Dah banyak kali saya bereksperimen dengan tat telur ni. Macam-macam cara saya cuba. Macam-macam hasil yang saya dapat dan dah banyak wang yang saya belanjakan. Tapi tak mengapa kerana banyak ilmu yang saya dapat. Setiap idea yang keluar saya cuba dan cuba lagi sehingga saya berpuas hati dengan rasa tat telur yang sebenar, sama seperti yang dijual dikedai-kedai.


Di bawah ini saya paparkan resepi tat telur yang paling mudah disediakan. Saja saya paparkan resepi yang paling sedap yang saya cuba tapi bahan-bahan yang diperlukan memang sedikit mahal. Untuk pastrinya, anda boleh gunakan resepi pastri manis seperti di bawah. Anda juga boleh menggunakan pastri lapis untuk Portugese Egg Tart tapi saya belum mahu memaparkan resepi dan teknik-teknik membuat pastri lapis disini sekarang. Anda boleh menggunakan pastri lapis segera yang ada dijual di pasaraya-pasaraya dan kedai barangan kuih-muih.


Pastri:

120 g mentega
50 g gula aising
1 biji telur
240 g tepung gandum
1/2 cmt esen vanila

Cara membuat pastri
  1. Sebaiknya dalam keadaan mentega yang masih sejuk, campurkan dengan tepung gandum. Gaul dengan menggunakan hujung jari kedua-dua tangan sehingga berderai dan menjadi tekstur berupa serbuk roti. Teknik ini dinamakan gaul ramas bertujuan untuk memasukkan udara ke dalam adunan pastri. Masukkan gula dan gaul sebati. .
  2. Tambahkan telur dan esen vanila dan sebatikan. Elakkan mengguli dan memegang terlalu lama pastri kerana lemak akan mencair dan doh akan menjadi liat dan lembik.
  3.  Lenserkan acuan tat dengan sedikit mentega atau majerin.
  4. Ambil sedikit adunan pastri dan tekankan sehingga padat dalam acuan mengikut bentuknya.
  5. Gunakan garfu untuk mencucuk adunan yang telah ditekan ke dalam acuan tadi.
  6. Bakar dalam ketuhar pada suhu 180˚C selama 5 minit sehingga pastri separuh masak.
  7. Keluarkan dari oven dan dituangkan 3/4 adunan kastard ke dalamnya. Kemudian dibakar semula 15-20 minit atau sehingga masak.


Kastard:
1/4 cwn whipping cream
1/4 cwn air
1/4 cwn gula pasir
2 cmt susu tepung
3 biji kuning telur
sedikit esen vanila
sedikit pewarna kuning

Cara membuat kastard
  1. Susu tepung dicampurkan dengan air dan dikacau sehingga larut. Jika perlu, gunakan air suam untuk memudahkan susu larut.
  2. Campurkan semua bahan dalam satu mangkuk. Kacau perlahan-lahan menggunakan whisk sehingga semuanya sebati, dan tidak berketul.
  3. Tuangkan ke dalam pastri yang telah separuh masak tadi kira-kira 3/4 penuh.
  4. Bakar dalam  ketuhar pada suhu 180˚C selama 15-20 minit atau sehingga masak.
  5. Keluarkan dari ketuhar dan sedia untuk dihidangkan.


Tip masakan penting.

  1. Jika kita tidak mahu pastri yang dibakar terlalu mengelembung, sebelum pastri dibakar, alaskan bahagian dalamnya dengan kerajang aluminium dan tindihkan dengan pemberat seperti kacang atau batu atau guli yang dijual khas untuk tujuan ini. Untuk resepi pastri ini, saya tak rasa ia akan mengembang kerana selagi anda menggunakan teknik diatas, anda tidak perlu menindih pastri ini sewaktu dibakar kecuali jika anda menggunakan acuan pai yang lebih besar.
  2. Bagi menggelakkan pastri berubah bentuk selepas di bakar iaitu tekstur mudah pecah atau mengecut, rehatkan dahulu pastri sebelum dibakar dalam 15 minit. 
  3. Adunan kastard tidak boleh dipukul kerana ia akan menjadikannya kembang. Ia akan lebih kembang dan mengalir keluar apabila dibakar. Kastard yang kembang ini akan mengecut apabila mulai sejuk dan membentuk kawah yang tak menarik pada tat telur kita. Jika ini berlaku kepada tat telur anda, anda boleh memanaskan adunan kastard menggunakan kaedah double boiler sehingga mendapat adunan kastard yang lebih pekat. Pastikan kastard hanya setakat suam sahaja dan bukan panas apalagi mendidih.
  4. Saya menggunakan whipping cream bukan susu uht kerana warna perang tat telur lebih cantik apabila masak. Anda boleh bandingkan dan bezakan berbagai jenis kastard yang saya cuba dalam gambar-gambar diatas.
  5. Jika anda menggunakan pastri lapis segera, tak perlu dibakar pastrinya terlebih dahulu. terus tuangkan kastard dan bakar dalam ketuhar dengan suhu 200˚C selama 15 minit.