Beberapa hari tak update entri bukan kerana tiada bahan. Malah saya sentiasa sibuk dengan kerja-kerja didapur. Memasak memang tiada putusnya selagi semua orang perlu makanan. Banyak resepi-resepi yang tertangguh untuk dipaparkan. Jadi hari ini saya memilih resepi yang ringan dan mudah iaitu Tauhu Telur dengan Sos Tiram. Hidangan ini memang tak banyak yang perlu dibicarakan kerana ia sangat simple seperti kelazimannya masakan cina.

 


Bahan-bahan untuk Resepi Tauhu Telur dengan Sos Tiram
300g Tauhu Telur
2 ulas Bawang Putih
¼ bj Bawang Besar
½ inci Halia
2 cmb Sos Tiram
1 cmt Kicap Manis
2 bj Cili Padi
3 tangkai Daun Bawang
10 bj Tomato Ceri
½ cmt Garam
1 cmb Gula
1 cwn Minyak Masak
½ cmb Tepung Jagung
Air


Cara membuat Tauhu Telur dengan Sos Tiram
  1. Potong tauhu telur setebal ½ inci. Panaskan minyak masak dan goreng tauhu telur sehingga keperangan. Angkat, tuskan dan ketepikan.
  2. Keluarkan minyak masak sehingga tinggal 1 cmb sahaja. Panaskan lagi.
  3. Ketuk bawang putih, hiris bawang besar, halia diracik halus dan tumiskan sehingga wangi.
  4. Masukkan sos tiram, kicap, cili yang dibelah dan ½ cwn air.
  5. Perasakan dengan garam, gula dan asam. Biarkan mendidih.
  6. Bancuh tepung jagung dengan ¼ cwn air. Sewaktu kuah mendidih, tuangkan larutan tepung jagung sedikit demi sedikit sambil dikacau dengan pantas. Hentikan menuang larutan tepung jagung apabila dirasakan kuah menjadi pekat seperti yang digemari.
  7. Akhir sekali, masukkan tauhu telur, totamo dan daun bawang. Hidangkan bila daun bawang sedikit layu.


Tip Masakan Berguna
  1. Dalam masakan cina, sos begini memang digunakan secara berleluasa dalam kebanyakkan hidangan mereka. Dari sayur-sayuran, ayam, daging atau makanan laut, semuanya sesuai dengan sos ini.
  2. Untuk bahan utama yang lain, jika ingin menggunakan sos yang sama, pelbagaikan dengan menambah bahan perasa yang lain seperti minyak bijan, cuka, jus limau, sos hoisin, sos ikan, sos cili dan sebagainya.
  3. Lagi banyak warna yang digunakan, hidangan ini menjadi lebih menyelerakan. Masakan ini sangat sesuai dengan daun kucai tetapi anda boleh menggunakan segala sayuran yang anda suka seperti leek, lada bengala, cendawan, carrot, sawi putih, kekacang dan lain-lain.
  4. Tauhu telur dibuat daripada susu soya dan juga telur. Teksturnya sangat lembut seperti taufufah oleh itu ia perlu digoreng dahulu untuk mengelakkan ia pecah sewaktu dimasak. Tauhu telur biasanya dijual dalam tiub plastik atau bekas plastik yang liat untuk menjaga bentuknya.