Masa mula-mula dulu, saya ternampak seorang mamak mengacau satu kuali besar susu yang panas berasap menggunakan senduk yang juga besar. Kadang-kadang dia tarik susu tu tinggi-tinggi hingga senduk hampir mencecah bumbung. Macam best je tengok aksi mamak tu. Itulah susu badam, minuman berprotin tinggi kegemaran masyarakat India. Tak banyak restoran mamak yang menjualnya kerana harga badam yang tinggi di negara kita dan saingan daripada susu soya yang jauh lebih murah dan setanding khasiatnya.


Pada mulanya saya sangkakan susu badam ni cuma susu lembu yang di gandingkan dengan badam sebagai perasa tambahan. Rupa-rupanya tak betul sama sekali. Masyarakat India suka menambahkan pelbagai bahan perasa lain dalam susu badam seperti rempah, herba juga buah-buahan. Faham-faham sendiri la tekak mereka. Susu badam yang pedas pun ada. Untuk resepi dibawah ni, cuma susu badam asli. Anda nak jadikan pedas, suka hati anda. Yang penting anda pernah rasa. Rugi tak rasa semua makanan dan minuman yang halal didunia ni…



Bahan-bahan untuk Resepi Susu Badam
1 cwn Kacang Badam
2 cwn Air
1 cmb Gula Pasir



Cara membuat Susu Badam
  1. Rendam kacang badam semalam
  2. Tuskan air dan buang kulit badam jika suka.
  3. Masukkan kacang badam dan air kedalam pengisar dan kisar sehingga halus.
  4. Perah susu badam menggunakan kain maslin.
  5. Masukkan gula dan masak susu badam dengan api kecil sehingga mendidih.
  6. Hidangkan susu badam sama ada panas atau sejuk berais.



Tip Masakan Komersial
  1. Ramai yang tak tahu mengenai kewujudan susu badam macam saya jugak. Dah la harga badam di Malaysia tinggi. Rasa tak berbaloi untuk dibuat air. Lain la kalau negara kita pengeluar badam utama dunia. Tapi jika berpeluang, kena cuba juga supaya kita tahu bagaimana rasanya.
  2. Dari kecil, memang saya dah biasa dengan susu kacang soya. Kemudian wujud pula susu kacang merah yang dijual dalam kotak macam susu kacang soya. Belum pernah saya jumpa air susu kacang merah dijual tepi jalan. Sekarang ni, nak cari susu kacang merah dalam kotak pun macam tak pernah nampak lagi. Kacang soya tetap manjadi pilihan. Walaupun susu badam dah lama wujud tapi tak de pulak nampak susu badam dalam kotak. Kenapa ek?
  3. Banyak lagi jenis-jenis kacang yang saya nampak dipasaran. Bagaimana agaknya rasa kacang-kacang ini kalau dibuat air? Kacang tanah dinegara kita tak de la mahal sangat. Agak-agak sedap tak kalau dibuat air? Musykil jugak..
  4. Kadang-kadang susu badam diminum tanpa dimasak. Cuma kisar kacang badam dengan air masak kemudian tapis dan terus minum. Bagi saya rasa susu badam begini ada sedikit lain. Macam makan badam bakar dengan badam mentah. Yang bakar lagi sedap.
  5. Selepas diperah, hampas badam masih boleh digunakan untuk tujuan lain. Cuba elakkan dari membazir lebih-lebih lagi pada bahan yang mahal harganya. Keringkan hampas badam dan boleh digunakan untuk membuat biskut raya, macarons dan sebagainya.