Membuat talam memerlukan kita betul-betul mengenalpasti sifat bahan yang digunakan terutama tepung beras atau tepung gandum. Gabungan bahan ini dengan santan atau air apabila dimasak akan menghasilkan talam mengikut kelembutan dan kekenyalan yang kita kehendaki. Setelah anda mengetahui nisbah tepung dan cecair yang paling sesuai, lebih mudah dipelbagaikan perasanya. Seterusnya simpan resepi nisbahnya. Bila diperlukan, cakap sahaja nak talam apa. Semua boleh dilakukan dengan mudah. Kemanisan talam langsung tak mempengaruhi. Mari kaji resepi Talam Gula Melaka dibawah ini dahulu. Mungkin boleh dijadikan asas kepada talam-talam kegemaran anda yang lain.


Bahan bahan untuk Lapisan Bawah Resepi Talam Gula Melaka.
200g Gula Melaka
2 cmb Gula Pasir
2 ½ cwn Air
125g Tepung Gandum
1 cmb Tepung Ubi Kayu
1 cmb Air Kapur


Ajak la saya tengok cerita ni...


Bahan-bahan untuk Lapisan Atas Resepi Talam Gula Melaka
200ml Santan Kotak
500ml Air
150g Tepung Beras
Garam jika perlu


Cara membuat Talam Gula Melaka
  1. Gula melaka diracik halus dan dilarutkan kedalam air. Tapiskan jika perlu.
  2. Dalam mangkuk, campurkan tepung gandum dan tepung ubi.
  3. Masukkan air gula melaka dan air kapur dalam tepung dan kacau sebati sehingga tiada tepung yang bergentel.
  4. Tapiskan adunan jika perlu.
  5. Pindahkan dalam kuali dan masak dengan api perlahan sambil dikacau sehingga pekat. Jangan berhenti mengacau untuk mengelakkan adunan bergentel.
  6. Setelah pekat, masukkan dalam acuan 8 inci dan kukuskan selama 15 hingga 20 minit.
  7. Sementara mengukus, campurkan semua bahan lapisan atas dan kacau sebati. Tapiskan jika perlu.
  8. Seperti lapisan bawah tadi, masakkan lapisan bawah dalam kuali dengan api perlahan sambil dikacau.
  9. Apabila pekat, tuangkan kedalam acuan yang mengandungi lapisan bawah. Tetapi sebelum itu, gunakan garfu untuk mencakar permukaan lapisan bawah supaya lapisan atas boleh melekat dengan lapisan bawah dengan lebih baik.
  10. Kukuskan lagi 15 hingga 20 minit sehingga masak.
  11. Setelah masak, biarkan sejuk dahulu sebelum dipotong. Kalau boleh, sehingga permukaannya tidak basah lagi. Sejukkan dalam peti ais lebih baik tapi jangan dimasukkan ketika talam masih terlalu panas. Kalau tak sabar, jadi la macam talam gula melaka saya dalam gambar ni.


Tip Masakan Komersial
  1. Apabila membuat talam, tahap kemanisan amat perlu dititik beratkan. Saya menggunakan banyak gula melaka kerana gula melaka saya kurang gelap warnanya. Bagaimanapun saya terpaksa menambah sedikit lagi gula pasir kerana masih kurang manis. Jika anda menggunakan gula merah yang gelap, anda mungkin perlu mengurangkan gula merah dan menambahkan gula pasir. Saya cadangkan anda larutkan dahulu gula melaka atau gula merah dan gula pasir dalam kuantiti air secukupnya untuk mendapatkan kemanisan yang sesuai untuk keluarga anda.
  2. Untuk membuat air gula, anda boleh memanaskan diatas api sehingga semua gula larut sepenuhnya. Bagaimanapun, air gula ini perlu disejukkan sebelum digunakan.
  3. Saya menggunakan santan kotak sahaja kerana santan ini mudah disimpan dan tahan lama. Lebih sedap jika menggunakan santan segar. Dapatkan 700ml santan segar dari sebiji kelapa untuk resepi ini.
  4. Saya biasa memasak adunan talam terlebih dahulu diatas api terus. Kaedah ini mempunyai 2 kebaikkan. Pertama, talam lebih cepat masak dan tak perlu mengukus terlalu lama. Kedua, talam akan mempunyai tahap kekenyalan yang sekata di semua bahagian kerana adunan yang belum dimasak boleh termendak apabila dibiarkan terlalu lama.
  5. Air kapur bertujuan untuk menjadikan talam lebih anjal manakala tepung ubi menjadikan talam lebih melekit. Semua ini bergantung kepada bagaimana talam yang anda inginkan. Jika menggunakan tepung beras, anda mungkin memerlukan lebih tepung ubi. Tetapi perlu diingat, kuantiti air sudah tentu sangat berbeza kerana tepung gandum dan tepung ubi sangat jauh berbeza.
  6. Untuk memudahkan talam dikeluarkan dari acuan, anda boleh menyapu satu lapisan minyak masak yang nipis pada permukaan acuan. Anda juga boleh menyalut bahagian dalam acuan dengan plastik supaya ia mudah ditarik keluar. Bagaimanapun, pastikan plastik yang digunakan boleh menahan kepanasan stim dan selamat digunakan.
  7. Semasa mengukus, anda boleh menutup acuan dengan aluminium foil supaya air kukusan tidak menitis dalam acuan dan merosakkan permukaanya. Hanya tutupkan dengan longgar sahaja. Anda juga boleh membalut penutup kukus dengan kain maslin supaya air kukusan akan mengalir ketepi penutup kukusan sewaktu dibuka.