Saya rasa hampir semua blog yang saya lawati terutama blog yang gemar berkongsi resepi, mesti ada terselit resepi tat keju bluberi. Popular sangat ke tat keju bluberi ni? Hasil pemerhatian saya, memang ramai penggemar tat keju bluberi. Kalau tidak, tak mungkin ada usahawan yang mendapat pendapatan lumayan dengan menjual secara kecil-kecilan. Satu lagi sebab yang saya rasa membantu tat keju bluberi ini popular adalah kerana penggunaan keju dan bluberi itu sendiri dalam hidangan ini. Keju dan bluberi adalah bahan yang kebanyakkannya kita import dari luar negara menyebabkan ia lebih eksklusif. Mungkin itu juga sebabnya tat keju strawberi tak sepopular tat keju bluberi. Saya pula, kalau keju dan bluberi tu murah, mesti tiap-tiap hari saya nak makan hidangan ini.

Dibawah ni ada resepi tat keju bluberi yang paling saya suka sebab hasilnya yang cantik. Inti tat keju bluberi ini akan mengelembung keatas dan bukannya rata atau lekuk. Teksturnya juga lebih gebu seperti kek keju. Tapi sebelum tu, belek-belek la dulu peraduan yang milo anjurkan dibawah ni. Mana la tau boleh dapat hadiah pertama. Tak salah mencuba. (Klik gambar untuk maklumat lanjut)

Untuk membuat pastri atau lebih senang disebut, kulit tat ini, anda boleh menggunakan resepi dibawah ini. Sebelum ini saya pernah memaparkan resepi untuk kulit tat dalam entri Resepi Tat Telur. Resepi dibawah berbeza sedikit dengan resepi sebelum ini. Kalau anda mahukan kulit yang lebih rapuh dan lembut, anda boleh gunakan resepi dibawah. Jika anda mahukan kulit tat yang lebih rangup dan tahan lebih lama, boleh la gunakan resepi yang terdapat dalam Resepi Tat Telur.

Bahan-bahan untuk Pastri Tat Keju Bluberi
200g mentega/majerin
100g gula ising
1 bj telur
400g tepung gandum
1 cmt esen vanila

Cara membuat Pastri Tat Keju Bluberi
  1. Kacaukan mentega dan gula ising sehingga sebati. Tidak perlu terlalu kembang.
  2. Masukkan telur dan esen vanila dan kacau lagi sehingga sebati.
  3. Tambahkan tepung gandum dan gaul ramas adunan sehingga mendapat tekstur butiran yang lembut.
  4. Canai adunan dan potong mengikut saiz acuan.
  5. Tekankan kedalam acuan tat yang telah dilenser dengan mentega
  6. Cucuk bahagian dasar adunan supaya pastri tidak mengembang dalamnya.
  7. Bakar pada suhu 180C selama 10-12 minit atau sehingga masak. Masak lebih lama untuk oven tanpa turbo fan.
  8. Keluarkan dari acuan dan sejukkan.
  9. Simpan didalam balang sehingga diperlukan.

Bahan-bahan untuk Inti Tat Keju Bluberi
250g krim keju (cream cheese)
3 cmb gula pasir
2 cmb mentega
1 bj telur
6 cmb krim putar (whipping cream)
2 cmb tepung gandum
2 cmb blueberry filling

Cara membuat inti Tat Keju Bluberi

  1. Pukul krim keju, mentega dan gula
  2. Masukkan telur dan krim putar dan kacau lagi sehingga sebati.
  3. Masukkan tepung gandum dan kacau menggunakan teknik kaup balik sehingga semuanya bercampur rata.
  4. Ambil sedikit blueberry filling dan masukkan kedalam kulit tat.
  5. Sudukan sedikit adunan tat keju menutupi seluruh blueberry filling. Jangan isi terlalu penuh. Sebaik-baiknya melebihi 3/4.
  6. Titikkan sedikit blueberry filling dibahagian atas dan lorekkan menggunakan lidi yang tajam untuk membuat corak dan hiasan.
  7. Bakar dalam ketuhar pada suhu 180C selama 10 minit sehingga masak.

Tip Masakan Komersial

  1. Anda boleh mencampurkan 1 cmb susu tepung kedalam adunan pastri untuk memberikan rasa yang lebih lemak pada pastri. Cara ini lebih sesuai sekiranya anda menggunakan majerin untuk menjimatkan kos kerana rasanya seakan-akan anda menggunakan mentega.
  2. Biarkan mentega dan krim keju pada suhu bilik sebentar untuk memudahkan memukul adunan.
  3. Tat keju bluberi ini sesuai dijadikan produk jualan kecil-kecilan seperti yang saya buat kerana pastrinya boleh disimpan lama. Bila pastri dah sedia ada, tempahan tat keju bluberi ini boleh disiapkan dalam beberapa minit sahaja.