadikan ia suatu rahsia dalam hidangan tomyam mereka.