Dulu pernah saya bercerita mengenai kenapa kek yang dibuat sendiri tak seperti kek yang dijual di kedai. Ramai juga yang mengakui untuk membuat sesuatu masakan perlu resepi dan panduan yang lengkap supaya kita tahu apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak. Contohnya seperti taufu fa yang saya buat ini. Saya memang tiada pengalaman membuat taufu fa. Hanya melihat sahaja pengusaha taufu fa cina membuatnya di premis mereka. Macam senang je, jadi saya pun cuba la juga tanpa panduan yang lengkap dan betul. Resepi pun hanya berpandukan seperti yang tercatat pada botol seiko iaitu sejenis bahan yang digunakan dalam penghasilan taufu fa. Akhirnya jadilah taufu fa yang terlalu lembut sehinggakan tak terasa lalu ditekak. Itu tak mengapa lagi. Masalah semakin teruk apabila air jernih mula timbul dengan banyakknya sedangkan sebelum itu taufu fa membeku elok walaupun terlalu lembut. Mungkin lain kali boleh cuba lagi.

Bahan-bahan untuk Resepi Taufu Fa
300g Kacang Soya
2250 ml Air
1 cmt Seiko
2 cmb Tepung Jagung

Cara membuat Taufu Fa

  1. Rendam kacang soya sekurang-kurangnya 4 jam. Sebaik-baiknya semalaman tetapi jangan melebihi 12 jam.
  2. Tuskan air rendaman kacang soya. Gunakan 2L air bersih untuk mengisar kacang soya sehingga halus.
  3. Gunakan kain maslin untuk memerah kacang soya. Buangkan hampasnya.
  4. Masak air kacang soya sehingga mendidih dengan api sederhana. Kecilkan api apabila sudah mendidih.
  5. 250 ml air lagi digunakan untuk membancuh seiko dan tepung jagung menjadi larutan putih.
  6. Masukkan larutan putih dalam flask.
  7. Curahkan air soya yang panas tadi kedalam flask. Tarik tinggi-tinggi supaya air soya bercampur dengan larutan putih tadi.
  8. Tutup flask selama 1 jam untuk taufu fa membeku sebelum dihidangkan bersama air gula.


Tip Masakan Berguna

  1. Inilah susahnya kalau membuat sesuatu tanpa guru yang betul. Saya memang biasa menggunakan kaedah cuba jaya kerana saya mencari kesilapan-kesilapan yang mungkin dilakukan. Tanpa kesilapan, saya tak boleh belajar.
  2. Saya hanya menggunakan pengisar biasa jadi terpaksa mengisar beberapa kali. Kacang soya dibahagikan kepada 2 untuk dua kali kisar kemudian soya yang telah diperah dikisar lagi sekali. Jadi jumlahnya 4 kali kisar.
  3. Besar kemungkinan resepi diatas menggunakan sudu biasa dan bukan sudu penyukat. Mungkin itu yang menyebabkan taufu fa saya terlalu lembut. Saya lihat cina yang berniaga taufu fa ni main cedok je seiko dan tepung jagung ni menggunakan sudu biasa. Memang banyak yang mereka letak. Air soya pun disukat hanya menggunakan gayung je. Saya pula memang penakut sangat dengan bahan kimia ni.
  4. Air jernih yang bertakung dalam flask mungkin berpunca dari wap air itu sendiri. Adalah lebih baik penutup flask dilapiskan dengan kain agar air tidak menitis dan bercampur dengan taufu fa. Itu la lecehnya kalau belajar sendiri. Bukan ke bagus kalau ada orang yang beritahu lebih awal.
  5. Saya tak ada flask. Mana la mampu nak beli lagi. Jadi saya gunakan apa-apa peralatan yang ada. Dah biasa membuat sesuatu tanpa peralatan yang khusus. Saya tak mau jadikan kekurangan peralatan sebagai alasan tak boleh berniaga. Jadi saya gunakan bekas plastik biasa dan balut kain supaya kepanasan dapat bertahan lama. Kesian saya ni...
  6. Saya dapati cina yang berniaga hasilan soya ni dah tak perlu lagi keluar menjaja atau ke pasar malam. Kebanyakkan peniaga datang kepada dia membawa bekas dan flask untuk mendapatkan bekalan air soya dan taufu fa. Peniaga melayu pun ada juga. Jadi jangan ingat jika air soya dijual oleh usahawan melayu, bermakna orang melayu yang membuatnya.
  7. Mungkin suatu hari nanti saya akan buat taufu fa berperisa. Teringin sangat perisa jagung atau buah-buahan. Kalau pandan tu dah biasa.